CIKGU SHILA... AKU BENCIKAN KAU!
Shila sedang menyemak buku-buku pelajar home tutornya seorang diri di bilik atas. Sejak keluar dari universiti, dia lebih suka bekerja sendirian tanpa komitmen. Kerana itu dia buka kelas untuk home tutor. Lebih seronok mengajar sendirian. Lebih bebas.
Ibunya menjenguk sambil memandang jam di dinding bilik.
"Shila, tak tidur lagi?"
Shila tersenyum sambil kepalanya digeleng.
"Kejap lagi, mak. Ila nak habiskan tanda buku student ini."
"Ha, yalah. Jangan lambat sangat. Nanti nak tidur tutup semua lampu."
Shila angguk. Adiknya sudah lama lena di atas katil. Dia belum mengantuk.
Dia masih tekun menanda buku-buku pelajarnya. Ketika menanda latihan bacaan yang diberikan kepada Hana, matanya terpandang sesuatu yang aneh. Di bahagian bawah buku Hana ada kesan darah. Di sebelahnya ada gambar anak patung berambut panjang. Shila tarik nafas panjang. Hana masih lagi dalam dunianya. Dia bukan apa, dia tak mahu anak patung itu mempengaruhi psikologi hidup anak itu.
Sedang asyik menanda buku, dia terdengar bunyi ketukan di pintu bilik. Dia pandang Syasha yang sedang lena di atas katil. Kepalanya digeleng. Ini pasti adik bongsunya mahu menumpang tidur sekali.
Dengan rasa malas Shila bangun dari kerusi. Pintu bilik dibuka. Tiada sesiapa yang menanti di luar. Dia geram apabila Syafik main-main. Dia keluar dan jenguk ke tingkat bawah. Kosong. Tiada sesiapa pun.
Pintu kembali ditutup. Shila meneruskan kerjanya sementara matanya masih belum mengantuk. Dia pandang jam di sisi meja. Sudah hampir jam 1.30 pagi.
Sekali lagi pintu biliknya diketuk. Shila mula geram dengan Syafik yang mahu mengusiknya.
"Kau nak kena dengan akak ke?"
Dengan nada marah pintu bilik kembali dibuka. Dia dengar suara Syafik ketawa. Shila naik marah apabila dia nampak kelibat Syafik berlari turun dari tangga. Dengan pantas dia menjejaki adiknya. Dia turun ke tingkat bawah. Dia nampak Syafik berlari ke dapur.
"Kau nak kena dengan along, kan. Kau tunggu, ya. Tengah-tengah malam kacau orang."
Shila pasang lampu dapur. Mencari-cari Syafik yang mungkin sedang menyorok. Dia terdengar Syafik ketawa dari bilik air. Cepat-cepat tombol bilik air dipulas. Air dari pancur bagai baru dibuka. Masih menitik lagi ke lantai. Matanya liar mencari namun Syafik langsung tiada.
"Kau jangan main-main dengan along, Fik."
"Along..."
Shila terkejut apabila nampak Syafik tersenyum di luar dapur.
"Kau buat apa kat luar tu? Dah tengah malam ni, kan."
Entah bila masanya Syafik buka pintu dapur. Padahal pintu itu di sebelah tempat dia berdiri sahaja. Shila mencekak pinggang sementara Syafik masih lagi tersenyum sambil melambai-lambai dari luar.
"Masuk sekarang, Syafik!" arahnya. Syafik menggeleng.
"Jomlah ikut Fik."
"Kau nak pergi mana malam-malam ni? Kau nak keluar, ya. Kau nak along bagi tahu mak?"
"Jomlah along temankan Fik. Jomlah along..." Syafik merayu.
Shila naik darah. Belum sempat tombol pintu dipulas, tangannya dipegang seseorang. Shila terkejut. Ibunya sedang berdiri di sebelahnya.
"Nak pergi mana malam-malam ni? Dari dalam bilik mak dengar bunyi riuh. Kenapa ni?"
Shila pandang jendela. Anehnya jendela dapur itu tertutup.
YOU ARE READING
BANGKITKAN AKU KEMBALI
Romance100 tahun lalu Suri di bawa lari oleh Musa di bantu oleh Mbah Timah ke negara seberang kerana tidak mahu di kahwin kan dengan penjajah Inggeris. Namun di Bukit Tinggi Suri jatuh cinta pada Hendra dan menghawini lelaki itu. Musa berdendam dengan pert...