Kerana Andi Kamarool lambat menyambung percakapan yang terputus, keresahan datang dalam diri saya. Rupa-rupanya keresahan yang sama juga dialami oleh Mia. Buktinya, dia tidak dapat duduk dengan aman. Sering saja mengaru-garu pangkal leher dan meraba hujung bajunya.
“Andi,” saya bersuara.
Dengan segera Andi Kamarool mengangkat tangan kanannya, memberi isyarat supaya diam. Jangan campur dalam urusannya. Lebih tetap dia menyuruh saya membantu. Mia hanya memperhatikan saja gerak-geri Andi Kamarool.
“Kami berdua ada rancangan nak berjalan-jalan di kawasan kampong, di hujung ladang Mia. Kami nak berkenalan dengan penduduk se tempat.” Andi Kamarool berhenti bercakap. Dia senyum pada saya dan Mia.
“Kali ini, biar aku dan Tamar makan di luar,” sambung Andi Kamarool . Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang dituturkan oleh Andi Kamarool itu.
Mia tidak memperlihatkan reaksi yang negative. Dia nampak bersahaja menerima kata-kata Andi Kamarool. Cuma hati saya saja yang cemas. Bimbang, kalau dia melenting dan menghalang.
“Eloklah tu, tapi hati-hati. Kalau kamu dengar komen orang kampung tentang aku dan rumah batu, jangan cakap apa-apa. Kamu berdua dengar saja,” Mia meluahkan ingatan.
Kami segera mengangguk.
“Tapi jangan lupa makan malam di rumah aku,” Mia kemukakan permintaan dalam senyum penuh kemesraan. Angin yang berlegar di ruang tamu menggerakkan anak rambutnya yang terjuntai di cuping telinga kiri.
“Begini Mia,” Andi Kamarool membetulkan duduknya, biar selesa dan seronok, begitu jugak saya.
“Apa lagi Andi?” Mia bertanya.
“Terlanjur dah keluar dari ladang kamu, kami nak beli barang untuk makan malam,” dalam nada suara keyakinan saya meluahkan kata-kata.
Sesungguhnya, saya sendiri tidak menduga boleh berbuat begitu. Semuanya tidak dirancang, keluardari mulut secara spontan.
“Maksud kamu, mahu masak sendiri,” Mia menghalakan sepasang biji matanya ke wajah saya.
“Nampaknya begitulah Mia. Kami juga nak bersembahyang berjemaah Maghrib dan Isyaak dengan orang kampong,” Andi yang menyelamatkan keadaan.
Rasa terkejut terbayang di muka Mia. Dia merenung kosong kearah ruang dapur. Macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya. Dia senyum sinis.
“Agaknya nak tukar selera, nak makan masakan sendiri. Maklumlah dah kerap sangat makan masakan aku, terasa juga jemunya,” Mia bagaikan menyindir. Saya dan Andi hanya mampu tersenyum, tidak mahu memberikan sebarang komentar.
“Aku, harap rancangan kamu dapat berjalan dengan lancar,” tambah Mia, dia segera berpusing menuju ke ambang pintu.
“Aku balik dulu, hati-hati masa berjalan dalam kawasan kampong orang,” Mia mengingatkan lagi. Dia pun melangkah menuruni anak tangga. Kami juga turut berbuat demikian, tetapi setakat kaki tangga sahaja. Mia pun melangkah pulang, berlenggang penuh sopan.
RANCANGAN
Kira kita jam sepuluh pagi, kami tinggalkan rumah papan menuju ke arah selatan ladang milik Mia. Setelah melepasi pintu pagar yang tidak berkunci, kami memasuki kawasan tanah paya yang menjadi sempadan antara tanah kampong dengan kawasan ladang peninggalan arwah orang tua Mia.
Lebih kurang setengah jam perjalanan, akhirnya kami sampai kekawasan pinggir kampong. Dari situ, kami melalui jalan tanah merah yang agak sunyi.
