1

182 6 0
                                    

Camelia merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Adrian. Mereka tinggal berdua kerana suami Camelia telah meninggalkan mereka sejak Adrian masih kecil kerana tidak sanggup dengan kesempitan hidup yang dihadapi mereka. Adrian yang kini hampir berusia 18 tahun menjadi tulang belakang dan nadi kehidupan Camelia. Kehidupan seharian mereka hanya mengusahakan kebun getah jiran mereka sahaja. Ia cukup untuk menyuap makanan ke mulut mereka namun tidaklah mereka dapat bermewah-mewahan kerana kesempitan yang dihadapi.

Pada suatu hari, Adrian terdetik untuk berbicara tentang suatu keputusan yang telah membelenggu fikirannya sejak beberapa ketika kepada ibunya.

"Ibu, Ian berfikir nak berhijrah ke bandar la. Memandangkan Ian dah dekat 18 tahun, Ian yakin boleh jaga diri. Sampai bila kita nak hidup macam ni, Ibu? Nak beli apa-apa pun kena berfikir 10 kali. Kalau Ian keluar dari sini, mesti dapat kerja yang bagus, kemudian Ibu boleh minta saja apa yang Ibu nak," kata Ian yang sedang duduk di tangga rumahnya. Ketika ini Camelia sedang menganyam tikar atas tempahan yang diterimanya, dibuat sebagai pendapatan sampingan.

"Ibu tak izinkan Ian pergi dari sini. Ibu dah tua, siapa yang nak tengok-tengokkan Ibu kalau sakit nanti. Kita dah lah duduk sendiri dekat sini. Lagi satu, siapa yang nak bantu Ibu di kebun getah tu?" balas Camelia tidak bersetuju dengan keinginan anaknya.

"Tapi Ibu, Ian masih muda, Ian mahu juga lihat kita hidup senang macam orang lain," jawab Adrian.

"Cukup, Ian. Cukup lah bapak kau tinggalkan Ibu. Kalau kau mahu tinggalkan Ibu juga, jangan mengaku aku ni Ibu kau lagi," tegas Camelia sambil bangun meninggalkan tikarnya yang belum siap menuju ke dapur.

Kedengaran keluhan kasar dari Adrian apabila cadangannya ditolak mentah-mentah. Baginya, keputusan itu bukanlah untuk kepentingan dirinya semata-mata, malahan ia untuk Camelia juga. Namun apakan daya, dia sebagai satu-satunya anak Camelia harus akur dengan ibunya itu. Dengan kecewa, dia bangun dari duduknya dan terus melangkah ke bilik tidurnya. Dia ingin melelapkan mata dengan harapan boleh melupakan kecewanya apabila bangun kelak.

...

Adrian berjalan di sekitar rumahnya sambil tercari-cari kucing peliharaannya. Ketika sedang berjalan sambil memerhati keadaan sekeliling, matanya terlihat susuk tubuh di sebalik pokok-pokok di belakang rumahnya. Dia memerhati susuk tubuh itu dan bergerak merapatinya. Kelihatan seorang lelaki tua yang tidak dikenali sedang merenung dirinya. Namun begitu, Adrian tidak dapat merenung mata lelaki itu kerana setiap kali mata mereka bertentang, dadanya terasa sesak dan panas. Semakin lama Adrian memandang tubuh lelaki itu, semakin panas badannya terasa. Pelik dengan situasi itu, dia berjalan perlahan ke belakang dan masuk ke rumahnya semula.

...

"Adrian!!" Adrian tersentak dari tidur apabila terdengar suara ibunya menjerit nyaring namanya."Ya, Ibu?" balas Adrian dari katilnya saja. Namun, suara Camelia tidak lagi kedengaran. Dia yang baru mengalami mimpi pelik bingkas bangun dari katilnya dan cuba mencari-cari ibunya di dalam rumah. Tetapi, Camelia tidak dijumpai. Begitu juga di kawasan persekitaran rumahnya, tiada tanda-tanda keberadaan Camelia.

