11

89 2 1
                                    

"Ching," bunyi pedang berlaga besi kedengaran.

Seluruh mata menyaksikan itu terpaku. Pedang Hasna terhenti apabila berlaga dengan tengkuk Adrian. Seakan tidak percaya, Hasna cuba lagi memotong tengkuk Adrian, berkali-kali, namun hanya seperti cubaan memotong besi, tidak berhasil. Tiba-tiba, pedang yang digunakan Hasna itu terputus dek tidak tertahan dengan hentakan bertubi-tubi ke atas tengkuk seorang manusia.

Adrian yang juga terkejut dengan kejadian itu hanya mampu terdiam. Dia dapat merasakan satu tenaga yang luar biasa merasuki dirinya. Secara tiba-tiba, dia rasa bertenaga dan bangun sambil memutuskan tali-tali yang mengikatnya. Hasna terundur beberapa tapak sambil masih memegang pedang yang telah patah itu, cuba untuk melindungi dirinya sendiri.

Jahid yang terpaku dengan kejadian itu bertitah kepada semua hulubalang dan pengawalnya, "Serang dan bunuh dia!".

Terus mereka semua menuruti titah Jahid beramai-ramai. Mereka berlari bertempikan menghunus senjata masing-masing ke udara untuk menyerang Adrian yang sudah berdiri teguh. Saat mereka hampir dengannya, Adrian mendapat ilham untuk menghentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba hulubalang dan pengawal yang menyerangnya dari semua arah terpelanting jauh ke belakang seperti ditolak angin beliung. Mereka yang sudah terjatuh jauh dari Adrian bingkas bangun dan melarikan diri masing-masing.

Pedang terlepas dari genggaman Hasna yang terkaku melihat kekuatan luar biasa Adrian. Dia tidak mampu bergerak kala ini, kakinya terasa seperti tertanam ke bumi. Adrian memandang Hasna dengan pandangan yang menikam. Adrian berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Permaisuri itu. Rakyat yang melihat keadaan itu sudah mula menjarakkan diri mereka sambil mengundurkan diri.

Jahid yang melihat dari jauh keadaan itu terus menjerit, "Serang dia semua! Dia amalkan ilmu hitam! Jangan biarkan dia hidup!". Namun, tiada siapa yang berani menyerang Adrian lagi. Melihat keadaan itu, Jahid dengan nekad berlari ke arah Adrian dengan kerisnya digenggam erat. Dia sedang berusaha melindungi Hasna walaupun tahu tindakannya itu sia-sia.

Saat Jahid semakin hampir, dia segera menghunuskan kerisnya untuk mencuba menikam tubuh Adrian dari tepi. Namun Adrian sempat mengelak dan menggenggam lengan Jahid yang berada di hadapannya. Dengan sebelah tangannya lagi, Adrian menikam leher Jahid hanya dengan menggunakan jarinya sahaja, namun itu cukup membuatkan Jahid terjatuh dan tergapai udara kerana ruang pernafasannya sudah tertutup. Jahid meronta-ronta terbaring di bumi sambil memegang lehernya yang kesakitan.

Hasna terus cuba melarikan dirinya dari situ namun Adrian sempat mengejar Hasna. Dari belakang, Hasna direntap rambutnya oleh genggaman erat Adrian lalu dia terjatuh duduk. Adrian yang berdiri membongkokkan badannya lalu mendekatkan bibirnya ke telinga Hasna sambil berbisik, "Syaitan lebih suci darimu."

Hasna membuntangkan matanya kerana dia terkejut benar apabila suara yang didengarinya ialah suara Camelia, walaupun datangnya dari mulut Adrian. Adrian mengheret Hasna sambil memegang rambutnya sahaja menuju ke tempat pancung. Hasna meronta-ronta minta dilepaskan dan meminta tolong dari sesiapa sahaja yang menyaksikan kejadian itu.

Sampainya mereka di sana, Adrian terus mengikat tangan, kaki, dan leher Hasna dalam kedudukan bersedia untuk dipancung. Hasna terus meronta dan meraung memohon simpati. Jahid yang masih tidak dapat bernafas dengan sempurna cuba bangun dengan susah payah dan menuju ke Adrian. Adrian yang sudah selesai mengikat Hasna berdiri sambil menunggu kehadiran Jahid itu. Sesampainya Jahid di hadapan Adrian, dia terduduk sekali lagi tercungap-cungap. Kali ini, Adrian terus mengangkat kakinya dan menyepak kepala Jahid. Kekuatannya yang luar biasa itu menyebabkan kepala Jahid terhentak kuat di bumi dan melantun. Darah terpancut dari kedua-dua belah kepalanya. Kekuatan Adrian juga menyebabkan bola mata Jahid pecah dan mencurahkan darah yang tidak lagi boleh dihentikan. Jahid terbaring kulai namun tubuhnya masih menggigil.

Hasna yang melihat suaminya itu menjerit dan menangis sekuat hatinya kerana melihat dia dibunuh di depan matanya sendiri, tatkala dia sendiri yang sedang menunggu kematian.

