Bab 13

1K 22 0
                                    

Bosannya hujung minggu macam ini. Mika mula merungut. Seri dah lesap entah ke mana. Malas Mika nak bertanya, nanti free dikatakan penyibuk. Membeli-belah seorang diri memang tak seronok. Tapi itu sajalah pilihan yang boleh pakai. Selain boleh beli barangan dapur, dapat juga sambar kemeja dan jean baru.

Seperti biasa, Mika mengenakan baju T dan berseluar jean kesayangan yang koyak di lutut. Sekali pandang memang persis lelaki, dua kali pandang boleh diagak sudah memandangkan ciri wanitanya tetap terserlah di bahagian mata.

Lama Mika membelek kemeja yang tersarung di badan patung itu. Mika memang dah berkenan sangat. Nampak cool kalau dipadankan dengan seluar denim. Patung yang pakai pun nampak segak apatah lagi dia manusia bernyawa. Lagilah kacak! Mika terus menyambar satu dan membuat pembayaran. Kalau dah nama perempuan, shopping satu barang pun, dia punya sengih tu melebar sampai ke telinga.

Lagipun, sesuai sangatlah dia pakai baju baru untuk majlis minggu hadapan. Bos Hisyam dan bos setan tu sepakat hendak belanja makan besar untuk team member kerana berjaya dapat tender baru lagi. Walaupun untung yang dapat tak sebesar macam syarikat gergasi lain yang gah, sekurang-kurangnya masih ada anak Melayu yang mampu bersaing.

Selesai membayar, Mika terus turun ke bahagian barang dapur. Jemu dah asyik makan luar, sesekali kena masak juga. Nak harapkan Seri, mimpilah! Seri bukan selalu lekat di rumah. Untunglah orang ada buah hati, sana sini diajak makan. Mika juga sendirian. Kalaupun Mika rasa nak balik kampung, niat terus dipadam bila mengenangkan Johan keparat tu mesti ada sekali. Mika paling menyampah tengok Johan, kedua baru jatuh kepada budak setan di tempat kerjanya itu. Kedua-dua lelaki itu suka menyakitkan hatinya.

Kalau membeli barangan dapur, Mika paling suka ke peti sejuk beku. Kalau tak cukup masa, lempar saja dalam microwave. Seminit dua terus siap! Mika mana pandai urus ikan. Ikan bilis dia pandailah. Seperti biasa, Mika hanya membeli ayam.

Jimin membuka pintu ofis. Walaupun hujung minggu, dia sendiri kerap merasa buntu dan bosan untuk tunggu hari esoknya. Sunyi? Memang Jimin rasa sunyi bila hari Ahad. Kalau ada kerja luar, baguslah juga. Dapat juga duit dan hilanglah juga kebosanan. Alahai... Sunyi aje, belum kemurungan teruk kut, Jimin! Sebab itu, Jimin selalu pergi pejabat, ada ketenangan di situ. Hisyam pun sudah berkeluarga, takkan selalu hendak bertandang ke sana? Daripada merintih dalam jiwa, lebih baik Jimin menyelesaikan kerja-kerja di pejabat. Minggu depan, dia dan Hisyam akan bermesyuarat sekali lagi dengan pihak Angkur Mekar Holding. Kali ini skop kerja mereka ialah memeriksa dan menyelia kerja-kerja pembinaan jambatan baru di Tasik Halur yang akan dibangunkan menjadi kawasan rekreasi baru.

"Aduhai... Time macam ini, kalau ada bini kan bagus, boleh suruh picit belakang, suruh bancuh air. Nasib kau la, Jimin... Entah jodoh dah masuk liang lahad." Jimin mengomel sendirian. Dia lantas bangun menuju ke bengkel di belakang. Dah nama pun bujang, sendiri kena bancuhlah air minuman.

"Aik? Siap ada biskut kering. Kuaci... Rezeki ni. Bagus juga dia orang ni. Pakat-pakat beli makanan," bisik hatinya. Dulu di situ hanya ada mesin air Coway sahaja, sekarang barulah nampak macam pantri. Boleh juga duduk sambil makan dan lepak sesaat dua kalau sudah penat menjahit besi seharian.

Jimin tersenyum lebar, dulu hanya cawan polistirena disediakan, sekarang sudah ada muk. Muk merah jambu lagi. Bodoh juga siapa yang belikan, agak-agaklah sikit tempat ganas macam ini tiba-tiba terselit muk merah jambu.

"Hurm... Mesti perempuan jadian tu yang punya. Mana ada jantan minat pink." Jimin mencebik. Laci meja ditarik. Wow! Ada Maggi. Walaupun tadi dah makan, sekarang pun tetap rasa nak makan.

Selesai melantak Maggi, Jimin terus menyambung kerja di ruang pejabatnya. Muk merah jambu berisi air Nescafe diletak berhampiran meja komputer. Merah jambu pun lantaklah. Bukan orang lain tahu, dia saja manusia yang ada di situ. Tak kesahlah siapa empunya muk tu, asalkan berada di tempat ini, kira hak bersamalah. Peduli apa, dia kan bos!

Usai sampai di rumah, Mika terus ke dapur. Stok wajib Maggi Asam Laksa disimpan elok di dalam kabinet dapur. Barangan sejuk beku disusun kemas di dalam peti ais. Ayam terus diletak ke dalam singki untuk dibersihkan.

Hari ini Mika memang pasang niat untuk masak. Tekak anak dara rasa nak makan nasi putih dan ayam halia bawang putih. Sedap yang amat! Mika meraba poket seluar, telefon bimbit dicapai dan jari terus menaip resipi makanan tadi. Bukan Mika tidak tahu memasak cuma tahap yakin diri kadang-kadang menghilang entah ke mana.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now