Bab 11

1K 24 0
                                    

Langkah Mika terhenti apabila ada mata yang tertumpu kepadanya. Mika berpaling dan mengangkat kening kepada Alai. Dia mula terfikir apa yang tidak kena padanya. Alai mengukir senyuman.

"Ada yang tak kena ke? Apa pasal tengok aku macam tu?" soal Mika perlahan.

Alai menunduk. Tangannya terus mencapai cawan yang berisi air Milo.

"Dah kenapa dengan kau? Dari tadi usyar aku semacam?" soal Mika sekali lagi.

Alai cuma menggeleng. Serba salah Alai dibuatnya. Jimin yang baru sampai terus tidak jadi duduk. Kacak sangat! Tangan dibawa ke dada. Degup jantung terasa cukup laju bergetar. Menyesakkan nafas betul.

Mika mula hilang sabar. Dua makhluk yang berada di depannya kini betul-betul menguji kesabarannya. Sejak balik dari Terengganu, inilah kali pertama mereka melihat Mika dari sisi lain. Siapa tak terkejut beruk kalau Mika datang ke bengkel berbaju kurung?! Hesy! Apa pasal la berbaju kurung? Jimin memerhati Mika atas bawah. Kalau Mika berseluar jean dan memakai baju T, itu dah biasa sangat mereka melihat.

"Oh, aku pakai macam ni sebab aku pergi kenduri kahwin," jawab Mika bila dia tahu mereka seakan-akan cuba menyembunyikan ketawa.

"Eh... Mana ada kami cakap apa pun. Kau ni, pakai ke tak pakai apa pun... Sama aje," sindir Jimin.

"Apa kau cakap?" Mika mula tersentap. So annoying betul.

"Pekak ke? Aku cakap, kau ni pakai apa pun... Sama saja. Cicak tokek lagi comel kut." Lagi sekali Jimin cari pasal dengan menyakitkan hati Mika.

"Kalau aku cicak... Kau apa? Biawak laut? Sesuai sangat!"

Mika mula menyingsing lengan baju kurung kapas berbunga kecil. Jimin mula panas hati. Memang kurang ajar betul bila staf samakan bos dengan seekor biawak! Jimin melangkah menghampiri Mika dan Mika pun terus melangkah ke depan. Lagi dekat lagi bagus, senang Mika nak angkat kain, kasi penendang terus. Jimin pun tidak faham kenapa Hisyam berkenan sangat dengan budak jadian ini. Jimin memandang Mika atas bawah, matanya fokus sesuatu di bawah kain kurung yang dipakai Mika.

"Sewel! Pakai baju kurung, tapi kasut sneakers Nike. Aku rasa bagus kalau kau bawa dia pergi jumpa doktor, Alai... Kalau scan, baru kita tau... Otak dia letak kat lutut mungkin."

Mika terus tunduk, tiada yang pelik. Bukan dia tak biasa matching baju kurung dengan sandal atau kasut sukan!

"Superman lagi banganglah. Pakai seluar dalam di luar. Tak ke dia dengan kau sama-sama bodoh?" balas Mika.

Alai yang masih diam dari tadi terus menghamburkan ketawa. Jimin yang memakai baju T lambang Superman terus menyilangkan tangan ke dada dan menayangkan wajah tidak puas hati.

"Kurang ajar. Nak aku jahit mulut tu pakai ni?"

Jimin semakin rasa tercabar dengan minah welder sorang ni. Tangannya cepat mencapai stapler besar yang ada di atas meja.

"Cubalah. Kalau nak rasa duduk lokap." Mika berbalas soalan. Alai bangun dan mengecilkan diri untuk berada di antara mereka berdua.

"Jangan la gaduh. Perkara kecil saja. Kau pun Jimin, jaga sikit mulut tu. Suka hati saja mengata orang. Kasihan ba. Perempuan lagi." Alai cuba meredakan keadaan.

"Apa pasal pula aku? Dia yang mula dulu. Dia muda lagi. Tapi kurang ajar betul. Langsung tak hormat aku. Aku 13 tahun dulu telan nasi dari dia."

Jimin mula meninggikan suara.

"Eh, boleh blah la! Spesies kurang ajar macam kau, siapa nak hormat? Tua tapi bodoh!" balas Mika. Jimin semakin geram. Kalau dapat, mahu kena penampar sulung baru dia tau langit itu sememangnya tinggi!

