SEPANJANG tempoh kehamilan, Hamidah sentiasa menjaga kandungannya dengan baik walaupun dia masih tawar hati dengan menerima cahaya mata ini dalam kehidupannya. Dia tahu ini tak sepatutnya dilakukan olehnya kerana telah menolak rezeki kurniaan Allah, tetapi dia masih belum bersedia. Namun dia percaya aturan Allah itu lebih baik daripada aturan manusia.
Sudah lima bulan dia mengandung. Semakin sarat. Perutnya juga sudah mula kelihatan berisi. Setiap hari, semakin banyak dugaannya. Belakangnya juga selalu sakit. Tetapi mengenangkan dia sudah dua kali melaluinya, kesakitan itu dapat dibiasakan walaupun masih terasa. Namun, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Tangannya memotong bawang besar di atas papan pemotong. Usai itu, dia beralih kepada memotong kacang panjang pula. Hari ini, dia berhajat untuk masak ayam goreng kunyit sebagai hidangan tengah hari. Entah mengapa, dia teringin mahu menjamah hidangan itu.
Barangkali, sikap ibu mengandung mengidam. Memikirkannya sahaja buat dia hampir kecur liur.
"Lailahaillallah... Midah, kamu buat apa ini?" Zainun menegur sejurus dia baru pulang daripada kelas agama. Terperanjat dia melihat Hamidah sedang membuat kerja dapur.
"Midah nak memasak, umi. Kenapa?"
"Ya Allah, cuba duduk diam-diam. Biar umi masak hari ini. Kamu itu tengah mengandung. Tak penat ke dari pagi tadi buat kerja? Biar kali ini umi yang masak pula," bebel Zainun lalu membasuh tangannya untuk mengambil alih kerja menantunya untuk memasak.
"Tak payahlah umi. Masak yang senang-senang."
Zainun mengambil pisau daripada tangan Hamidah dan sambung memotong kacang panjang.
"Eh umi..."
"Kalau masak senang-senang, lagilah senang kerja umi. Tak payah kamu nak risau sangat. Kamu nak masak apa ini?"
"Ayam goreng kunyit."
"Hurmmm... Setakat ayam goreng kunyit itu, umi campak-campak dah siap masak. Sudah, tak usah kalut sangat. Senang aje nak masak."
"Yalah umi." Hamidah akhirnya mengalah dan hanya duduk di kerusi. Bermalas-malasan sementara menemani ibu mentuanya memasak.
"Ini masak ayam goreng kunyit, kamu yang nak makan ke?"
Hamidah mengangguk. "Haah, teringin umi."
Zainun tersengih. Memahami karenah ibu mengandung. Mengidam itu satu perkara biasa buat ibu yang sedang mengandung. Sebagai ahli keluarga, haruslah memahami karenahnya.
"Wanita yang mengandung ini, Midah... Memang wanita yang bertuah." Zainun membuka cerita.
"Kenapa umi?"
"Umi tak tahulah kalau sebelum ini umi ada pernah cakap ke tidak, tetapi kalau umi dah cakap, anggap sajalah umi ulang semula."
Hamidah ketawa. Tak apalah. Nasihat orang-orang tua ini ada gunanya walaupun diulang berkali-kali.
"Tahu tak, sejurus sahaja seorang perempuan itu melahirkan anak, Allah ampunkan dosa-dosanya dan diibaratkan dia itu seperti dilahirkan semula. Suci tanpa dosa."
"Tahu... Midah ada juga dengar, kalau wanita itu mati ketika melahirkan anaknya, dia akan dianggap mati jihad."
"Hah, kamu nak tahu kenapa wanita yang mati ketika melahirkan anak itu satu jihad?"
"Sebab apa?"
"Sebab perjuangan dia nak mengembangkan umat Islam... Sebab perjuangan dia nak beri kehidupan kepada satu nyawa... Sebab perjuangan dia nak memberi sinar kebahagiaan dalam keluarga..."
YOU ARE READING
TATKALA CINTA TERUJI
Romance[TATKALA CINTA TERUJI] - PENA PUTERA SINOPSIS :- PERKAHWINAN yang terbina atas dasar persahabatan orang tua membawa Azyah dan Fakrul kepada ikatan suami isteri dengan rela hati mereka. Azyah cuba untuk menerima apa yang berlaku segalanya dengan hat...