BAB 2

19 1 0
                                    

INI salah satu bab serta plot yang terpaksa penulis singkirkan di dalam 7 KEMATIAN. Plot 'Maut Menanti' ini tak akan ada di dalam novel penuh. Di sini penulis hadiahkan kepada semua.

7 KEMATIAN

BAB 2
(Maut Menanti...!)

HUTAN Kenyir kelihatan tenang dan damai. Kicauan burung dan unggas menghiasi latar keindahan alam yang menghijau di bumi bertuah Terengganu. Ketika ini di kaki bukit hulu Sungai Cicir kelihatan ada dua sosok lelaki sedang berdiri sambil berbincang sesama mereka.

“Kau pasti kawasan ni dah clear? Kalau tak, masak
kita nanti Nazz,” soal lelaki bertubuh sedikit gempal. Dia mendongak sambil melilau-lilau melihat persekitaran.

“Betullah. Aku dengar kawasan ni dah terbiar lama. Tak ada orang jaga dah,” jawab Nazirul, lelaki bertubuh kurus dan sedikit rendah. Dia yang berkaca mata dan memakai penutup
kepala tersengih-sengih memandang rakannya yang sedikit tinggi daripadanya.

“Aku risau.”

Hilmi yang bertubuh sedikit gendut itu
akhirnya menyuarakan isi hatinya.

“Kau jangan, Mi. Kita datang dari jauh tau semata- mata nak jejak gua ni. Sekarang, kau pulak yang banyak songeh,” bebel Nazirul.

“Aku tak sedap hatilah.”

Perlahan Hilmi meluahkan rasa yang tersimpan dalam dadanya. Wajah Nazirul mencuka. Dia mengeluarkan sebuah catatan dari dalam beg galas. Helaian demi helaian dibuka sebelum berhenti pada lembaran yang ingin dia singgah. Di situ, anak matanya bergerak-gerak dari kiri
ke kanan sebelum berhenti dan kembali memandang Hilmi.

“Ini... kerana benda nilah kita datang. Kau jugak cakap kawasan ni dah tak ada apa-apa. Bukankah ni memudahkan kita?” ujar Nazirul sambil menunjukkan lembaran yang diselaknya kepada Hilmi.

“Ya, aku tahu. Tapi kau takkan dah lupa dengan kejadian binatang buas membaham orang kat kawasan ni?” balas Hilmi pula.

“Kau ni dah kenapa, Mi? Kalau dari awal lagi kau tak bersetuju nak datang sini, aku takkan turuti kemahuan kau. Kau tak nak kaya? Dalam gua tu pasti banyak rahsia yang belum diselongkar.”

“Masalahnya, dulu gua ni orang kampung cakap tempat...”

“Tempat apa? Tempat harimau tidur? Tempat jin beranak-pinak?” Lancang sekali mulut Nazirul meluahkan kata.

“Kau dah kenapa? Sebut yang bukan-bukan. Dah lupa ke kita kat mana sekarang?” tekan Hilmi. Wajahnya kemerah-merahan mendengar kata-kata yang terluncur keluar dari mulut rakannya itu.

“Sekarang, kau nak teruskan ke tak? Kalau kau
takut, biar aku seorang aje yang panjat sampai ke gua tu,” ujar Nazirul dengan berang.

Amarahnya sukar ditahan.Hilmi menarik nafas panjang dan cuba meleraikan rasa hangat dalam dadanya. Dia kenal sangat dengan
rakannya itu, panas baran tidak bertempat. Cuma apa yang dia sedih dan kecewa, mulut rakannya itu bagaikan tidak dapat dibendung keceloparannya. Dia bagaikan dikuasai rasa tidak puas hati sehingga lancang sekali menyebut sesuatu yang menjadi larangan ketika berada di dalam hutan.

Nazirul terus berjalan mendaki kaki bukit. Dia seperti tidak mengendahkan lagi rakannya. Nekad sekali untuk sampai ke gua yang dahulunya pernah menjadi kawasan larangan. Kerana memikirkan sudah jauh mereka berjalan dan meneroka bumi Kenyir. Hilmi mengelus perlahan sebelum menggerakkan kakinya mengekori langkah Nazirul. Kalau bukan kau tu sepupu aku, tak adanya aku nak mengalah, bisik Hilmi dalam hati.

MALAM itu, Nazirul dan Hilmi membina sebuah khemah di luar pintu gua yang akan mereka terokai. Jika waktu belum berganjak ke senja, kedua-dua pemuda itu sudah pasti akan meneruskan langkah meredah kegelapan gua yang diberi nama Puteri Beradu itu.

7 KEMATIANWhere stories live. Discover now