BAB 3

99 5 0
                                    

Bunyi desiran angin sekali lagi membuatkan suasana bertambah seram. Sesekali lolongan anjing kedengaran bersahutan dengan suara si burung hantu yang entah menegur siapa. Pohon mangga ini merendang dahannya. Ada dahan yang berjuntaian hampir patah. Entah akar apa yang berjuntaian turun di atasnya. Akar besar dan kukuh.

Di sebalik rimbunan pohon mangga ini, tersergam sebuah rumah batu yang dindingnya dipenuhi lumut dan tumbuhan menjalar.

Rahim dan Roslan saling berpandangan. Sesekali mata mereka berkalih ke pohon mangga dan sesekali juga mengerling ke rumah batu dua tingkat di hadapannya.

"Siapa?" Soalan Rahim membuatkan Roslan menggeleng. Tiba-tiba tubuhnya rasa seram sejuk. Lampu suluh di tangan dihidup dan dimatikan berulang kali. Rumah batu di hadapan ini sudah lama tidak berpenghuni. Kalau dulu penghuninya jarang sekali mereka nampak. Cuma sesekali sahaja muncul di tingkat atas rumah itu. Kemudian apa yang mereka dengar, salah seorang penghuni di situ meninggal dunia dan rumah itu kembali kosong.

"Kau rasa siapa?"

Soalan Rahim dikembalikan. Empat tahun dia bekerja di sini dan waktu malamlah paling menakutkan. Ada sahaja cerita dan pengalaman yang dia alami. Banyak sebenarnya kisah rumah lot tepi itu. Dulu pernahlah kawannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini mengalami perkara buruk. Waktu mengawal pada tengah malam, tiba-tiba kedengaran suara jeritan dari rumah batu tersebut. Apabila disuluh ke arah rumah itu, gelap gelita. Cuma lampu di pagar sahaja dihidupkan. Pernah juga beberapa kali kawannya itu nampak ada makhluk yang bertenggek di bumbungnya dan seorang lelaki memanjat bumbung dan letakkan sesuatu di atas bumbung. Beberapa ketika kemudian bagai ada seekor burung besar yang datang dan menyambar benda yang diletakkan itu. Sebab itu rumah lot tepi itu dikatakan berhantu.

"Siapa yang menjadi penghuninya saat ini?"

Terngiang-ngiang kembali kata-kata seorang sahabatnya apabila kali pertama dia bekerja di sini sebagai pengawal keselamatan di bangunan berhadapan deretan teres dua tingkat ini.

"Aku dengar pohon mangga ini berhantu. Selalu orang nampak perempuan berdiri di tepi rumah tu. Ada orang pernah nampak perempuan bawa anak berjalan-jalan di lorong itu. Tapi kakinya tidak jejak ke bumi."

Roslan mendengar penuh tekun. Mendapat tawaran kerja sebagai pengawal keselamatan dengan kelulusan hanya SPM ini pun sudah cukup dia bersyukur. Takkan pula dia mahu menolak hanya kerana kisah mistik rumah batu dan pohon mangga ini? Lagipun sudah dua kali dia nampak penghuni baru itu keluar dan berbual dengan jiran tetangga.

Roslan tarik nafas panjang. Dia pandang Rahim yang masih memandang cahaya dari rumah dua tingkat itu.

Desiran angin semakin kuat. Entah kenapa dadanya tiba-tiba berdebar kuat. Dari ekor mata dia bagai nampak sesuatu. Sesuatu yang sedang memandangnya dari dahan pohon mangga. Cepat-cepat dia masuk semula ke bilik pengawal. Surah Yasin yang sentiasa dibawa, dibaca. Terketar-ketar kerana dia boleh nampak dengan jelas makhluk yang mengerikan itu menyeringai dengan giginya yang tajam dan runcing. Makhluk itu memandang ke arahnya bagai mahu menerkam.

Rumah agam itu sudah lama tidak berpenghuni. Menurut cerita orang tua-tua, rumah itu kepunyaan seorang lelaki Melayu yang bekerja dengan orang Inggeris pada zaman penjajah dahulu.

"Biarlah siapa pun penghuninya, kita buat kerja kita saja. Kalau kita tak kacau, mereka pun tak kacau kita, kan."

Lolongan anjing terus kedengaran bagai menegur sesuatu. Kedua-dua pemuda itu kembali masuk ke bilik pengawal. Menahan nafas dan ketakutan yang sama-sama bersaing. Semoga malam ini mereka berdua aman sahaja. Tiada sebarang gangguan yang muncul.

Rumah baru yang diduduki Zakuan dan Haida ini baru sahaja dibeli daripada seorang kawan. Seronok apabila ada jiran-jiran di sekelilingnya. Di belakang rumahnya ada sebuah sekolah berasrama.

BANGKITKAN AKU KEMBALIWhere stories live. Discover now