Penjelasan dari Haji Simpul itu, secara tidak langsung seolah-olah menyuruh kami berfikir tentang Kak Sun.
Hati kecil saya lantas membuat kesimpulan, Kak Sun memang tidak ikhlas. Dialah, batu penghalang hasrat kami bertemu dengan Haji Simpul.
“Aku kadang-kadang, risau dengan perangai si Harisun. Dia suka, dengan keadaan yang tidak baik itu terjadi kepada diri Mia dan dirinya. Berkali-kali aku terangkan padanya, masaalah Mia boleh diatasi, begitu juga dengan masaalah dirinya. Salah seorang dari mereka, harus mengadu hal pada aku atau minta bantuan aku. Kemudian barulah aku berusaha memecahkan masalah yang mereka hadapi.”
“Agaknya, Kak Sun merasakan perkara itu susah,” tingkah saya.
“Memanglah susah, rohani mereka berdua mesti dibersihkan dengan amalan-amalan yang terpuji. Perkara begini, tidak boleh dibuat dalam sekelip mata. Mesti diamalkan secara berterusan, mesti sanggup menghadapi godaan,” Haji Simpul berhenti bercakap, matanya merenung lantai.
Barangkali dia berfikir apakah perkara itu harus dibentangkan kepada kami atau dimatikan begitu saja.
Sesungguhnya, saya memang mengharapkan Haji Simpul menghuraikan secara lebih terperinci tentang Mia dan Kak Sun. Malangnya, saya tidak berani menyatakan hasrat tersebut secara terang-terangan.
Syukur ! Tanpa diminta Haji Simpul menjelaskan secara terperinci, bahawa apa yang terjadi pada diri Mia dan rumah batu lama itu adalah akibat keterlanjuran nenek moyangnya yang bekerjasama dengan makhluk ghaib yang disebut SAKA. Selagi zuriat nenek moyangnya ada dibumi ini, saka itu akan menjaga mereka dan mereka pula mesti membela saka mengikut ketetapan syarat yang dibuat dengan nenek moyang dahulu.
“Bila dipersia-siakan syarat dan janji, macam macam yang datang, seperti yang terjadi pada Mia dan melarat kepada orang gajinya. Kalau dibiarkan para pekerjanya akan turut terlibat. Andi, kamu harus menyelamatkan Mia,” dari cara Haji Simpul bercakap dan renungan mata, ternyata kata-kata yang dihambur adalah untuk Andi kamarool.
“Tuan haji suruh saya.”
“Iya, “ balas Haji Simpul.
“Saya seorang,” tanya Andi Kamarool cemas.
“Aku bantu kamu,” Haji Simpul memberi jaminan.
Jaminan yang diberikan itu, membuat Andi Kamarool menoleh kearah saya dua tiga kali. Walaupun begitu dia nampak tenang. Tidak gugup macam tadi.
Anehnya, saya pula berdebar dan cemas, tidak tentu fasal. Apakah harapan dan permintaan Haji Simpul itu akan memulakan sebahagian babak baru yang lebih baik untuk saya dan Andi Kamarool. Mungkinkah kami akan terus terpenjara di daerah asing ini dalam jangka waktu yang tidak dapat ditentukan. Semuanya berputar ligat dalam tempurung kepala.
“Bagaimana caranya tuan haji?” Apa saya boleh ikut sama?”
Haji Simpul tersenyum. Lagisekali wajah saya jadi tumpuan anak matanya yang hitam tajam. Bila direnung begitu, saya jadi serba salah. Tidak senang rasanya hati.
“Sudah tentu kamu boleh ikut sama, kamu boleh menolongnya dengan ilmu petua yang ada pada kamu, tetapi…., dengan serta merta Haji Simpul alihkan renungan ke arah Andi Kamarool.
“Kamu ada kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain,” tambah Haji Simpul.
“Maksud tuan haji…,” celah Andi Kamarool.
“Datuk nenek kamu, mengamalkan ilmu dunia yang sealiran dengan ilmu nenek moyang Mia. Mereka berguru dengan orang yang sama. Tetapi, menuntut di tempat yang berlainan. Mereka sama-sama SAKA yang berpenghulukan jin, bapanya harimau. Mereka sudah berjanji untuk memelihara SAKA itu, selagi zuriat mereka ada dimuka bumi.”
