✎ 𝟷𝟸

47 7 0
                                    

Pernah dengar kisah tempe belum jadi atau separa matang?

Seorang ibu tua yang biasa berjualan tempe keluar ke pasar pada suatu pagi dengan membawa tempe yang belum jadi. Sebelum keluar, suaminya yang sakit dan tidak dapat ikut serta, berpesan, "Harus yakin pada Allah SWT, Allah SWT boleh melakukan apa sahaja keajaiban yang kita tidak jangka."

Lalu dengan hati yang serba salah, wanita berusia itu keluar ke pasar dan berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah, aku tahu Engkau berkuasa untuk melakukan apa sahaja, jadikanlah tempe yang belum matang ini sebagai tempe yang matang agar ia dibeli orang. Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa ini sahajalah satu-satunya mata pencarian kami.."

Penuh harap dan percaya, dia perlahan-lahan membuka bakul tempenya untuk melihat keajaiban yang Allah SWT lakukan terhadap tempenya. Tempenya masih tidak bertukar!

Dia meneruskan lagi perjalanan.

Mungkin bila sampai di pasar nanti, tempenya akan bertukar. Ya, boleh jadi.

Dia tidak putus-putus memanjatkan doa kepada Allah SWT untuk menukarkan tempenya yang separa matang kepada tempe yang matang.

Tiba di pasar, orang mulai ramai dan dia melihat keliling. Dia tidak berani untuk membuka penutup bakulnya kerana dia tahu tidak ada siapa mahu beli tempe separa matang.

Selang beberapa ketika, dia membuka kain yang menutup bakul tempenya untuk memeriksa jika tempenya sudah bertukar, sebagaimana yang didoakan. Tetap, tempenya tidak matang-matang lagi.

Hari mulai senja. Peniaga-peniaga lain mulai mengemas barang jualan mereka yang sudah hampir habis.

Ibu ini masih termangu-mangu, menanti jawapan kepada doanya. Di mana keajaiban untuk dirinya?

Tiba-tiba seorang wanita awal 40-an muncul di hadapannya sambil termengah-mengah, lalu bertanya "Ibu ada jual tempe yang belum matang? Dari tadi aku berkeliling sekitar pasar dan bertanya para peniaga, tidak ada satu pun yang menjual tempe belum jadi," wajahnya penuh mengharap.

Wanita penjual tempe itu terkejut dengan pertanyaan tersebut. Belum pernah orang bertanya kepadanya mahu membeli tempe yang tidak matang lagi. Dengan debaran kencang dalam dada, dia berdoa "Ya Allah, aku tak jadi minta tempe ini matang ya Allah. Biarlah ia terus dalam keadaan yang belum matang tadi ya Allah.." Lalu dia perlahan-lahan membuka penutup, dan melihat tempenya, iya, masih belum jadi! Alhamdulillah. Wanita itu memborong semua tempenya yang belum matang dan pergi dengan kegembiraan.

Ibu itu bertanya kenapa wanita tersebut mahukan tempe yang belum matang. Lalu dia menjelaskan bahawa dia ingin mengirim tempe yang separa matang untuk anaknya di luar negara, anaknya mengidam sangat mahu makan tempe. Jika dikirimkan tempe yang sudah matang, nanti akan rosak dalam perjalanan. Maka dicarinya tempe yang belum matang agar apabila tiba nanti ia masih dalam keadaan elok.

Pulanglah kedua-duanya ke rumah masing-masing dengan hati yang sangat lapang.

Alhamdulillah..

------------------------------

Kadang-kadang kita meletakkan sesuatu 'benchmark' kepada Allah SWT untuk membantu dan memberikan kita apa yang kita mahu. Kita fikir, jika Allah SWT berikan kita apa yang kita nak, dalam keadaan yang kita bayangkan, barulah Allah SWT memenuhi doa dan permintaan kita.

Kita lupa, kita tidak pernah lebih tahu dari Allah SWT. Hatta dalam urusan yang kita sangka baik untuk diri sendiri.

Cukuplah kita bertawakkal dan melaksanakan bahagian kita dengan sepenuh hati. Atas dasar kebenaran yang kita yakini, untuk lebih dekat dengan keredhaanNya. Selebihnya, ialah hal yang dalam kawalan Allah SWT sahaja. Keajaiban Allah SWT ada di mana-mana, cuma kita yang sering memilih untuk memalingkan muka.

Dan dalam hidup ini, semua orang punya cabaran dan ujian masing-masing. Barangkali di saat kita bergelut dengan kesukaran pada saat ini, di dunia sebelah sana, ada orang sedang bergelut dengan kesukarannya yang jawapannya ada pada kita.

Stay resilient. Jangan putus asa.

Kita tidak tahu doa siapa yang akan kita penuhi dengan memilih untuk terus cekal pada jalan yang Allah SWT berikan pada kita.

Begitu juga kita tidak tahu siapa yang akan memenuhi doa kita dengan kecekalannya untuk terus percaya dan menempuhi ujian yang Allah SWT berikan kepadanya.

Sebagaimana wanita peniaga yang dikhuatirkan tempenya yang belum matang dan tak laku di pasaran, di sudut lain ada seorang lagi wanita pembeli yang dikhuatirkan persoalan, "berjayakah dia menemui tempe belum jadi untuk anaknya di perantauan?"

Bayangkan jika ibu peniaga tadi putus asa di tengah jalan dan pulang ke rumah kerana membuat asumsi dia tidak akan beroleh jualan hari itu, atau jika ibu yang membeli tadi putus asa sebelum keluar dan memilih tinggal saja di rumah kerana menyangka tidak ada siapa menjual tempe belum jadi di pasar.

Apa akan jadi?

Cabaran dalam hidup ialah lumrah, kerana Allah SWT memuliakan kita sebagai makhluk merdeka yang punya pertimbangan akal dan kesejahteraan jiwa.

Beranilah meneroka, kerana kita tidak tahu apa keajaiban yang bakal kita terima.

Jangan enggan melangkah kerana takut rebah, kerana kadang-kadang ada perkara yang kita hanya nampak apabila kita di bawah. Entah-entah ada batu permata tertimbus di balik pepasir atau di celah-celah kayu dan daun kering nanti saat kita tersadung, maka tidak perlu cepat melatah. Selagi langkah kita didasari matlamat dan tujuan yang jelas, hayatilah setiap perjalanan dengan senyuman indah meskipun payah.

Bukankah Allah SWT telah berfirman?

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjuang dengan bersungguh-sungguh di antara kamu, dan (belum lagi) nyata orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

[Aali 'Imran: 142]

One Tazkirah A DayWhere stories live. Discover now