BAB 1

82 3 0
                                    

Lewat tahun 1800...

“AKU bersumpah, aku akan membunuh mereka yang menghina dan menyakiti hati aku sebegini rupa. Aku juga berjanji seandainya aku memiliki kekuasaan yang tidak terhingga dan maha luar biasa, akan aku tunduk dan memuja kamu sebagai TUHAN aku.”

Suara seorang lelaki bertubuh kekar bergetar bersama esak tangis yang penuh dengan rasa dendam dalam hati. Lelaki bertubuh kekar itu sedang duduk melutut mengadap sebuah batu yang berbentuh aneh di dalam gua batu kapur. Gua itu dikatakan oleh penduduk berdekatan sebagai berpuaka. Namun tidak baginya. Dia manusia yang tidak kenal erti tewas dan gentar. Luka yang masih dirasakan akibat
ketidakpuasan hatinya membutakan rasa seram dan segala kisah berpuaka mengenai gua itu. Apa yang penting, dendamnya dapat dibalas. Walaupun dengan bantuan makhluk yang bukan bernama manusia.

Dia hadir dengan perasaan kecundang dalam diri. Dahulu dia seorang lelaki yang cukup angkuh, tetapi roda sentiasa berputar dan kini dia tertunduk meratapi kekecewaan yang tidak pernah dia terfikir akan melukakan dirinya.

“Wahai penunggu gua puaka, aku hadir
menyerahkan diri aku untuk dijadikan hambamu. Muncullah wahai penjaga gua puaka. Menjelmalah, perturunkanlah kekuasaanmu kepadaku. Aku menyeru
kepadamu. Aku menyerahkan diriku.”

Pemuda yang bagaikan hilang pedoman diri itu terus memohon dan memuja batu yang berbentuk seperti manusia berjubah sedang duduk bersila itu.

“Aku melutut... aku hadir bersama kelukaan di
dalam hati. Berikanlah aku kekuatan, kekuasaan. Aku sanggup lakukan apa sahaja. Tolonglah... aku merayu...”

Diam. Suasana di dalam gua itu hening. Hanya
gema suaranya yang kedengaran. Tidak ada sahutan, tidak ada jawapan menyebabkan pemuda bertubuh kekar itu tertunduk. Bahunya bergerak-gerak sebelum terdengar esakan tersedu-sedu tanda kekecewaan yang tidak tertanggung lagi.

“Aku... merayu... aku sembah kepadamu... bantulah aku.”

Lelaki itu terus menyeru dalam keadaan melutut bersama esakan tangis luahan rasa kehancuran di dalam hati.Dia terus menyeru batu yang menyerupai sosok manusia itu tanpa henti dan tanpa berputus asa. Bentuk batu itu seperti seorang lelaki berjubah menutupi kepala yang sedang duduk bersila dalam keadaan tertunduk. Mustahil batu itu terhasil kerana hukum alam. Tidak mungkin juga ia diukir oleh manusia. Memang batu itu begitu mirip seperti seorang manusia berjubah yang
sedang duduk bertapa.

“Aku tahu... aku tahu kamu mendengar seruan dan keluhanku. Aku tahu kamu wujud. Aku juga tahu kamu bukan calang-calang makhluk. Bantulah aku, bantulah aku agar aku dapat membalas dendam!”

Bergetar suara pemuda itu melafazkan kata-kata. Suasana masih lagi seperti awalnya. Hanya suara nya yang bergema memecah keheningan gua yang dingin dan sunyi.

“Mungkin semuanya hanya dusta. Kamu hanya
dongengan si mulut manusia yang bodoh!”

Akhirnya, pemuda itu membentak meluahkan rasa amarah akibat ketidakpuasan hatinya yang semakin membengkak.

“Semuanya dusta!”

Kerana geram, dia mencapai batu dan dibalingnya ke arah batuan sang pertapa itu. Satu dentuman kuat Bergema. Namun secara tiba-tiba tanah tempat dia berpijak bergetar. Riak wajahnya berubah. Matanya melingas ke setiap arah. Kekudanya diperkukuh agar tidak tergugah akibat getaran yang sedang melanda.

“Gempa bumi?”

Usai dia berkata-kata, secara tiba-tiba perasaannya menjadi tidak menentu. Bergemuruh di dalam dada, namun tidak pula dia ketahui apakah penyebabnya. Gegaran sudah tidak dirasakan, tetapi ada sesuatu yang menyeramkan melanda perasaannya. Reromanya menegak kasar. Sedikit demi sedikit lantai gua tempat pemuda itu berdiri kembali bergegar. Kali ini lebih kuat sehingga kekudanya tidak mampu bertahan lagi. Runtuhan batuan kapur dari langit gua
menimpa pemuda itu. Walaupun dia cuba menahan dengan tangannya, namun hempasan yang gugur ternyata lebih kuat dan berat daripada apa yang disangkakannya. Akhirnya, lelaki itu rebah tertiarap berlumuran darah.

Ketika nafasnya sudah berombak perlahan dan pelupuk matanya semakin perlahan tertutup, dalam kekaburan pandangan dia melihat batuan yang berbentuh seperti seorang manusia yang sedang bertapa itu mulai bergerak-gerak. Disebabkan kecederaan yang
dialaminya, pemuda bertubuh kekar itu langsung tidak mampu untuk bergerak walaupun akalnya memberontak dan mengarahkan agar badannya bangkit
bergerak. Semakin kuat pergerakan batu yang berbentuh manusia itu, semakin merusuh perasaannya. Kerana tenaga nya semakin lemah, akhirnya pemuda itu menyerahkan dirinya kepada takdir.