“Janji yang mencelakakan keturunan sendiri,” terhambur dari mulut saya.
“Ahh kamu…,” nada suara Haji Simpul meninggi. Dia memperlihat rasa kurang senangnya, dengan membeliak biji mata kepada saya.
“Maafkan saya.”
“Jangan cepat melatah, jangan cepat marah. Berbalik pada diri si Andi ini. Kelebihannya, berjaya mengawal diri dan membuang SAKA datuk neneknya dengan amalan mengikut hukum-hukum Allah. Disamping itu, dia turut dibantu oleh alim ulama,” penuh perasaan Haji Simpul bersuara.
“Tetapi, saya tewas juga tuan haji, terjebak juga dengan kepintaran dan penipuan syaitan,” potong Andi Kamarul. Tiba-tiba dia menangis tersedu.
Tangisan dan sedu sedan Andi Kamarool berakhir, setelah dipujuk oleh Haji Simpul. Satu suasana yang berlaku diluar dugaan, inilah kali pertama saya melihat Andi Kamarool yang keras hati itu menangis.
BERJAYA
“Tetapi. akhirnya kamu berjaya keluar dari sarang kejahatan itu. Kau menggunakan apa yang ada pada kau untuk menyelamatkan Mia, sekali gus menolong, Harisun yang menjadi hamba penunggu rumah batu, tu.”
Saya tak…,”
“Jangan cepat menolak,” pintas Haji Simpul. Andi Kamarool terdiam. Dia membiarkan haji Simpul meneruskan percakapan.
“Jangan cepat menolak sebelum berusaha. Menyelamatkan manusia dari kuasa syaitan satu amal jariah. Membetulkan kepercayaan orang Islam yang sudah terpesong, satu kewajipan yang memang dituntut. Apakah kamu berdua tdak mahu membuat amal jariah semasa hidup?”
“Mahu,” jawap kami serentak.
“Kalau begitu mulakan, jangan berdolak dalik lagi, Andi,” sebuah permintaan yang murni tetapi penuh cabaran.
“Aku sedia membantu, kamu berdua,” Haji Simpul melafazkan janji sambil mengenggam penumbuk.
“Bagaimana kalau tuan haji saja menjalankan kerja itu,” saya kira kata-kata yang diungkapkan oleh Andi Kamarool merupakan satu helah untuk melepaskan diri tugas berat itu.
“Kamu memang bijak, cara hormat kamu mahu menguji kesungguhan dan kejujuran aku Andi. Dalam hal ini, ada syaratnya untuk aku memulakan tugas tu,”
“Apa syaratnya tuan haji.”
“Aku tak boleh jual murah bak kata orang, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Mia tidak pernah minta tolong, begitu juga dengan Harisun, bagaimana aku mahu memulakan. Kamu suka dengan Mia, Andi,” Haji Simpul tidak berselindung lagi. Andi Kamarool, tidak boleh berdalih lagi di hadapan orang tua yang boleh membaca apa yang tersirat dalam kalbunya.
“Iya tuan haji, saya sukakan dia,” pengakuan yang tidak mengejut saya. Memang sudah diduga Andi Kamarool akan berterus-terang.
“Kalau begitu jangan bertangguh lagi,” Haji Simpul membakar semangat Andi Kamarool. Saya lihat muka Andi Kamarool mula merah. Dia merasakan dirinya seperti tercabar.
“Tunjukkan jalan untuk saya tuan haji,”
“Ada dua jalan, kamu boleh pilih mana yang kamu mahu. Apa yang pasti, semuanya mempunyai risiko yang tinggi.”
“Terangkan tuan haji, “ saya mengeluarkan usul.
“Bila aku terangkan, mesti dibuat, jangan berdalih. Paling lewat dalam masa tiga bulan perkara itu mesti berjalan. Kalau tidak dibuat, padahnya kita tanggung bersama.”
“Apa padahnya tuan haji?”
“Syaitan menggoda keimanan kita hingga terpesong.”
“Ohhhhhh…,” serentak kami bersuara.
Haji Simpul memperkemaskan sila, menyandar badan ke dinding. Sepasang tangannya memeluk tubuh dengan kejap sekali. Sepasang matanya merenung ke depan, bagaikan menembusi dinding mengembara jauh ke kawasan yang tidak bertepi. Dia seperti menafikan kehadhiran kami disisinya. Kelopak matanya tidak berkelip.