Kiri kanan jalan penuh dengan pokok-pokok getah. Bila sampai kekawasan perumahan, suasana terasa agak sibuk, kelihatan ada para penduduk menebas kawasan rumah yang kebanyakannya ditanam dengan pokok-pokok buah-buahan seperti betik, rambutan, ciku dan sebagainya.
Semua orang yang ditemui, sama ada yang berjalan kaki atau naik basikal semuanya ringan mulut. Mudah memberi salam dan menegur sapa.
“Mahu ke mana ?”
Tegur seorang lelaki yang berusia sekitar enam puluhan, dibahunya ada seberkas kayu. Parang terselit di pinggang. Dia seperti baru balik dari kebun buah-buahan.
“Kami nak cari rumah Haji Simpul.” Saya menjawap.
Orang tua itu menurunkan berkas kayu dari bahu, disandarkan pada pangkal pokok ketapang. Dengan secebis kain (yang sukar diteka warnanya kerana sudah lusuh) dia menyapu peluh di dahi. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Lebai Saad. Kami pun beritahu nama kami kepadanya.
“Kamu berdua orang luar?”
Serentak kami anggukkan kepala.
“Begitulah selalunya, orang luar datang ke sini suka sangat mencari Haji Simpul. Nama dan kebolehannya tersebar di mana-mana. Pada kami dia cuma orang tua biasa saja,” katanya sambil mengajak kami duduk atas tunggul kayu.
“Apa hal nak jumpa dia?”
“Tak ada apa-apa, saja nak jumpa,” kata Andi Kamarool.
“Ikut jalan ni keutara, kamu jumpa dua deret kedai papan, kamu jalan lagi hingga kamu jumpa sebuah rumah di hujung kampong, berdinding tepas, beratap rumbia. Itulah rumah Haji Simpul,” dengan nada suara yang bersahaja Lebai Saad memberi petunjuk.
“Terima kasih, Pak Lebai,” kata saya.
“Sama-sama kasih, selamat jalan.”
Kami segera bersalaman dan meneruskan langkah.
Semasa sampai di halaman rumah Haji salaim, kami dapati daun pintu rumahnya tertutup rapat. Tetapi, tingkap terbuka luas, suara orang membaca Quran jelas kedengaran. Berhampiran tangga terdapat sebuah basikal tua. Saya terus memberi salam. Gembira sekali, bila salam yang diberi menerima jawapan.
TEGAP
Daun pintu terkuak, seorang gadis sunti dalam lingkungan usia 12-13 tahun muncul dipintu, memakai tuding.
“Haji ada di rumah?” saya bertanya.
“Ada,” si gadis menghilangkan diri. Tempatnya segera diganti oleh seorang lelaki tua, memakai serban, janggutnya putih sampai kedada. Kelihatan tegap dan sasa.
“Sila masuk,”
Kami masuk ke perut rumah. Duduk bersila atas tikar mengkuang. Orang tua itu memanggil gadis sunti suruh masak air.
“Ini piut saya,” sambil memegang hujung serban, orang itu bersuara.
Macam tadi, kami anggukkan kepala. Ekor mata saya mengawasi setiap sudut ruang. Semuanya menyenangkan.
“Kamu berdua orang luar?”
“Iya, Tuan Haji,” jawap Andi Kamarool.
Saya sudah memutuskan setiap pertanyaan yang diajukan oleh Haji Simpul akan dijawap oleh Andi Kamarool. Saya mahu membisu.
“Dari ladang arwah orang tua Mia?”
“Iya, Tuan Haji.”
“Kenapa tak ikut jalan raya? Ikut jalan raya lagi dekat. Tak sampai sepuluh minit dah sampai kesini.”
Tiada jawapan yang dihamburkan oleh Andi Kamarool. Dia merenung ke arah saya, seolah-olah meminta bantuan. Kerana saya sudah memutuskan mahu mendengar sahaja, jadi saya buat tak kisah dengan renungan itu.
