2019
Zakuan kemaskan mejanya yang sedikit berselerak. Kepenatan menjalar di segenap ruang tubuhnya. Sudah beberapa hari dia tidak rehat secukupnya. Semuanya kerana projek yang akan dijalankan tidak lama lagi.
"Kau cakap nak pergi bercuti?" soal Hakim. Dia baru selesai mengemaskan semua pelan kertas kerjanya di atas meja. Zakuan angguk.
"Ingat nak bawa anak isteri aku ke Bukit Tinggi. Sambil berjalan sajalah nak tunjuk tanah nenek moyang aku tu. Kau tahulah Hana tulah satu-satunya waris keturunan ayah aku. Jangan esok dia tak kenal susur galur keturunan sendiri."
Hakim ketawa.
"Kau orang Minang, aku pulak orang Melaka. Eh, kau nak ke Bukit Tinggi tu dah ambil pakej ke?" soal Hakim. Zakuan tahu Hakim ini kaki jalan. Pantang ada cuti mulalah dia akan ke mana-mana bersama keluarganya.
"Tak pun. Aku ingat sampai kat sana nanti baru nak cari."
Zakuan duduk di kisi meja. Nak pulang awal lagi. Malas mahu meredah kesesakan jalan raya.
"Mana boleh macam tu, Zakuan. Kalau kau seorang tak apalah. Ni kau bawak anak bini. Kena plan semua tu. Sekejap, aku tolong tengokkan kat pak cik Google."
"Suka hati kaulah, Hakim."
Hakim tersenyum.
"Kau nak pergi berapa hari, Zakuan?"
Matanya masih memandang skrin telefon bimbitnya.
"Tak lama. Dalam 4 hari macam tu aje."
"Okey, ini ada satu. Homestay Bukit Tinggi. Siap ada pakej transport lagi. Banyak tempat best. Air terjun, istana Minang, lubang Jepang dan ada pakej yang isteri kau memang suka. Pakej ke kedai dan kilang sulaman."
Zakuan ketawa.
"Kau nak tak? Kalau nak kau e-mel aje kat orang ni. Nanti dia akan hubungi kau."
Zakuan ambil telefon bimbit dari tangan Hakim. Meneliti gambar-gambar yang diletakkan dalam pakej tersebut. Nampak cantik dan menarik semuanya.
"Kau bagi aku e-melnya. Nanti aku e-mel. Aku nak ke surau sekejap. Nak asar dulu sebelum balik. Kau tak asar?" soal Zakuan. Hakim sengih. Zakuan geleng kepala. Lantas kakinya diheret keluar dari pejabat. Jam 5.30 tapi kenapa suasana sedikit sunyi? Semua orang dah pulangkah?
Zakuan tekan lif. Mahu ke tingkat 6. Surau di situ lebih bersih dan ruang udaranya juga nyaman. Belum sempat pintu lif tertutup, ada seorang gadis menahannya.
Zakuan cuma tersenyum apabila gadis itu masuk ke dalam lif. Gadis berbaju kurung sulam putih itu hanya menundukkan wajahnya. Masuk dan terus diam di belakang Zakuan.
Zakuan buat tak tahu. Lagipun dia tak suka sangat tegur orang apatah lagi perempuan. Bimbang kalau ada yang salah anggap. Lif tiba-tiba terhenti di tingkat 5. Zakuan sedikit pelik sebab tiada yang tekan butang tingkat 5. Namun pintu tak terbuka. Beberapa kali Zakuan tekan butang open tapi masih juga begitu.
Gadis di belakangnya cuma diam. Masih menunduk.
Zakuan tarik nafas panjang. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
"Lif rosak kut ini." Dia bercakap sendirian. Mengharapkan gadis itu memberi respons. Namun gadis itu masih senyap. Zakuan tekan loceng keselamatan. Namun tetap tidak berfungsi.
"Aduhai, masa inilah dia nak stop pun."
Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket. Dia cuba menghubungi Hakim kalau-kalau Hakim masih ada di pejabat. Signal E menandakan tiada signal di dalam lif. Dia bersandar di dinding lif. Masih cuba menekan butang kecemasan. Tetap juga sama. Tiada langsung nada deringan. Zakuan ketuk pintu lif mengharapkan ada sesiapa yang mendengar dari luar tapi hampa.
"Saya harap ada orang datang selamatkan kita."
Dia pandang gadis itu. Wajahnya sedikit pucat tanpa calitan lipstik. Zakuan bukan apa, dia bimbang kalau gadis ini takut.
"Kerja kat tingkat berapa?" soal Zakuan. Daripada kedua-duanya senyap sahaja, lebih baik berbual-bual.
"Tingkat 17," jawab gadis itu. Zakuan cuma angguk. Dia tidak pernah nampak gadis ini sebelum ini meskipun kerap juga dia ke tingkat 17.
"Baru kerja ke? Saya tak pernah nampak pun cik?"
Gadis itu angguk.
"Baru dua bulan," balasnya.
"Oh, baru lagilah. Patutlah saya tak pernah nampak."
Zakuan diam sejenak. Harap-harap bilik pengawal nampaklah CCTV dalam lif ini mereka terperangkap.
"Tingkat 17 hari tu bukan ada kes bunuh diri ke?" soal Zakuan. Dia cuma dengar cerita dari mulut ke mulut. Kebetulan waktu itu dia sedang bercuti. Gadis itu angguk. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari luar. Zakuan tarik nafas lega.
"Alhamdulillah, ada yang tahu kita terperangkap dalam ini.
Tiba-tiba gadis itu angkat wajahnya sambil tersenyum.
"Sayalah yang bunuh diri tu."
Zakuan tersentak. Gadis itu bagai melayang ke dinding lif. Serentak dengan itu, dia terdengar suara ketawa gadis itu. Cepat-cepat dia beristighfar. Baca ayat-ayat yang patut. Seketika kemudian pintu lif akhirnya dapat dibuka dengan bantuan pengawal keselamatan. Wajah Hakim yang dipandang dulu.
Selepas mengucapkan terima kasih, Zakuan segera menceritakan pada Hakim kejadian di dalam lif seketika tadi. Hakim cuma tersenyum.
"Aku serius, Kim. Memang perempuan tu meresap dalam dinding lif macam tu saja."
Hakim ketawa.
"Dah nama pun hantu, kan. Itulah kau, surau kat tingkat kita ada yang kau gatal nak ke tingkat enam tu kenapa? Kan dah kena ganggu."
Zakuan menjeling.
"Nah, ini alamat e-mel. Namanya Pak Budi. Kau boleh berurusan terus dengan dia untuk pakej yang ditawarkan. Aku nak balik dah. Anak bini aku dah tunggu kat rumah."
"Macamlah kau ada anak bini, Hakim."
Hakim ketawa besar. Ya, dia belum berkahwin macam mana nak ada anak dan isteri?
"Aku balik dulu."
Zakuan angguk. Mindanya masih terbayang peristiwa tadi. Akhirnya dia simpulkan mungkin otaknya kepenatan, jadi ilusi sebegitu senang muncul. Bukan dia tidak percaya tapi ikutkan fakta, apabila fikiran kita penuh dengan masalah dan otak kita kepenatan, ilusi-ilusi yang terhasil daripada khayalan akan menjadi realiti. Mungkin sahaja tiba-tiba tadi dia terfikirkan tentang kes bunuh diri.
Zakuan mencapai beg kerjanya kemudian terus ke tempat parkir. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, dia langsung tidak memikirkan soal tadi. Apa yang dia fikir hanyalah bertemu isteri dan anaknya setelah seharian penat bekerja.
YOU ARE READING
BANGKITKAN AKU KEMBALI
Romance100 tahun lalu Suri di bawa lari oleh Musa di bantu oleh Mbah Timah ke negara seberang kerana tidak mahu di kahwin kan dengan penjajah Inggeris. Namun di Bukit Tinggi Suri jatuh cinta pada Hendra dan menghawini lelaki itu. Musa berdendam dengan pert...