KEMAS
Cara pertama, Andi menikah dengan Mia. Boleh bersama selama satu bulan tetapi, tidak boleh membuat hubungan badan. Biasanya dalam tempoh seminggu lawan jenis kamu terus memberontak dan dia akan memperlihatkan tanda-tanda peninggalan nenek moyang di tubuhnya, kalau saka jin harimau, badannya berbelang dan memperlihatkan ciri- ciri seekor harimau,” Haji Simpul menarik nafas dan sepasang tangan yang memeluk tubuh segera dijatuhkan ke lantai.
Sebaik telapak tangannya bertemu dengan papan lantai, tudung saji, keris panjang dan pedang jepun yang digantungkan di dinding jatuh ke lantai, macam ada sesuatu yang menjatuhkannya.
“Itu amaran kerana aku mahu campur urusan orang lain, aku sudah bersedia. Datanglah,” saya dan Andi Kamarool tercengang-cengang, tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh Haji Simpul.
Kami segera merenung ke halaman rumah, dalam panas terik itu kami seakan-akan melihat kemunculan beberapa ekor binatang aneh dalam keadaan yang samar-samar.
Sekali pandang macam kucing hitam, bila dilihat kali kedua seperti musang. Bila mahu diamatiamati, binatang itu terus hilang.
“Jangan pedulikan apa yang ada di luar. Aku bercakap kepada kamu tentang perkara yang lebih besar dari apa yang ada di luar, “ Haji Simpul melahirkan protes keras.
“Maafkan saya,” kata Andi Kamarool.
“Begitu juga dengan saya,” saya pula mencelah.
“Masa dia dalam pengalihan itu, kamu juga naik darah kerana kamu memang satu saka dengannya. Secara perlahan-lahan kamu juga turut mengalami masa peralihan menjadi harimau. Bila kamu menyedari perkara itu, kamu mesti bersedia,” Haji Simpul telan air liur.
“Apa yang mesti disiapkan?” Tanpa segan sili Andi kamarool bertanya.
“Bacalah surah penghalau syaitan seperti yang diberikan guru agama atau ustaz tempat kamu menuntut ilmu agama. Kamu bertasbih dan kawal perasaaan, hingga peralihan itu terbantut. Bila kamu terbantut, Mia juga terbantut.
“Berapa lama tuan haji?”
“Selama satu bulan, sepanjang masa itu kamu sentiasa diduga dan dicabar. Lepas waktu itu, kamu jadikan rumah batu sebagai surau. Panggil semua pekerja Mia berjemaah disitu pada setiap waktu. Setiap malam Jumaat baca yassin selama empat puluh hari,” lagi sekali Haji Simpul berhenti bercakap. Dia mengeliat dan meraba pipi kanannya yang kemerah-merahan seperti dicakar sesuatu.
“Aku minta pertolongan Allah berusaha untuk membebaskan anak Adam dari cengkaman kamu,” Haji Simpul menunjukkan kata-kata itu pada sesuatu yang tidak nampak dilihat oleh mata kasar kami.
“Kemudian melakukan perkara yang lebih berat dari itu. Bilik kosong di bahagian dapur rumah hendaklah dibersihkan. Buang semua kain atau sebarang benda yang ada disitu. Jadikan bilik itu tempat kamu membaca Quran setiap malam, jadikan tempat kamu bersembahyang sunat. Akhirnya kubur lama dibawah pokok buluh kamu buang, memang tidak ada rangka manusia di situ.”
“Macam mana dengan penunggu rumah batu tu, tuan haji,” saya pula menyoal.
“Bila rumah batu itu dijadikan tempat ibadat, sentiasa dipenuhi dengan ayat-ayat suci dengan sendiri kepercayaan dan keyakinan para pekerja Mia, si Harisun terhadap penunggu itu dapat dileburkan, penunggu itu akan terus lari. Sekarang dah faham?”
“Iya kami faham,” serentak kami menjawap.
Akibat terlalu lama duduk, seluruh sendi terasa lenguh dan sengal. Kami minta izin dari Haji Simpul untuk berjalan-jalan di ruang rumah. Permintaan kami diperkenankan. Kami bergerak bebas sambil sesekali merenung keluar. Akhirnya, kami duduk baersimpuh di depan Haji Simpul kembali.
