BAB 1 (NEW EDITION)

1.3K 37 3
                                    

SUKAR untuk dikatakan, namun kehilangan anaknya yang entah ke mana menghilang membuatkan Hamidah berasa bimbang dan tidak keruan. Dia mencari anak perempuannya itu di setiap sudut rumahnya namun tidak berjaya menemuinya. Dadanya mula berdegup kencang apabila memikirkan sesuatu yang buruk mungkin berlaku terhadap anaknya.

Sebentar tadi, dia meninggalkan anaknya yang sedang tekun belajar di ruang tamu untuk menyediakan snek buat anaknya jamu sambil belajar. Baru sepuluh minit di dapur, anaknya sudah tidak kelihatan lagi di ruang tamu. Sangkanya, mungkin ke tandas. Namun setelah menunggu sekian lama, anaknya itu masih tidak muncul.

"Azyah? Azyah?" Bibirnya tidak lekang daripada memanggil nama anaknya. Semakin lama, dia semakin risau.

"Ibu?"

Hamidah berpaling. Terlihat anak perempuannya itu sedang menjilat aiskrim ditemani anak sulungnya, Rayyan. Dia segera memeluk Azyah yang masih kecil itu sambil menangis. Rayyan dan Azyah berasa hairan dengan kelakuan ibu mereka.

"Kenapa ibu menangis?" Rayyan mengajukan soalan.

"Kamu ke mana tadi, Azyah?" Tidak mengendahkan soalan Rayyan, Hamidah menanti jawapan anak perempuannya yang dicari tadi.

"Tadi abang bawa Azyah pergi beli aiskrim," jawab Azyah sambil menunjukkan aiskrim yang dipegangnya.

Puan Hamidah memandang tajam anak sulungnya. Pandangan itu membuatkan Rayyan agak takut dengan ibunya. Dia dapat merasakan tanda yang tidak baik.

"Kenapa kamu bawa adik kamu keluar tanpa izin ibu? Kamu memang nak buat ibu risau ke?" marah Hamidah. Rayyan tertunduk takut dengan amarah ibunya.

"Maafkan Rayyan. Rayyan tak sengaja. Rayyan nak belanja..." Belum sempat menghabiskan kata, Hamidah sudah memotong.

"Sudah, ibu tak nak dengar apa-apa alasan. Lain kali kamu buat lagi, siap kamu!"

"Rayyan minta maaf, ibu..."

"Abang tak salahlah ibu. Ibu jangan marah abang!" Azyah membela abangnya daripada dimarah. Dia tidak mahu abangnya dipersalahkan. Lagi pun, dia juga yang mengikut abangnya tanpa memberitahu ibunya tadi. Salah dia juga.

"Sudah, ibu tak nak dengar apa-apa. Lain kali, jangan buat lagi. Faham!" Hamidah masih tidak mahu mengalah. Kedua-dua anaknya akur dengan arahan ibunya. Rayyan mengatur langkah lemah menuju ke biliknya. Matanya mula berair, menahan sebak gara-gara dimarah sebentar tadi.

Azyah yang melihat abangnya pergi, berasa simpati.

"KENAPA dimarahnya budak itu? Dia tak sengaja... Kasihan umi tengok budak itu," ujar ibu mertua Hamidah, Zainun tentang kejadian petang tadi setelah diceritakan Azyah. Jika cucu perempuannya itu tidak buka mulut, memang dia tak tahu langsung.

"Midah bukan sengaja umi. Midah takut kalau apa-apa jadi dekat Azyah. Itu aje, umi." Hamidah membela diri. Bukan niatnya mahu melukakan hati anak sulungnya.

"Kalau ya pun, jangan ditengking budak itu. Cuba awak tegur elok-elok." Hussein mencelah, cuba menasihati isterinya untuk mengawal diri.

"Awak cakap sedaplah. Yang rasa risau itu, saya." Hamidah sekadar menjeling suaminya.

Hussein menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Kurang berpuas hati dengan jawapan isterinya sebentar tadi.

"Sudah, sudah. Umi tak nak benda ini jadi bahan untuk kamu berdua gaduh. Midah, selepas ini jangan ulang perangai macam itu. Ada benda kita boleh marah anak. Ada benda tak boleh nak berlebihan," nasihat Zainun terhadap menantunya itu. Hamidah sekadar mengangguk.

Zainun segera bangun meninggalkan kedua-duanya di ruang tamu. Hamidah dan Hussein saling mendiamkan diri. Masing-masing tidak bersuara untuk seketika.

TATKALA CINTA TERUJIWhere stories live. Discover now