1919
Suri dan Hendra baru selesai makan malam. Rumah mereka masih berlantaikan tanah, berbumbungkan daun nipah dan rumbia namun mereka bahagia. Anak lelaki sulung mereka sudah berusia 7 tahun. Kerap kali mengikut Hendra ke sawah di tepi bukit. Sawah itulah yang menjadi punca rezeki mereka sekeluarga. Ya, mereka susah namun bahagia. Suri pula sering dijemput dalam majlis keramaian untuk menjadi penyanyi. Wang upahnya cukup sekadar setempurung beras.
"Apa kau tak rindu pada keluargamu di seberang?" soal Hendra kepada Suri. Dia kasihan kepada isterinya ini terpaksa hidup susah bersamanya di sini. Menurut kata Suri, keluarganya di seberang orang berada. Ayah dan ibunya bekerja dengan residen Inggeris. Tapi malangnya kerana terhutang budi dia harus jadi mangsa untuk berkahwin dengan seorang pegawai Inggeris. Dia tidak mahu dan bersetuju melarikan diri bersama seorang saudaranya.
"Siapa yang tidak rindu pada keluarga, mas? Tapi... akukan sudah menikahi kamu. Sudah tempatnya seorang isteri itu di sisi suami. Aku cuma boleh berdoa agar orang tua aku baik-baik sahaja. Nantilah satu saat bila anak kita udah besar, aku akan kembali ke sana. Waktu itu tentu sahaja orang tua aku akan memaafkan aku, kan?"
Suri pegang perutnya yang sedikit kelihatan. Kiraannya baru tiga bulan. Ryanto bakal dapat adik dan teman.
Pinggan mangkuk yang kotor dibawa ke tepi telaga.
"Nanti kalau ada rezeki aku akan bawa kamu pulang ke sana. Mungkin kita boleh naik kapal yang sedang berlabuh sekarang di pelantar. Aku dengar kapal itu dari tanah Melayu."
Dia kasihan kepada isterinya ini. Bersusah payah membanting tulang membantunya di sawah.
"Mana mungkin kita ada wangnya. Mahu makan saja belum tentu cukup."
Suri cuba bergurau. Dia tersenyum pada anak sulungnya yang berusia 7 tahun. Tiba-tiba ada nada sayu yang berlagu dalam hatinya. Entah kenapa malam ini terasa lain sekali. Terasa syahdu. Terasa dia benar-benar merindui ibu dan ayahnya.
Tiba-tiba Suri menyanyi,
"Harum baumu sibungalah tanjung
Harumnya sampai, harumnya sampai
Melintasi gunung
Tuan kuharap umpamakan payung
Hujan dan panas, hujan dan panas
Tempat berlundung
Apa merayap di tengahlah sawah
Anak kepiting, anak kepiting
Di ruanglah batu
Apa diharap kepadalah saya
Saya yang miskin, saya yang miskin
Lagi piatu..."
"Merdu lagunya. Apa tajuknya?"
Suri pandang Hendra. Semakin hari kasihnya pada Hendra semakin menebal.
"Bunga Tanjung. Selalu aku nyanyikan ini saat menanti datukku pulang dari laut menangkap ikan. Aku akan duduk di tepi pantai dan mula menyanyi."
Sungguh kenangan itu mengusik jiwanya. Manakan mampu dibuang kalau sebahagian hidupnya ada di sana.
"Ryanto..." panggil Suri. Anaknya itu berlari mendapatkannya.
"Nanti kalau umur ibu tidak panjang, kamu harus kembali ke tanah Melayu cari leluhurmu. Khabarkan pada mereka yang ibu sayang... sangat sama mereka, ya."
Pipi Ryanto dicium.
"Enggak usah bicara begitu, ibu. Ibu harus hidup. Ryanto kan masih butuh ibu. Butuh ayah."
YOU ARE READING
BANGKITKAN AKU KEMBALI
Romance100 tahun lalu Suri di bawa lari oleh Musa di bantu oleh Mbah Timah ke negara seberang kerana tidak mahu di kahwin kan dengan penjajah Inggeris. Namun di Bukit Tinggi Suri jatuh cinta pada Hendra dan menghawini lelaki itu. Musa berdendam dengan pert...