Adrian beralih arah dan berjalan menuju ke Hasna. Sampainya di hadapan Hasna, Adrian berkata dengan suara Camelia, "Kau tak layak mati dengan mudah, Hasna."

Tiba-tiba, Adrian terjatuh pengsan. Hasna pelik dengan kejadian itu terus memerhati tubuh Adrian. Dari tubuh itu, kelihatan bayang hitam keluar dari badan Adrian, dan bayang itu perlahan-lahan membentuk tubuh manusia. Semakin lama, tubuh itu makin jelas dan boleh dilihat bahawa ia kepunyaan Camelia. Camelia merasuk ke badan Adrian dan menyalurkan kekuatan luar biasa kepada Adrian seketika tadi.

Camelia berjalan menuju ke Hasna. Hasna semakin gerun dengan keadaan itu dan berkata, "Ampun.. Ampunkan aku."

"Jangan risau, aku akan pastikan kau rasa apa yang Daniel rasa. Bahkan lebih dari itu," kata Camelia sambil tersenyum mengejek.

...

Adrian terkejut dari pengsannya dan membuka matanya perlahan-lahan. Dihadapannya ketika ini ialah sebuah Istana yang masih terbakar oleh api hitam. Dia terkejut dan bingkas bangun dari baringnya. Dia meraba-raba tengkuknya kerana memori terakhirnya ialah dia sedang menjalani 'hukuman' pancung dari Hasna. Kesyukuran amat terasa namun dia masih pelik dengan keadaan sekelilingnya kala ini.

Adrian melilaukan pandangannya ke sekeliling cuba mencari petunjuk. Matanya terpaku ke arah tubuh Jahid yang sudah terbaring kaku sambil kepala yang berlumuran darah. Dia yang merasa gerun mengalihkan pandangannya ke arah berlawanan, tetapi matanya tertangkap imej yang lebih mengerikan.

Dari jauh, kelihatan tangan, kaki, badan dan kepala yang terpisah kepada beberapa bahagian dan tergantung di dahan-dahan sebatang pokok yang besar di tepi Istana. Setelah diamati, anggota-anggota badan tersebut milik Hasna, Permaisuri yang cuba membunuhnya tadi. Dia amat terkejut dengan keadaan Hasna itu sambil tertanya-tanya apakah yang telah berlaku. Tiada sesiapa pun yang masih hidup berada di situ untuk dijadikan rujukan.

Adrian terus berjalan perlahan-lahan cuba mencari petunjuk namun hampa. Dia terus melangkah ke arah perkampungan dan cuba mencari rumah Tok Pawang. Sepanjang perjalanannya, tiada satu manusia yang terserempak dengannya. Rumah-rumah kosong tidak berpenghuni dan keadaan rumah-rumah tersebut seperti dilanggar taufan. Amat tidak terurus.

"Di mana aku sekarang?" monolog Adrian. Semakin lama, Adrian semakin tidak mengenali kawasan yang dilaluinya. Adrian yakin yang kini dia hanya bersendirian di kawasan itu. Dia terus berjalan dan tidak berhenti, mencari-cari sesuatu.

Adrian berpatah balik perjalanannya apabila tiba di hujung kawasan perkampungan yang hanya terbentang hutan tebal tidak berlaluan. Dia terus berjalan sehingga terlihat asap hitam yang marak dari jauh.

"Asap apa tu, tebalnya. Ada rumah terbakar ke?" monolog Adrian lagi. Dia terus berlari ke arah asap tersebut. Lariannya terhenti di sebuah Istana yang terbakar.

"Besarnya rumah ni. Sayang betul terbakar hmm," katanya lagi bersendirian. Sambil itu dia melilaukan pandangannya di sekeliling. Matanya tiba-tiba tertumpu pada mayat di tanah.

"Mayat?! Muka dia dah hancur? Mayat siapa ni?" ujar Adrian. Secara perlahan-lahan dia cuba menjauhkan dirinya dari mayat itu, takut dituduh pembunuh. Sambil itu, hidungnya terhidu bau busuk yang teramat yang datangnya dari arah sepohon pokok yang besar. Dia merapati pokok itu dan sekali lagi dia terkejut hingga terduduk.

"Itu.. Itu mayat siapa pula lagi tu.. Badannya terpotong-potong, digantung kat pokok pula macam kerja orang gila.. Aku kat mana ni.." Adrian terus bermonolog sambil panik apabila terlihat mayat wanita yang tidak dikenalinya tergantung dengan anggota badan yang terpisah.

Adrian yang sudah mula mengeluarkan air matanya terus berkata sendirian, "Kenapa takde sesiapa kat sini.. Aku kat mana.. Aku nak balik.. Balik.. Balik? Rumah? Rumah aku mana? Aku.. Ada rumah? Ada orang kat rumah aku tak? Kenapa aku tak ingat apa-apa.. Macam mana aku boleh ada di sini.. Siapa bawa aku ke sini.. Siapa.. Siapa? Siapa aku?"

Putera RahsiaWhere stories live. Discover now