Sedari tadi Khalis berulang alik dari ruang tamu ke dapur. Perutnya mula berkeroncong membuatkan dia tidak senang duduk. Lapar membuatkan dirinya cepat marah, dan kemarahan akan menghasilkan petaka. Bik Odah turut cemas. Dia tidak pandai memasak sebagaimana Nek Embong yang kini telah melarikan diri. Pada detik yang paling tidak diinginkan sesiapa pun berada di posisinya, atau yang terburuk, tuannya boleh berubah menjadi seekor raksasa buas dan memakannya hidup-hidup. Bik Odah mengelap peluh yang menitik di dahinya. Dia tidak mampu menawarkan apa-apa keculi lemak tepu perutnya yang bergodakan untuk digigit sekarang. Tuannya tidak menyukai masakannya apatah lagi untuk memandang, yang layak untuk diberikan kepada kucing, kata tuannya dahulu.
Khalis berhenti berjalan dan berpaling, melihat kertas iklan yang menempel di cermin jendelanya yang tinggi. Dari satu helaian menjadi dua, dan tiga. Pintu rumahnya dibuka dan kertas iklan dilihat berterbangan berkisau ditiup angin dihalaman rumah. Khalis menunduk melihat hujung kakinya, sehelai kertas iklan promosi pizza ditarik dan dibaca dengan mata terpicing. Dahinya berkerut melihat ke arah pintu pagarnya yang lengang tanpa ada sesiapa. Dari situ kertas-kertas yang lainnya beterbangan ke sana-sini dibawa angin memenuhi laman dan tamannya.
Khalis mengeluarkan telefon bimbirnya dari dalam saku, mendail nombor yang tertera pada helaian kertas iklan yang dipegang.
XXX
Telefonnya berbunyi, Azalea memberhentikan motor pada pintu gerbang Bukit Sirna dan melihat ke paparan skrin telefon yang tertera nama Musalmah. Dia berpaling ke belakang melihat sekali lagi ke rumah agam tempat risalah itu ditinggalkan.
"Hello..."
"Woi.. Dapat mesej aku tak?" Suara Musalmah terdengar teruja. Dan memekik dan suaranya yang nyaring menyakitkan telinganya.
"Ada apa?"
"Baca tak?"
"Pasal tak baca la aku tanya."
"Baca sekarang."
"Ahhh... Kau niiii..."
"Se-ka-rang!"
Azalea mendengus, meletakkan panggilan pada on-hold dan memeriksa mesej di Whatsapp. Matanya yang kecil itu terbeliak besar apabila melihat iklan pertandingan menulis novel yang dianjurkan sebuah syarikat penerbitan bernilai RM10 ribu yang dihantar Musalmah. Bagaikan tidak percaya, Azalea menggosok matanya beberapa kali sebelum menjerit kegembiraan menyambut panggilan dari Musalmah kembali. Sejak dari dahulu dia bercita-cita untuk menjadi penulis novel dan ini, mesej yang diberikan rakannya itu adalah tiket keluarnya dari bau doh roti, keju dan air liur tuan Nikmat yang bertempias di wajahnya.
"Weiiii.....Musalmahhhhhh...Hahahaha..." Azalea menjerit keriangan.
"Hahaha... Kan aku kata!"
"Aku nak masuk! Terima kasih bagi iklan ni."
"Kau mesti masuk tau. Janji dengan aku."
"Aku janji!"
"Ehh jap...jap. Hantu gigi datang. Aku kena letak dulu." Kata Musalmah berbisik.
"Ok."
"Eh..kau balik sini dulu kan? Beg kau ada sini."
"Ha'ah..."
"Kau nak kerja ker nak berbo..."
Suara Tuan Nikmat terdengar di hujung talian namun termati ditutup Musalmah dengan segera. Azalea tersenyum lebar sehingga bibirnya terasa cekang. Sekali lagi dia memeriksa iklan tersebut sambil mencium skrin telefon bimbitnya berkali-kali.
XXX
Sedari tadi Khalis cuba mengingati bila kali terakhir dia memakan pizza. Atau setidaknya bila budak penghantar pizza datang ke rumahnya. Setelah puas diingati, dia tidak pernah mengundang sesiapa pun ke rumahnya sebelum ini. Tidak sekalipun walau seekor tikus yang cuba menyelinap. Khalis menghempaskan tubuhnya di sofa. Menekan punat kawalan jauh telivisi dan menonton siaran yang tidak diketahui judulnya.
Fikirannya mula teringatkan kepada orang gajinya yang handal memasak dan kini hilang kerana desakan nafsu dan asmara. Wanita tua itu melarikan diri mengikut jantan yang entah mana hala dikenalinya tanpa memberikannya ucapan selamat tinggal. Khalis memejamkan mata dan cuba mengingati dengan lebih dalam sebelum membuka mata dan menoleh melihat Bik Odah yang sedang menggilap tiang tangga.
"Ehh, bukan ker Nek Embong tu dah lama menopaus?" Jerit Khalis.
Bik Odah tertunduk mati akal.
YOU ARE READING
Macho
FantasyKhalis dan Sufi, lelaki bunian yang mengawal keharmonian alam manusia dan mahkluk halus sejak berabad tahun yang lalu. Mereka yang juga digelar MACHO bergerak bersama di bawah pemerintahan Raja Abrah (Raja Bunian) dan menjadi pasangan pemburu makhlu...