DUDUK
“Bagaimana ? Dah hilang rasa lenguh, “
“Lenguh dah hilang tapi, rasa sengal-sengal masih ada,” saya jawap sambil tersengih. Andi Kamarool sudah duduk bersila terus sambil memicit-micit pangkal pehanya berkali-kali. Semua gerak-gerinya dalam perhatian Haji Simpul.
“Berat juga syaratnya. Susah kerjanya tuan haji,” kata saya memberi komentar. Saya lihat Haji Simpul tersenyum.
“Didalam dunia ini, mencari kebaikan dan membuat kebajikan bukannya mudah. Mesti keras semangat, tabah dan yakin,” balas Haji Simpul.
Dan Andi Kamarool buat tidak kisah dengan apa yang diungkapkan oleh Haji Simpul. Pada hal kata-kata yang dihamburkan itu memang ditujukan khas untuknya. Dia tetap seperti tadi terus memicit-micit pangkal pehanya.
“ Cara kedua macam mana ?” susul saya lagi.
Haji Simpul gosok pangkal hidung dua tiga kali. Dia merenung ke arah saya sambil mengecilkan (seperti hujung mata kanannya).
“Huh…,” keluhnya sambil membesarkan sepasang mata. Dia merenung ke siling rumah sebelum merenung ke arah saya untuk kesekian kalinya. Sudah tentu perbuatan Haji Simpul itu menimbulkan keresahan pada saya.
“Kau memang tak sabar, kalau kau tak tanya pun, aku tetap terangkan. “
Saya jadi tersipu-sipu dengan kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Haji Simpul. Andi kamarool menghadiahkan senyum sinis sambil pura-pura batuk. Saya menarik nafas dalamdalam.
Sebelum memulakan penerangancara (syarat) kedua, haji Simpul menggeliat, macam orang baru bangun tidur. Seperti tadi juga, dia terus merenung syiling rumah, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ. Di luar, panas terik terus berkuasa. Tetapi, didada langit kelihatan awan bertompok putih bertukar menjadi tompok-tompok hitam.
“Ada tanda nak hujan,” kata Haji Simpul.
Saya dan Andi Kamarool merenung ke dada langit, Tompok-tompok hitam itu, bergerak agak lemah ke arah selatan.
“Cuaca elok, panas terik. Awan pula bertompok hitam,” rungut Haji Simpul. Serentak kami anggukkan kepala, mengiakan kata-kata Haji Simpul.
“Mudah-mudahan hujan tak jadi,” jawap saya.
“Aku pun harap hujan pun lambat, boleh jadi pada sebelah petang atau sebelah malam.”
Saya kira, apa yang Haji Simpul ungkapkan adalah berlandaskan pengalaman silamnya. Semua yang dilalui dan dirasainya dikutip dan disimpan dalam khazanah diri. Ia dimanafaatkan bila diperlukan tanpa mengira waktu dan masa. Perkara yang patut dicontohi dari Haji Simpul.
Perlahan-lahan saya menghela nafas panjang dan Andi Kamarool terus merenung dedaun yang bergerak disentuh angin. Buat beberapa detik, suasana dalam rumah terlalu sepi.
“Cara kedua, tuan haji,’ saya memecah kesunyian.
Haji Simpul memperkemaskan silanya. Seluruh perhatian kami tertumpu kearahnya. Tidak terkedip kelopak mata merenung batang hidungnya.
“Cara kedua…,” Haji Simpul tidaj melanjutkan kata-kata. Kami jadi resah. Hamper dua tiga minit masa terbuang begitu saja. Dia bagaikan tidak berminat untuk menyambung kata-kata yang terhenti.
“Huhh…,” saya mengeluh lemah.
“Kamu resah Tamar?”
Saya tidak menjawap. Memang saya sudah duga, Haji Simpul menyambung perkataan yang terputus. “Setelah menikah dengannya, tinggal tempat itu. Tetapi, cara itu merugikan, tanah dan rumah terbiar, sedangkan syaitan penunggu yang mahu dihalau, tidak mahu lari. Dia sudah dapat pendamping baru.”