"Mikanadyra. Sudahlah! Kau pun sama saja. Jimin ni lagi tua dari kau. Hormatlah, lagi pula dia bos kau. Sumandak mana boleh berkasar macam ni," terang Alai panjang lebar.

Jimin membuang ketawa semahu-mahunya. Padan muka Mika.

"Kalau sedar dia dah tua... Sama taraf dengan pak cik-pak cik, ubah sikit perangai tu. Siapa yang mula dulu, aku ke dia?" Mika belum mahu kalah.

Hmmm... Ayat tu paling benci bila Jimin dengar. Wajah tampan dan comel dia tu, memang jauh sangat gelaran pak cik nak terbang melekat. Mana dia pergi, hanya gelaran abang yang melekat.

"Hahaha... Malas aku nak layan spesies jadian macam kau. Sibuk nak jadi jantan. Nanti kita tengok, kalau kahwin, dia ke atau 'bini' dia yang mengandung. Meh Abang Jimin nak pesan, tak salah jadi bodoh dik, tapi janganlah pekat sangat bodoh tu," ujar Jimin. Tangan Jimin sempat dipanjangkan untuk sekeh kepala Mika. Rasa puas hati dapat kenakan budak hingusan tu.

"Padan muka, kau pergi balik menangis tepi katil. Berambus terus dari sini lagi bagus!" jerit Jimin. Hisyam yang dari tadi mendengar masih tercegat berdiri di tepi pintu.

Kalau sebelum ini dia hanya mendengar team member lain bercerita, kebetulan hari ini dia dapat melihat sendiri tingkah dua manusia berperang mulut.

"Kau ni kenapa?"

Jimin menoleh bila mendengar suara Hisyam menyapanya dari belakang. Menyambung langkahnya dengan malas. Soalan Hisyam dibiarkan sepi.

"Jimin, aku bercakap dengan kau ni."

"Aku peliklah. Kenapa kau ambil budak tu join kita? Dah pupus sangat ke welder jantan kat Malaysia ni?" Akhirnya Jimin menjawab soalan Hisyam. Tapi bukan itu jawapan yang Hisyam hendak dengar.

"Eh, bunga tu. Kau tak suka ke?" Hisyam cuba bergurau. Jimin menjeling.

"Kalau bunga tahi ayam, baik tak payah... Buat busuk bengkel kita lagi adalah!"

"Haah... Kalau aku bunga tahi ayam... Kau tu ayam yang berak merata tempat!" Suara Mika bertukar tinggi. Entah celah mana tiba-tiba dia masuk mencelah. Kali ini mata Jimin tajam merenung wajah Mika. Asalnya hanya mahu bergurau tetapi merebak menjadi pergaduhan mulut.

"Aduh, sudahlah tu... Macam budak-budak. Weh, anak-anak aku pun tak gaduh macam ni." Hisyam bersuara.

"Geli aku tengok benda-benda jadian ni." Jimin terus memerli. Mika tersentak. Ingatkan Jimin faham bahasa. Alai dan Hisyam hanya diam, lagi ditegur lagi menjadi-jadi dua ekor ni.

"What?" Mika membuka langkah terus menghampiri Jimin yang berpeluk tubuh. Terkumat-kamit mulutnya laju menyumpah budak setan, saat ini, Mika lupa dia berbaju kurung, langkah yang laju membuatkan dia sedikit lalai dan tersepak bongkah kayu yang dijadikan tempat duduk. Anehnya, Mika betul-betul landing di dalam pelukan Jimin. Mujur Jimin sempat menangkap, kalau tidak, kedua-dua mereka jatuh di atas lantai.

Alai dan Hisyam membulat mata. Baru tadi bergaduh sakan, kenapa sekarang boleh terpeluk? Satu tindakan yang membuatkan mereka sama-sama kaku seketika.

"Hahaha... Bunga sudah jatuh dalam tahi ayam. Sama-sama busuk!" Gelak ketawa Alai memecah kesunyian. Mika cepat-cepat berundur dan sempat memijak kaki kanan Jimin.

"Setan!"

Nah! Sekali lagi Jimin kena kutuk. Mika terus meninggalkannya yang terkulat-kulat di situ. Hisyam dan Alai cuba menyaingi langkah Mika yang laju. Mereka lebih berminat memujuk Mika berbanding dirinya. Jimin mengeluh pendek. Malas nak cakap banyak, pengakhirannya. Dia juga yang salah nanti. Perempuan!

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now