Mungkin sampai di sini sahaja riwayatku, getus pemuda itu seperti sudah berputus asa. Dan ketika pandangan nya semakin gelap, batu berbentuk seperti manusia itu mulai berdiri. Namun selepas itu pandangan pemuda itu menjadi gelap sepenuhnya. Tidak ada lagi
kedengaran deruan nafas. Semuanya bagaikan sudah terhenti.

“Tidak!” jerit pemuda itu, bingkas bangun bersama rembesan peluh di wajah yang penuh dengan debu dan pasir. Dia melingas ke kiri dan ke kanan sebelum berhenti pada lelaki berjubah hitam dan bertongkat yang sedang
merenungnya. Akibat terkejut, pemuda itu bingkas bangun dan menghunus keris.

Tubuhnya yang masih tidak seimbang
terhuyung-hayang kala memijak tanah. Dia melibas-libas kerisnya itu ke kiri dan ke kanan tanpa mengenai sasaran.

“Siapa kamu?”

Pemuda itu merasakan seperti ada satu kuasa yang kuat pada lelaki berjubah hitam itu. Sehingga dia terdorong ke belakang beberapa langkah. Wajah lelaki berjubah hitam itu masih tidak dapat dilihat dengan jelas.Terselindung di sebalik kain jubah yang menutupi kepalanya . Semakin lelaki itu bergerak menghampiri pemuda itu, semakin tertolak lelaki bersenjata keris itu ke belakang sehingga menyentuh dinding gua.

“Bukankah aku yang kamu cari selama ini?”

Sosok berjubah hitam yang menutupi keseluruhan wajah nya dengan tenang menyapa.

Lelaki bertubuh kekar dan tinggi itu jelas tidak
dapat berbuat apa-apa ketika ini. Air liur sudah
beberapa kali ditelan. Dilihatnya sosok hitam itu atasdan bawah. Mata bagaikan tidak berkerdip kala melihat sosok yang semakin bergerak mendekatinya itu. Sedikit sebanyak timbul rasa seram di dalam hatinya. Belum
pernah lagi dia berhadapan dengan musuh yang tidak dapat ditumbangkan itu, malah sentuh pun tidak termampu.

“Aku tahu tujuan kamu, anak muda.”

Makhluk itu bersuara garau. Wajahnya sukar dipandang, hanya senyuman yang terlihat. Senyuman yang tenang, namun di sebaliknya
tersirat kegerunan, “Ka... kamu siapa?” soal pemuda itu yang masih
ketakutan.

Belum pernah dia merasakan ketakutan sedemikianrupa. Ini kali pertama dia berhadapan dengan sesuatu yang amat sukar dijelaskan. Gerak langkahnya seperti
manusia.

“Akulah yang kamu mahukan. Aku mampu berikan apa sahaja yang kamu hajati. Kamu hanya perlu menyembah aku jika kamu ingin hayat yang panjang,” ucap lelaki berjubah hitam itu perlahan. Lembut tetapi dalam dan garau suaranya.

“Ka... kamu... kamu...”

Terketar-ketar pemuda itu ingin menyebutnya. Lututnya dirasakan lemah. Air matanya bergenang. Keris di tangan terjatuh dari dalam genggaman. Reromanya meremang sehingga tidak dapat dikawal lagi. Dia merasakan dirinya semakin tidak mampu dikawal. Tubuhnya bagaikan beku dan kaku untuk bergerak. Sepertinya ada satu kuasa yang menyekat kekuatan anggota badannya untuk mengikut arahan otak. Hanya anak matanya yang mampu digerakkan ketika ini. Terkerdip-kerdip dia memandang sosok lelaki yang
sudah bangun dari pertapaannya itu.

“Usahlah kamu coba melawan. Aku sudah sedia membantu mu ,” ujar lelaki berjubah hitam lusuh dan terbongkok-bongkok ketika berjalan itu.

Secara tiba-tiba dia bergerak bagaikan angin
mendekati pemuda malang itu. Tangan yang berurat dan merekah dari lelaki pertapa itu menyentuh luas dahi pemuda yang sudah tidak mampu berbuat apa-apaketika ini.

“Diam. Kamu akan memiliki apa jua yang kamu mahukan. Kamu hanya perlu ikut aku,” ujar si pertapa yang masih tidak jelas paras rupanya. Hanya senyuman bersama gigi yang kekuning- kuningan menjengah di bawah teduhan kain lusuh yang menutupi bahagian kepalanya. Keseluruhan tampangnya tidak kelihatan dengan jelas.

Sentuhan tangan hitam dan berkuku panjang kebahagian kepala pemuda itu membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar. Berbuih-buih mulutnya. Bola mata terbeliak menghilangkan mata hitamnya.

“Syy... kamu beruntung wahai manusia. Beruntung kerana memilih aku. Ya... akulah Ifrit, TUHAN barumu.”

Bersambung...

#Saideenorazam #7Kematian #Prolifik #novelseram #novelis #Seramlicious #seram #ifrit #SiriSeramSna

7 KEMATIANWhere stories live. Discover now