Gila kerja.
Gila hot chocolate.
Dua kesukaannya dari dulu hingga kini hingga dia lupa masa mengejarnya. Tiga-puluh-empat tahun usianya, bohonglah kalau tidak pernah memikirkan tentang perkahwinan.
Realiti hidupnya tidak seindah mimpi. Bekas tunang...
SEMINGGU dah berlalu sejak peristiwa tempoh hari. Topik Nikah-Kahwin Maryam Arysa pun dah seminggu menyepi. Barangkali tempoh hari tu Hajah Marzita terkesan dengan berita anak bongsu adiknya bakal bertunang dua minggu lagi. Sedangkan anak ini masih lagi selesa hidup tanpa teman.
Bohonglah kalau dia tak nak ada teman dan orang yang jaga. Tapi, apakan daya. Jodohnya sesat entah di mana. Tak jumpa jalan menemuinya sehingga kini.
Barangkali juga ada yang sibuk tolong menjaga jodohnya hingga tak nampak jodoh sebenar ada di depan mata. Kah! Sudahlah Maryam Arysa, tak usah nak berangan sangatlah!
Maryam tersenyum lebar. Minggu ini abang sulungnya dan keluarga bertandang ke rumah. Riuh rumahnya dengan keletah anak-anak buah yang masih aktif bermain dan berlari. Tambah lagi dengan mulut Malik yang membebel bisingkan anaknya untuk behave.
Ya, Malik abang sulungnya itu ada tokoh jadi pengganti Hajah Marzita! Mulutnya becok tak henti membebelkan anak-anak sendiri.
"Biarlah, Long... Budak-budak tu seronok dapat tanah..." tegur Maryam sambil menatang dulang minuman petang mereka yang di bawa ke tepi rumah.
Mujur rumahnya ini rumah teres lot tepi, ada jugalah laman sekangkang kera untuk digunakan bersantai-santai di waktu petang begini.
"Bingitlah Mar, kita nak berbual pun susah..." Malik menyambut huluran pinggan yang berisi brownies dari tangan isterinya yang turut membantu Maryam menghidangkan minum petang mereka.
"Biar je, Malik. Nanti dah penat, berhentilah mereka tu... Kamu bertiga kecil-kecil dulu, lagi ligat dari budak-budak ni. Sampai ke hujung sungai mainnya." Hajah Marzita mengungkit kisah mereka adik-beradik.
Malik sengih. Begitu juga dengan Maryam. Tak pasal mereka pula jadi mangsa kalau Hajah Marzita buka buku sejarah.
Maryam pandang wajah emkanya yang terawa kecil melihat gelagat cucunya yang berdua itu. Gamat suasana petang mereka dengan jeritan dan gelak ketawa kedua-dua anak Malik dan Najihah yang baru pandai bermain. Belum lagi campur anak Musa dan Julia.
"Jemput minum, semua..." Maryam turut melabuhkan duduknya di bangku kosong bersebelahan emaknya.
"Musa dan Julia tak balik bulan ni?" Malik bertanyakan khabar adik bongsunya.
Musa berkhidmat sebagai Komando dan ditempatkan di Sabah. Manakala Julia pula guru sekolah rendah. Tahun ini genap lima tahun Musa dan Julia merantau di sana. Selalunya setiap bulan pasti Musa dan Julia akan luangkan masa untuk menjenguk keluarga di Kuala Lumpur.
Hajah Marzita geleng. "Katanya bulan depan, sekali dengan kenduri anak Mak Su Nani kamu."
Malik angguk. Kemudian pandangannya ditala pada Maryam yang sedang mencicip coklat panas dari muk. Dia biarkan Maryam menyelesaikan minumnya sebelum memulakan bicara.
"Macam ni Angah..."
Malik meletakkan cawannya berisi kopi di atas meja.
"Along datang ni bawa hajat...:"
Alamak!
Takkan Malik pun berkomplot dengan Hajah Marzita mencarikan jodoh untuknya? Kalau ya, masaklah dia! Dahlah Malik tu kerja di syarikat multinasional, confirm dengan mudah Malik boleh tolong carikan jodoh berdasarkan ciri-ciri yang diperkatakan pada Hajah Marzita tempoh hari.
Bala! Bala!
"Along kena pergi Qatar dua minggu lagi. Dalam waktu yang sama, Kak Long kau pula sibuk dengan kursus anjuran pejabatnya..."
Maryam menghembus nafas lega. Nasib baik... Tumpuan kembali diberikan pada Malik dan Najihah. Dihadiahkan senyuman pada mereka berdua.
"Tapi, bengkel Kak Long tu dekat je. Boleh balik hari..."
"Tak pelah, Kak Long. Tinggal je budak-budak tu kat sini. Mar dengan mak boleh tolong jagakan sementara Kak Long kursus dan Along ke Qatar. Tapi, Mar nak hadiah dari Qatar tau..."
Malik ketawa kecil. "Mar nak hadiah apa? Minyak dari Qatar ke air laut?"
Cisss, Malik ni! Tahulah dia ke Qatar tu nak ke pelantar minyak. Tapi, takkanlah Qatar tu cuma ada minyak je, kan? Tak kreatif betul, abangnya tu!
"Kamu carikan hadiah calon suami je untuk adik kamu ni, Malik. Taste dia pun bukan orang Malaysia. Dia nak yang international..."
Uhukkkk!
Nasib tak bersembur minuman coklat panas yang baru dihirup Maryam. Aduhai, tak sangka pula Hajah Marzita bocorkan perbualan mereka tempoh hari pada Malik dan Najihah.
"Mak ni..."
"Betul nak? Nanti Along kenalkan dengan..."
Maryam cepat-cepat menggeleng. Belum masanya. Kelukaan hatinya mengambil masa untuk sembuh. Entah untuk berapa lama lagi pun dia tidak pasti.
"Sudah-sudahlah kenangkan orang lama tu, Maryam..."
Teguran Hajah Marzita membuatkan Maryam menguntum senyum pahit. Bukan dia mahu hidup dalam kenangan. Tapi, entahlah. Jauh di sudut hati, kenangan lalu itu tak mampu untuk dipadamkannya.
-----
Cerita ini boleh didapati di dalam e-book Segalanya Cinta.
Harga buku Segalanya Cinta: RM10
Akaun Bank: 514712416722 | Maybank -Scribble Media