Teaser 2

1.5K 59 0
                                    

"Sains Bio, kan?"

Tersentak bahu Hana bila soalan itu muncul tiba-tiba dari belakang semasa dia sedang membasuh pinggan di singki.

Laju dia menggumam sebelum mengangguk. Tadi Irfan mengekor Khairi ke bilik. Bila pula berpatah semula ke dapur?

"U yang sama?"

Sekali lagi Hana mengangguk. Perut rasa memulas bila Irfan berdiri di singki sebelah. Pinggan yang baru dicuci di tangan Hana diambil dan dilap dengan kain yang tersedia.

"Eh, tak payahlah abang Irfan. Hana boleh buat sendiri. Sikit je ni." Hana cuba menarik semula pinggan di tangan Irfan, tapi terbantut bila lelaki itu menjauhkan pinggan itu dari capaiannya.

"Sikit je." Ayat terakhir Hana digunakan semula oleh Irfan. Ya, sedikit saja. Jadi tidak akan terkesan pun kalau dia membantu.

"Bilik abang tak nampak berhabuk. Bersih. Macam ada orang guna."

Cukup dengan ayat itu pun Hana sudah tahu apa yang mahu ditanyakan oleh Irfan.

"Kalau abang Irfan takut Azri guna bilik tu, jangan risau, dia tak pernah naik pun tingkat tiga tu. Papa memang larang orang lain naik atas tu."

"Kecuali?" Irfan menyambung laju bicara Hana yang dirasakan seperti tidak lengkap.

"Wak." Suara Hana berubah perlahan. Automatik kepala hendak tunduk. Ini memang tabiatnya sejak dulu lagi. Bila segan diperhati, takut ditekan, dia akan tunduk seperti orang bersalah.

"Bukan Hana?"

"Bukan Hana." Terlebih yakin pula nada suara Hana bersetuju. Menggeleng, kemudian mengangguk. Tak ketahuan apa yang sebenarnya dia cuba maksudkan.

Irfan tersenyum seorang melihat perlakuan itu. Dari dulu sampai sekarang Hana yang dikenalinya masih sama. Masih tidak tahu mengawal rasa hatinya dari terzahir melalui perlakuan.

Tentang Rasa (eBOOK)Where stories live. Discover now