Andi Kamarool garu cuping telinga tiga kali berturut-turut, sebagai isyarat saya menjawap pertanyaan Haji Simpul. Saya gelengkan kepala, tidak bersedia untuk masuk campur.
“Kerana tak ada orang yang nak beritahu, jadi kamu berdua main redah saja,” Haji Simpul mengakhiri ungkapan dengan senyum sinis.
“Iya, “ cepat Andi Kamarool menyahut.
“Kenapa kau orang tak tanya Harisun orang gaji Mia, dia tahu jalan pintas. Ikut jalan pintas, lagi pintas lagi cepat.”
“Dia tak suka kami jumpa Tuan Haji, “ tidak semena-mena saya ikut campur. Melanggar janji dan azam sendiri. Haji Simpul tersenyum lagi. Tidak memberikan sebarang komentar.
“Silapnya kerana kami tak bertanya,” Andi Kamarool seperti membela Kak Sun.
“Ohh…..,” sahut Haji Simpul separuh keras. Matanya tertumpu ke arah kami berdua.
TENTANG
Memang saya tidak berdaya menentang biji mata Haji Simpul, sinar matanya saya rasakan menusuk kalbu. Gerak anak mata hitamnya bagaikan membaca rahsia diri. Pepohon manggis yang tumbuh di kiri kanan rumah membekalkan rasa sejuk, meskipun matahari memancar keras. Bayangkan, berapa panasnya bahang matahari jam sebelas pagi.
Si gadis sunti datang meletakkan tiga cawan kopi hitam didepan kami. Saya mengambil kesempatan melemparkan pandangan keluar menerusi jendela. Si gadis sunti meninggalkan ruang tamu.
“Sila minum,” pelawa Haji Simpul.
“Terima kasih,” kata saya.
“Terima kasih,” kata Andi Kamarool.
Serentak kami angkat cawan dan serentak pula meneguk kopi hitam. Rasa pahitnya bagaikan lekat di tekak. Sepat-cepat saya letakkan cawan. Tidak bersedia untuk menghirup kali kedua.
“Kopi pahit, baik untuk tubuh. Dapat mengelakan kencing manis. Tapi, kalau minum berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala. Kopi yang kamu minum, kopi asli,” mungkin kata-kata yang terpancut dari mulut Haji Simpul, akibat melihat wajah kami yang berkerut menelan air kopi yang dibuat oleh piutnya.
“Minumlah lagi,” desak Haji Simpul.
Kami berdua jadi serba salah . Menolak tanda kurang sopan, diminum pahitnya bukan kepalang. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan, saling bertukar senyum pahit. Diantara saya dan Andi Kamarool, siapakah yang terlebih dahulu menghirup kopi untuk kali kedua.
“Minumlah, apa segan-segan pula,” Haji Simpul terus mendesak
“Iya, kami minum,” balas kami serentak.
Serentak dengan itu juga, kami terus menelan kopi hitam yang pahit. Tetapi, kali ini kami berusaha agar wajah tidak berkerut. Tidak rela kelemahan diri dikesan oleh Haji Simpul bagi kali kedua.
“Bagus, mula-mula saja rasa pahit, lepas tu terasa sedap. Kita mesti minum air yang ada khasiat,”
“Iya, Tuan Haji, cakap Tuan Haji tu memang betul,” balas saya sambil menelan air liur untuk menghilangkan rasa pahit ditekak, Andi Kamarool tersenyum pahit, buah halkumnya nampak bergerak-gerak.
Haji Simpul terus menghabiskan sisa air kopi di cawannya. Dengan perlahan-lahan dia meletakkan cawan kopi dilantai. Jejari kanannya mengurut badan cawan beberapa kali. Dia nampak macam resah saja.