“Siapa pendamping barunya tuan haji?” mendadak saya bertanya.
“Harisun.”
Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan.
Cerita yang diluahkan oleh Haji Simpul membuat kening dan dahi Andi Kamarool berkerut. Hati saya mula digoncang keresahan. Saya kira jalan penyelesaian suduh tertutup. Rumah batu dan Mia harus dilupakan. Saya kira Andi Kamarool tidak bersedia melakukannya.
“Bagaimana, kalau rumah batu dan tanah dijadikan tempat beribadat dan diwakafkan?” saya bertanya lagi.
Wajah Andi Kamarool dihiasi senyum. Ibu jarinya ditegakkan kearah saya. Dia bersetuju dan memuji pertanyaan yang saya hamburkan. Sokongan moral yang diberikan membuat saya lebih bersemangat untuk menghujani Haji Simpul dengan pelbagai pertanyaan.
“Boleh Tamar tapi…,”
“Tapi, apa tuan haji?”
“Kena usaha menghalaunya dulu, kalau diwakafkan dengan tidak menghalaunya, memang kerja sia-sia. Nanti tak ada orang yang mahu datang ke situ, rumah terbiar, tanah jadi hutan. Kalau dijual pun, tak ada orang yang mahu membelinya,” terang Haji Simpul.
TINGKAP
Dia segera bangun. Berjalan ke arah tingkap dan berdiri sebentar di situ. Pepohon dan bebunga yang berkembang di halaman ditatapnya seketika. Dada langit yang digayuti awan hitam juga direnungnya. Haji Simpul kembali duduk bersila di hadapan kami.
“Pelik, semua yang didengar dan dilihat. Pelik belaka,” saya merungut sendirian.
“ Diadlam dunia ini, tak ada yang pelik. Kalau Allah mengizinkan, semuanya boleh terjadi,” Haji Simpul mendengar rungutan dan terus memberi komentarnya.
“Kenapa datuk nenek Mia membuat perkara yang menyusahkan cucunya?”
“Sebabnya mudah sekali, masa itu mereka kurang memahami ajaran Islam yang sebenar, mereka lebih yaking dengan pertolongan makhluk ghaib.”
“Salahnya, orang yang tahu tentang ugama tidak mahu menunjukkan jalan yang benar. Biasanya orang yang tahu tentang ugama sombong, terlalu memandang rendah pada orang yang tidak tahu jahil. Semua perkara kurafat dan karut ini, berpunca dari alim ulama juga,” daya tidak bermaksud mahu membahaskan perkara tersebut, semuanya terjadi secara kebetulan.
“Aku setuju pendapat kamu tu, Tamar”
Dengan wajah yang ramah Haji Simpul menerima pandangan saya. Andi Kamarool tetap seperti tadi, membisu semacam. Barangkali dia sedang mencari rumusan yang terbaik untuk dirinya.
Mungkin salah satu syarat yang diungkapkan oleh Haji Simpul mampu dipenuhinya. Saya tahu kasihnya terhadap Mia terus membuak tetapi, melepaskan Mia dari penunggu rumah batu bukanlah satu tugas yang mudah. Terlalu banyak liku yang harus dilalui. Apakah Andi Kamarool bersedia melakukannya. Muka Andi Kamarool yang keresahan saya tatap.
“Bagaimana, kamu bersedia?” Haji Simpul menghalakan pertanyaan kepada Andi Kamarool.
“Saya bersedia tuan haji.”
Jawapan itu mengejutkan saya. Sukar rasa mempercayai yang kata-kata itu terpancut dari kelopak bibir Andi Kamarool.
“Kamu pilih yang mana, pertama, kedua dan ketiga’” Haji Simpul minta kepastian. Mulut Andi kamarool terlopong, sukar untuknya meluahkan sebuah kepastian.
Lagi sekali saya lihat kening Andi Kamarool berkerut dan dahinya berkedut. Andainya, dia minta pendapat saya, sudah tentu saya menyarankan kepadanya begini, segeralah menikah dengan Mia, kemudian berhijrah di tempat lain. Sesungguh saya juga akan berbuat demikian, jika berpeluang memiliki Mia.
“Bagaimana? Boleh bagi tahu cara mana yang kamu pilih?”
Saya tersentak, nada suara Haji Simpul cukup keras kali ini.