Jangan Sesekali Menyerah Kalah

4 0 0
                                    

Aku tak tahu bila kali pertama Pak Usu sakit. Yang aku tau, sejak aku kenal dengan dunia, Pak Usu dah pun sakit. Terlantar di atas katil, tersadai di kerusi rodanya. Selepas Wan Hassan meninggal beberapa tahun selepas Pak Usu sakit, Tok Mah-lah yang menjaganya. Setiap hari, begitulah dia.

Kata Mama, Pak Usu jadi lumpuh begitu sejak dia berusia 18 tahun, beberapa tahun sebelum aku dilahirkan. Pak Usu kemalangan semasa pasukan bola sekolah sedang mengadakan perlawanan persahabatan. Bola yang melantun kuat ke kepala Pak Usu membuatkan Pak Usu rebah di situ juga. Perlawanan dibatalkan serta-merta.

Pak Usu dikejarkan ke hospital. Beberapa hari kemudian, doktor memberitahu Tok Mah bahawa Pak Usu kini lumpuh anggota sebelah kiri. Selain itu, percakapan Pak Usu juga menjadi tidak jelas akibat sakitnya yang menyerang saraf tunjang, membuatkan pergerakan mulutnya terbatas dan bibirnya sedikit herot.

Berderai airmata si ibu mengenangkan nasib anaknya yang baru saja mahu melakar usia mudanya dengan cita-cita untuk menjadi seorang doktor yang terpendam dari usia kecil lagi, musnah begitu saja.

Sejak itu, Tok Mah dan juga bantuan dari Mama dan adik-beradik lain yang menguruskan segala makan, minum, mandi, pakaian dan tidur Pak Usu.

Dari kecil aku perhati, Tok Mah tak pernah lalai dalam menguruskan hal Pak Usu. Tabah dengan dugaan yang Tuhan bagi. Redha dengan segala yang diputuskan oleh-Nya.

Paling yang Tok Mah jaga adalah ibadah Pak Usu. Setiap kali mandi pagi dan petang, akan dibasahkan anggota Pak Usu dengan air wudhuk. Kemudian, disarungkan baju yang bersih ke tubuh Pak Usu dan disorongkan kerusi rodanya ke arah kiblat agar mudah Pak Usu menyembah pada Yang Esa.

Tiba masa santai, Pak Usu suka betul bila kami memasang filem arahan dan lakonan P. Ramlee. Pak Usu suka mendengarkan suara nyanyian Allahyarham bersama biduanita Allahyarhamah Saloma. Kenapa cuma hanya mendengar? Kerana mata Pak Usu semakin banyak tahun berlalu, semakin kabur pandangannya.

Semakin hari, kondisi Pak Usu semakin teruk. Penyakit yang menyerang saraf terus ke otaknya membuatkan lumpuh yang cuma di anggota kirinya kini menyerang anggota kanannya pula, sedikit demi sedikit.

Namun, kami tetap mahu Pak Usu gembira. Oleh itu, setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, kami sekeluarga akan membuat makanan kesukaan Pak Usu; ketupat nasi, kuah kacang dan rendang daging. Baju raya juga tak dilupakan. Dibeli mengikut warna tema yang keluarga tetapkan setiap tahun.

"Walaupun sakit, bila datang hari mulia haruslah cantik-cantik. Baru segak." Itulah kata-kata pujukan Tok Mah kepada Pak Usu setiap kali Pak Usu seakan mengalah dengan takdirnya. Senyuman yang terukir pada wajah suci seorang ibu tua itu menjadi pembakar semangatnya untuk terus hidup.

Dalam duka, kami gembira kerana dapat menggembirakan Pak Usu pada tahap maksima walaupun hanya setahun dua kali cuma. Pak Usu tak pernah merungut tentang itu.