“Kamu ada hubungan keluarga dengan orang tua Mia?” Biji mata Haji Simpul tertumbuk ke wajah Andi Kamarool, “ tidak kira dari sebelah mana. Samada dari sebelah ibu atau ayah,” sambung Haji Simpul. Dengan sedaya upaya dia berusaha agar biji matanya bertembung dengan biji mata Andi Kamarool, kelopak matanya tidak berkedip.
Andi Kamarool cuba mengelak. Dengan secara mendadak saja, Haji Simpul menjatuhkan telapak tangan kiri ke atas bahu kanan Andi Kamarool. Jari-jarinya memegang erat tulang bahu Andi Kamarool.
“Kamu ada hubungan keluarga?” soalnya lagi.
Andi Kamarool gelengkan kepala.
“Betul, tak ada hubungan keluarga? “ dia minta sebuah kepastian yang jitu. Bahu kanan Andi Kamarool digoncangkan berkali-kali. Wajah Andi Kamarool segera menjadi kemerah-merahan. Dahinya mula ditumbuhi peluh-peluh halus.
“Ada hubungan keluarga?” untuk sekian kali, pertanyaan yang hampir diulangi. Andi Kamarool bagaikan terpukau, tidak boleh bersuara. Dia hanya menggelengkan kepala.
“Haiiiiiii…..,” Haji Simpul bagaikan mengeluh. Dengan serta merta jari jemari yang menyentuh bahu Andi Kamarool diangkat. Selepas itu, tidak ada tindak tanduk atau tutur kata yang terhambur dari mulut Haji Simpul.
SEPI
Suasana terasa sepi. Saya mengigit bibir, Andi Kamarool menggaru pangkal leher beberapa kali. Semuanya yang kami lakukan adalah untuk menghilangkan keresahan.
“Sebenarnya si Harisun banyak bercerita tentang kamu berdua pada aku. Dia mencurigai keikhlasan dan kejujuran kamu,” nada suara Haji Simpul yang bersahaja memecahkan kesepian.
Kami tersentak, tidak menduga begitu tanggapan Kak Sun kepada kami. Haji Simpul menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Dalam suasana yang agak tegang itu, terdengar kicau dan kokok ayam dalam cuaca panas yang kian menyengat.
“Tuan, haji….” Andi Kamarool tidak meneruskan percakapan.
“Katakan, apa yang mahu kamu katakan. Aku bersedia mendengar, “ Haji Simpul memicit-micit pangkal lengan kanannya.
“Begini tuan haji…” Andi Kamarool menyambung. “ Siapa pun berhak merasa curiga. Bila ada orang luar yang tak dikenali datang tempat kita.”
Haji Simpul tersenyum sambil anggukkan kepala tanpa berkata apa-apa.
“Apa hubungan Tuan Haji dengan Kak Sun?” saya bertanya.
Haji Simpul mengkedutkan kening. Macam ada sesuatu yang difikirkannya, sebelum meluahkan jawapan.
“Dia jiran sekampung, selalu datang ke rumah bila ada masaalah. Sekarang ini pun, dia dalam pengawasan aku. Semangatnya cukup lemah, macam ada sesuatu yang ditakuti dan dihormatinya. Dia sentiasa cemas.”
Apa yang dituturkan oleh Haji Simpul membuat saya dan Andi kamarool membeliakkan biji mata. Berita baru yang sungguh mengejutkan. Hampir sama dengan apa yang kami lihat terjadi pada diri Kak Sun.
Bahu Andi Kamarool segera saya singgung. Dia menjerit dengan apa yang saya lakukan. Andi Kamarul mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari yang bermaksud supaya bertenang.
“Kenapa dengan dia Tuan Haji?” susul Andi Kamarool.
Sebelum memberi jawapan, Haji Simpul melemparkan pandangan keluar rumah sejenak. Kemudian dia mengubah pandangan ke arah kami.