Adrian kembali masuk ke rumahnya dan menuju ke dapur untuk minum air bagi membasahkan tekaknya yang agak kering. Sambil minum, matanya terpandang ke arah jam di dinding yang menunjukkan pukul 6 petang. Adrian agak terkejut kerana dia merasakan yang dia hanya tertidur sekejap saja, namun jam membuktikan dia telah tertidur selama 9 jam, sejak pukul 9 pagi tadi. Sedangkan dia tidak berasa penat pun sebelum tidur. Ia menjelaskan kenapa tekaknya amat terasa kering dan perutnya yang lapar.

Setelah itu, Adrian kembali mencari ibunya di luar rumah sambil memanggil-manggil nama Camelia. Walaupun begitu, tiada satu pun sahutan manusia mahupun haiwan yang menangkap di telinganya. Dia melangkah menuju ke rumah Mak Jemah, jirannya, yang terletak dalam lingkungan 100 langkah dari rumahnya.

"Assalamualaikum, Mak Jemah! Ooo Mak Jemah!" jerit Adrian dari kaki lima kediaman Mak Jemah itu. Namun, jeritannya hanya sia-sia kerana tiada tanda-tanda terdapat penghuni di kala ini. Pintu rumah Mak Jemah yang terbuka luas mendorong Adrian untuk masuk ke dalam rumah itu walaupun tidak dijemput. Apabila dia memeriksa keadaan rumah jirannya itu, dia semakin pelik kerana Mak Jemah mahupun cucu-cucu yang dijaganya tidak kelihatan.

'Mungkin diorang shopping barangkali. Tapi kenapa pintu terbuka luas. Nak menjamu pencuri ke?' ujar Adrian di dalam hati. Adrian bergerak keluar dari situ dan menuju ke anak sungai berhampiran. Anak sungai itu yang menjadi ruang permainan Adrian sewaktu kecil mengalirkan air yang sangat jernih dan sejuk. Ia juga merupakan tempat Camelia membasuh pakaian mereka dua beranak. Sama seperti di rumah Mak Jemah, perjalanannya ke sungai itu tidak terlihat sesiapa pun penduduk kampung.

Sesudah sampai, Adrian terlihat satu susuk tubuh lelaki di seberang sungai itu yang memerhatinya. Setelah diamati, lelaki itulah yang muncul di dalam mimpinya tadi. Adrian terus menyapa dengan intonasi kasar dan tinggi, "Hoi, orang tua! Siapa kau?".

"Sungguh beradap kamu ya, wahai anak muda. Beginikah cara manusia menyapa orang tua di alam ini?" balas lelaki tua itu. Walaupun lelaki itu jauh di seberang sungai, namun suaranya amat jelas di telinga Adrian seperti dia berbicara di hadapannya tanpa riak terjerit-jerit seperti Adrian tadi.

"Ah aku tak peduli! Siapa kau? Mana ibuku?! Mana pergi semua orang?!" bentak Adrian lagi.

"Dasar darah panas. Sesuai dengan keturunanmu. Aku boleh beritahu ke mana mereka menghilang. Tapi aku ingin bercerita dahulu tentang satu kisah dongeng. Mahukah kau mendengarnya?" balas lelaki tua itu pula.

"Kau ingat aku ada masa nak dengar cerita kau ke?! Cepat lah bagitau mana semua orang!" bidas Adrian. Tiba-tiba, badan dan dadanya terasa membahang. Panik dengan kejadian itu, dia terduduk meronta kerana panasnya amat terasa. "Arghhh" jerit Adrian."Aku bicara dengan baik, tapi sedikit adab pun tidak ditunjuk olehmu. Mungkin aku perlu ajar kau cara beradab terlebih dahulu," ujar lelaki itu tenang.

"Ok ok maaf. Aku minta maaf. Baiklah, aku akan dengar cerita kau. Hentikan seksaan ini! Panas!!" rayu Adrian kesal dengan tindakannya tetapi masih kelihatan marah. Sama seperti awal tadi, secara tiba-tiba juga panas yang dirasanya hilang serta-merta. Tercungap nafasnya mencari udara ketika dia masih tidak mempercayai apa yang baru saja berlaku. Dia kembali berdiri dan bersedia dengan apa yang bakal diceritakan kepadanya.

"Bagus. Alkisah..." lelaki tua itu memulakan kisahnya.

Putera RahsiaWhere stories live. Discover now