BAB 3

1.5K 106 19
                                    

[Paan]

Mata Paan tunak merenung langit yang cantik pada petang itu. Teringat balik dia pada si wanita bertelekung ungu pastel tempoh hari.

Lepas wanita yang mengaku namanya Iffah itu menyampuk perbualannya dengan Eman, dia terus saja berlalu ke meja makan yang dia tinggalkan.

Dia tak mahu 'tertangkap' berbual dengan wanita lain. Nanti apa pula kata Pah kesayangannya.

Sedang dia bersantai di anjung rumah, kedengaran ada satu suara merdu sedang menyanyi kecil.

Dia berpaling memandang rumah Mak Midah yang tak jauh dari rumahnya.

Matanya dikecilkan mahu melihat gerangan yang sedang menyanyi itu. Mak Midah ke? Tapi sejak bila Mak Midah diet? Kurus semacam je...

"Sayang jauh di balik awan, wajahmu tetap berseri-seri, laksana bulan sedang mengambang, menawan dan menggoncang dalam kalbu..."

Berkerut-kerut dahi Paan cuba mengingati lagu apa yang sedang dinyanyikan oleh si wanita

Spontan bibirnya ukir senyum. Malam Ku Bermimpi, nyanyian Puan Sri Saloma dan Tan Sri P Ramlee. Tak sangka ada juga yang suka lagu lama sepertinya.

Paan masih memandang si wanita yang masih menyanyi. Sedap juga suaranya.

Tanpa sempat Paan mengalihkan pandangan, sepasang matanya bertentangan dengan mata si wanita yang baru selesai mengangkat pakaian terakhir di ampaian!

Paan nampak wajah wanita itu berubah. Mulut yang tadi riang menyanyi dah senyap. Wanita itu nampak kalut mengangkat raga dan berlalu mahu masuk ke rumah Mak Midah.

Paan yang tadi terkedu, mengukir senyum tiba-tiba. Malulah tu tertangkap menyanyi.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Iffah itu jirannya kah? Kenapa dia tak tahu?


Paan yang sedang memegang spanar pandang Eman yang sedang menukar minyak hitam kereta tok ketua kampung. Dia berdehem sikit.

"Man..."

"Hah?"

"Aku nak tanya ni," Paan bersuara perlahan. Hampir tak kedengaran suaranya.

"Tanya ajelah! Sejak bila kau mintak kebenaran nak tanya soalan dekat aku?" Eman buat muka sikit tanpa memandang Paan.

"Iffah tu siapa, Man? Tak pernah nampak pun sebelum ni," sejurus dia bertanya soalan itu, dia terus pura-pura membaiki kereta Proton Saga Merah yang dia buat jadi tempat bersandar tadi.

Eman kerut sikit dahinya sebelum dia pandang Paan yang tengah membaiki kereta Proton Saga milik Cikgu Ahmad, cikgu muda yang baru bertukar dari Kuala Lumpur.

"Iffah tu...  dia kan budak sekolah kita. Dia satu kelas dengan kita waktu sekolah rendah. Kau tak ingat?"

Paan yang mendengar geleng kepala, "Tak! Kalau Pah, aku ingatlah."

Kerutan di dahi Eman makin jelas kelihatan, "Pah, Syarifah ke? Macam mana kau boleh ingat dia? Dia kan jarang balik kampung ni."

"Ish, kau ni! Dia kan satu sekolah dengan kita..."

Eman nak membangkang kata-kata Paan tapi satu susuk tubuh yang ada di luar bengkel mematikan kata-katanya.

Laju-laju dia berdiri sambil mengelap tangannya yang terpaling minyak hitam ke seluarnya, "Ya, Iffah? Ada apa datang ni?"

Paan yang mendengar nama yang kerap kali disebut dua tiga hari ni terus panggung kepala. Wajah yang murah dengan senyuman itu dipandang sekilas. Emm, manislah juga...

"Jauh kau termenung, Paan. Apa kau punya masalah?"

Soalan dari wanita yang sudah duduk di sisinya itu buat bibir Paan mengukir senyum.

"Ya, Pah! Aku punya masalah besar. Tidak aku tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ini, Pah!"

Wajah Pah yang tadinya tampak ceria, sudah menjadi keruh, "Mengapa Paan? Bilanglah kepada aku. Mana tahu aku bisa menolongmu."

Paan sembunyi senyum yang mahu menguntum, "Kau tetap mahu menolongku, Pah? Walau apa pun masalahnya?"

"Ya, Paan! Demimu, semuanya akan aku harungi Paan," ujar Pah, bersungguh-sungguh, "Paan, bilanglah kepada aku masalahmu..."

"Aku..." Paan pandang wajah Pah yang sedang merenungnya penuh kerisauan, "Aku rasa aku sudah terlalu suka padamu, Pah! Hatiku ini... sakit bila kau tiada di sisiku, ia jadi terlalu rindu kepadamu!"

Pah yang mendengar terus mencubit-cubit bahu Paan, "Ah, kau suka begini! Suka memainkan hatiku! Ku fikir kau benar-benar dalam kesusahan!"

"Aduh, sayang! Sakit! Aku cuma mahu bercanda denganmu, Pah!"

Pah yang sudah berhenti mencubit bahu Paan, sudah memalingkan wajahnya ke arah lain, kononnya merajuk.

"Duhai, Pah kusayang... pandanglah aku ini, sayang!"

"Ah, tak mahu!"

"Pandanglah aku, sayang! Aku rindu wajah manismu yang sering mengukir senyum padaku..."

Perlahan-lahan Pah berpaling memandang Paan. Senyuman lebar Paan tadi terus mati bila wajah Pah tadi perlahan-lahan berubah menjadi wajah Mak Munah!

"MAKKKKK!"

Puk! Paan yang baru jatuh katil terus pegang belakangnya yang sakit. Aduh, sakitnya!

"Muhammad Farhan, hang pasaipa?"

Suara Mak Munah buat Paan teringat balik mimpinya tadi. Mak oi, serammmm!!!



Bersambung...

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 21, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Pah KusayangWhere stories live. Discover now