SELANG tiga hari, Huda membawa CC dan Bob ke sebuah perkampungan terpencil. Kei yang masih tak sebulu dengan agen Skylex terpaksa mengikut. Bimbang ketinggalan maklumat baru.
Jenazah Suri selamat dikebumikan kelmarin. Punca kematian dalam surat mati ditulis sebagai 'mati mengejut'. Tuan Mazlan merasuah semua pihak daripada menyebarkan misteri kematian Suri. Ada duit, semua benda boleh cover.
"Sinilah kawasan terakhir Zack dilaporkan berada."
Bob tercegat menghadap laut. Atap asbestos berlubang sana sini. Lantai konkrit bersalut lumut. Uzur benar struktur jeti Kampung Pilav itu.
"Dapat cek siapa bawa dia ke seberang laut?" soal Bob.
"Mana kau tau dia naik bot?" Kei memintas sebelum Huda sempat menjawab.
"Dia datang sini nak buat apa? Takkan naik kapal terbang pulak?" CC mencelah.
"Orang kampung tak pasti. Kata mereka, Zack dan Suri upah tekong luar. Bot yang mereka naik pun penduduk kampung tak pernah nampak sebelum ni."
Huda lebih profesional berbanding mereka bertiga.
"Waktu Suri balik?"
"Undetected."
CC usap-usap dagu. Jeti ini tak adalah terlindung sangat. Ada deretan warung dan stor ikan sekangkang kera dari situ. Penduduk kampung ramai melepak. Pasti mereka perasan jika ada muka baru turun dari bot.
"Boleh percaya ke cakap orang kampung ni? Mereka tak salah pandang?" sangkal Kei.
Kurang yakin adik-adiknya pernah berada di kawasan itu.
"100 peratus boleh dipercayai. Ada bukti lagi."
Huda mengajukan gambar yang dihantar seorang penduduk kampung kepadanya.
Kei membelek skrin handphone. Suri dan Zack nampak gembira berborak. 20 orang lelaki berT-shirt hijau berselerakan di belakang mereka. Kru-kru itu sedang memunggah barang memasuki bot. Jadi, benarlah Zack dan Suri pernah berada di jeti itu.
Persoalannya, mengapa mereka menipu Kei dan Tuan Mazlan? Mereka kata mereka berada di Pulau Sacixtra. Bukan di sini.
"Kau tak tanya dari mana si tukang sent ni dapat gambar adik-adik aku?"
"Si tukang sent cakap dia pelajar kolej. Kebetulan cuti sem dan balik kampung. Waktu merayap dekat jeti, dia nampak kumpulan Zack dan Suri. Kau tahu ajelah rupa adik-adik kau tu macam mana. Normal kalau orang curi-curi ambil gambar."
Panjang berjela Huda bercerita. Arwah ibu Kei berdarah Yixian. Bangsa Yixian majoritinya kacak dan lawa. Tuan Mazlan pula termasuk dalam kategori rakyat Bellyanz yang molek paras rupanya. Bila dicantum gen Yixian dan Bellyanz, maka terhasillah Zack dan Suri yang super gorgeous.
Apa yang Huda cakap ada betulnya. Gambar itu kandid. Ditangkap dari tepi.
"Kenapa kau tak pernah tunjuk pun gambar ni pada aku sebelum ni?"
"Bapak kau suruh aku rahsiakan. Dia tak nak kau ambil keputusan terburu-buru."
Tuan Mazlan lebih mempercayai orang luar berbanding darah daging sendiri? Tak guna! Kei menyirap.
"Kita menyeberang," putus Bob selepas menganalisis maklumat.
"Wait a minute."
"What?"
"Korang cakap, korang tahu mana lokasi Pulau Amon. Kenapa sekarang korang nak guna petunjuk penduduk kampung pulak?"
"Aku cakap, aku ada cara nak ke Pulau Amon. Lokasinya aku tak pasti."
YOU ARE READING
MAKHLUK
FantasyTajuk: MAKHLUK Penulis: ANABELLA Harga: RM24 / RM27 Kematian aneh Suri memaksa Tuan Mazlan menggunakan khidmat Agen Skylex bagi mengesan dalang kes pembunuhan puterinya. Juga mencari Zack, kembar Suri, yang hilang tanpa berita. "Zack masih teruskan...