Setelah lebih dua dekad berlalu, aku semakin dewasa. Dan setiap kali aku pulang ke kampung, aku dapat melihat kondisi Pak Usu yang semakin kritikal. Pil ubat-ubatannya saja bermacam bentuk dan warna yang perlu dia telan. Makan juga tak boleh sembarangan. Perlu diberi makanan yang lembut saja. Kek coklat yang pernah aku beli di Pekan Rabu itu juga perlu dicicah dengan air dahulu sebelum disuap ke mulut Pak Usu.

Satu pagi, Tok Mah mahu menyiram tubuh Pak Usu sebelum bergegas untuk solat Subuh. Seperti kebiasaannya sejak 20 tahun lalu. Namun, Pak Usu kelihatan lemah. Tak bermaya. Tok Mah memandang Pak Usu dengan pandangan redup. Diteruskan mencedok air kolah yang dingin menggunakan gayung plastik dan disiram ke kepala dan tubuh Pak Usu.

Tiba-tiba, mata Pak Usu bertukar putih. Perlahan-lahan ia terkatup. Nafas yang berombak perlahan kini terhenti.

"Adik?" Tok Mah menggoncang tubuh Pak Usu. "Adik, bangun." Suara Tok Mah kedengaran ketarnya.

Masih tiada respon.

Tok Mah mengetap bibirnya, menahan tangis. Dia tahu sudah tiba masanya.

Dari Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali, bisik hatinya.

Tok Mah masih terus menyiram tubuh Pak Usu sebelum dilap kering tubuh kaku itu. Kemudian, Tok Mah menyorong kerusi roda itu keluar kamar mandi dan terus ke ruang tamu rumah.

Pada akhir solat Subuh pagi itu, Tok Mah mengangkat tangannya menadah tangan. Berdoa.

"Ya Allah, begitu berat dugaan-Mu terhadap anak lelakiku ini. Selama 24 tahun lamanya dia menahan sakit. Baru hari ini kau lepaskan segala deritanya. Ya Allah, aku redha atas pemergian anakku, Syafi'e. Tempatkan dia bersama arwah suamiku dan arwah anakku, Ramlan, tempatkan dia bersama orang yang beriman."

Begitulah doa seorang ibu tua yang redha atas pemergian anaknya yang menderita sakit lumpuh sekian lamanya.

Aku jarang berjumpa dengan orang yang sebegini. Aku bangga dengan cara Tok Mah yang mampu melepaskan Pak Usu pergi menghadap Ilahi. Tak seperti kebanyakan orang yang hanya tahu melolong dan meraung tak tentu pasal tanpa berdoa untuk si mati.

Selesai solat Zohor, tubuh Pak Usu yang telah siap dimandi dan dikafankan itu dibawa ke tanah perkuburan. Kubur Pak Usu betul-betul bersebelahan dengan kubur Pak Lang, adik Mama yang ketiga, yang meninggal beberapa tahun lepas. Dari sembilan adik-beradik, kini Mama hanya tinggal tujuh beradik.

"Hidup perlu diteruskan. Yang mati biar terus mati. Kita simpan cuma kenangan. Jangan sesekali lupa kirimkan doa untuk keluarga yang sudah mati agar mereka berada dekat dengan Allah," pesan Tok Mah kepada anak-anak dan cucu-cucu yang berada di situ.

Begitu tenang sekali lagaknya. Sempat dia melemparkan senyum pada kami semua. Namun hatinya, tiada siapa yang mampu menghadapinya.

Mungkin sebab itu Tuhan menduga Tok Mah dan Pak Usu dengan dugaan seberat itu. Kalau aku? Mungkin aku sudah mengangkat bendera putih setinggi-tingginya agar Tuhan nampak yang aku sudah menyerah kalah.

Namun jauh dalam sudut hati aku, aku mahu menjadi seperti Tok Mah. Kuat. Tabah. Luar dan dalam.

"Hidup ni penuh dengan cabaran. Yang kita hadap tu kadang-kadang dugaan kecil je kalau nak dibandingkan dengan dugaan milik orang lain. Hargai apa yang mendatang sebab itu yang membentuk kita. Yang penting, jangan sesekali menyerah kalah!" 

Kapal Terbang ImaginariWhere stories live. Discover now