“Kalau aku tak terangkan, kamu berdua sudah tahu. Apa yang dibuatnya kamu berdua sudah tahu. Apa yang dibuatnya kamu berdua dah tengok.
“Bukan begitu, Tamar,” Haji Simpul merenung muka saya.
“Iya, Tuan Haji,” jawap saya.
“Susah aku nak mengatasi masaalahnya, sulit,” perlahan benar nada suara Haji Simpul. Dia kelihatan seperti berputus asa. Lutut kanannya segera di tegakkan. Telapak tangan kirinya, pun terdampar atas tempurung lutut kiri. Haji Simpul termenung panjang.
“Kesian Kak Sun, tak boleh dibiarkan dia berterusan begitu. Tuan Haji mesti tolongnya.” Secara sepontan saya bersuara.
“Aku juga berfikir macam tu,” Haji Simpul memberi reaksi yang positif. Tetapi, Andi kamarool terus termenung panjang. Barangkali, kurang setuju dengan saranan yang saya berikan.
“Kita harus bertindak,” saya membakar semangat Haji Simpul.
“Iya, sekarang kita boleh mulakan Orang yang boleh membantu dan menolong Harisun ialah kamu …..” jari telunjuk Haji Simpul menuding ke arah Andi Kamarool.
Lagi sekali saya mengalami kejutan. Bijik mata Andi Kamarool bagaikan mahu tersembul. Mukanya berubah, dia mengalami kejutan yang hebat dari saya.
DIRI
“SAYA tuan haji ….” Mulut Andi Kamarool melopong.
“Iya, kamu orangnya,” angguk Haji Simpul.
“Apa yang saya tahu, Tuan Haji”
“Ahhhhh…..,” Haji Simpul segera bangun.
Dia melangkah ke tingkap dan berdiri di situ, merenung dedaun pokok yang dipanggang matahari. Saya hanya menelan air liur sambil mata merenung sisa air kopi yang berada di dasar cawan.
Mungkin kerana tidak selesa berdiri di tepi tingkap menyebabkan Haji Simpul kembali duduk bersila didepan kami. Dia menghilangkan air kopi, melihat dari gerak-gerinya, ternyata Haji Simpul cuba mencari ketenangan dan keselesaan dalam dirinya. Saya dengan Andi Kamarool tetap macam tadi, sekejap duduk bersila, sekejap melunjurkan sepasang kaki untuk menghilangkan rasa lenguh.
“Banyak perkara yang ada pada kamu Andi untuk menolong Mia dan Harisun. Barangkali kamu tak tahu semuanya itu atau kamu sengaja buat tak tahu,” dengan hati-hati Haji Simpul mengungkap kata-kata, renungannya cukup lembut ke arah Andi Kamarool. Saya lihat Andi Kamarool makin bertambah bingung.
“Tuan Haji mempermain-mainkan saya?”
“Tidak, aku bercakap perkara yang benar”
“Saya tak tahu, kalau begini saya boleh jadi gila.”
“Bertenang Andi, jangan mengelabah. Dengar cakap aku dulu,” Haji Simpul terus menepuk-nepuk bahu Andi Kamarool dengan lembut. Penuh kemesraan. Saya lihat Andi Kamarool menarik dan melepaskan nafas perlahan-lahan sambil merenung lantai. Dia sedang berusaha menenangkan perasaannya.
“Aku tahu apa yang kamu berdua rasa dan lihat di kawasan rumah Mia. Macam-macam benda pelik terjadi. Betul tak cakap aku ini, Tamar.”
“Betul tuan haji.”
“Satu lagi, aku nak bagi tahu kamu berdua, kebanyakan benda pelik yang terjadi itu, memang Mia tidak tahu. Tapi, Harisun tahu. Aku pernah pesan pada Harisun, suruh kau berdua datang jumpa aku. Itulah sebabnya aku tidak terkejut, bila kamu berdua datang jumpa aku,” penjelasan dari Haji Simpul membuat saya termenung panjang.