Di saat ini, Adrian sudah terkunci di dalam sel penjara, sel sama yang pernah menempatkan Daniel dahulu. Dinding dan pintu sel itu menjadi saksi penderitaan yang dihadapi Daniel sewaktu ketika dahulu. Adrian hanya menunggu ketibaan Hasna sambil cuba membayangkan nasib dirinya.
"Ian.. Jangan kamu takut, Tuhan bersamamu." Adrian tersentak dari lamunan apabila tiba-tiba mendengar suara Camelia.
"Ibu?" Adrian tercari-cari sumber suara itu namun tidak berjaya. Dia masih bersendirian di dalam sel itu.
"Ingat, Ian. Darah Raja Daniel mengalir dalam tubuhmu. Kamu jangan khuatir. Ia akan membantumu kelak," suara mirip Camelia itu berkata lagi sebelum sunyi sepi seperti sedia kala melanda ruang itu.
"Ibu! Mana ibu!" teriak Adrian. Dia bingkas bangun lalu berlari-lari anak cuba mengejar suara itu. Namun tidak kedengaran lagi. Dia terduduk kecewa di lantai dingin membeku.
Tiba-tiba, pintu sel itu terbuka dengan sendiri secara perlahan. Adrian yang terkejut kerana setahunya sel itu sudah dikunci, bingkas bangun dan cuba merapati pintu tersebut. Dia mengintai ruang luar menerusi celahan pintu yang terbuka itu, dan tiada satu bayang pengawal pun kelihatan dari situ. Dia terus membuka pintu tersebut sehingga mempunyai ruang yang cukup untuk dirinya.
"Hmm.. Kenapa tak kunci?" Adrian bermonolog apabila dia berjaya keluar dari sel itu tanpa halangan. Di hadapannya, terbentang satu laluan panjang yang mempunyai banyak sel penjara lain di kiri dan kanan laluan tersebut. Laluan gelap itu hanya diterangi cahaya lilin yang tergantung bersebelahan setiap pintu sel.
Adrian terus berjalan dengan berhati-hati di lorong malap itu sehingga ke hujung. Setiap sel yang dilaluinya kosong tidak berpenghuni. Sesekali dia ada mengintai sel-sel tersebut dan ia kelihatan seperti sudah ditinggalkan sejak sekian lama.
Di hujung laluan itu, terdapat cabang menuju ke kiri dan kanan. Adrian terus menuju ke kanan tanpa menghabiskan masanya berfikir dan meneruskan perjalanannya. Setelah beberapa langkah, dia terlihat sebingkai gambar yang tergantung di dinding. Gambar tersebut diperhatikan dengan bantuan cahaya lilin yang tergantung di sebelahnya. Di dalam gambar tersebut, kelihatan Camelia yang masih muda sedang mengendong seorang bayi. Jauh di sudut ruang di dalam gambar itu, kelihatan seorang lelaki yang memerhatikan mereka dari jauh.
Adrian berjalan lagi dan selang beberapa langkah, dia terhenti sekali lagi di hadapan sebuah gambar. Kali ini dia amat mengenali watak di dalam gambar itu, iaitu dirinya sendiri ketika masih kecil. Dia sedang bermain di pokok berhampiran rumahnya itu dan Camelia juga kelihatan sedang tersenyum memerhatikan anak lelakinya itu. Namun, lelaki yang sama juga masih berdiri dan memerhatikan mereka dari jauh. Apa yang memeranjatkan Adrian ialah dia tidak pernah mengenali lelaki itu dan bila gambar tersebut diambil.
Setelah itu, dia teruskan berjalan dan sebelum sampai di hadapan sebuah pintu, Adrian terhenti sekali lagi di hadapan sebuah lagi gambar. Di kala ini, dia berasa sedikit gementar. Imej di dalam gambar tersebut merupakan dirinya yang masih berada di dalam sel penjara tadi, sambil diperhatikan oleh lelaki yang sama dilihatnya di dalam gambar-gambar tadi. Apabila diperhatikan secara teliti, barulah dia dapat mengecam wajah lelaki itu, iaitu Laksamana, abang Camelia. Menurut kesemua gambar-gambar itu tadi, kelihatan seperti Laksamana tidak pernah meninggalkan dia dan ibunya, sebaliknya sentiasa memerhati keadaan mereka dari 'jauh'.
Adrian terus menuju ke pintu tersebut dan membukanya dengan perlahan-lahan sehingga terkuak habis. Sekali lagi dia terkejut. Dia membuka pintu ruang sel penjara yang didiaminya pada awal tadi. Tiba-tiba, satu pukulan kuat mengenai tepat ke belakang kepalanya dan dia jatuh pengsan serta-merta.
...
"Bangun!" bentak pengawal penjara sambil memegang kayu yang baru dilepaskan pukulannya ke arah banduan itu yang sedang lena tertidur.
Adrian yang terasa pedih di belakang kepala terus bertindak melulu dengan cuba menyerang pengawal tersebut. Tetapi, pergerakannya terhenti apabila kaki, tangan dan lehernya terikat kemas. Melihat keadaan itu, pengawal tersebut tergelak sinis.
Hasna muncul tiba-tiba di pintu sel tersebut dan menyuruh pengawal tadi keluar sebelum dia menutup pintu itu semula. "Kau tahu kenapa aku benci kau? Sebab kau anak Daniel! Tapi bukan dari darah aku! Kalau aku lepaskan kau, senang-senang saja kau boleh rampas takhta aku," kata Hasna.
"Aku boleh rampas.. takhta kau?" tanya Adrian tanpa mengetahui keistimewaannya.
Hasna terkedu apabila dia baru menyedari Adrian tidak mengetahui apa-apa tentang dunia itu. Dia terus keluar dari bilik itu lalu pengawal tadi mengunci semula pintunya itu. Adrian yang masih terpinga-pinga ditinggalkan bersendirian.
...
"Kanda, apa kita harus buat pada Adrian itu? Kalau dibiarkan lama, mungkin dia boleh rampas takhta kanda pula nanti," kata Hasna kepada Jahid.
"Hmm.. Dinda ada cadangan?" jawab Jahid dengan pertanyaan semula.
"Kalau ikutkan hati, dinda ingin pancung saja kepala dia, letak di sebelah ayah dia. Tapi apa yang kita perlu beritahu rakyat?" cadang Hasna.
"Menarik. Apa kata, kita cakap yang dia amalkan ilmu hitam, macam ayah dia. Sebab itulah Camelia tidak dijumpai sampai sekarang, sebab mereka dua beranak ada ilmu ghaib. Tapi Si Adrian ni belum handal untuk lawan ilmu Tok Pawang," ujar Daniel melengkapkan idea Hasna. Sesungguhnya mereka pasangan Raja dan Permaisuri yang secocok.
"Bernas idea kanda. Sekarang juga dinda mahu pancung dia," balas Hasna bersetuju.
"Sabar, dinda. Apa kata malam ini saja. Kebetulan malam ini kan purnama, jadi kita boleh tambah yang dia hanya boleh dibunuh ketika menghadap bulan saja. Sementara itu, kita boleh sebarkan dahulu cerita itu dan suruh rakyat berkumpul di hadapan Istana malam nanti," kata Jahid lagi. Hasna hanya mengangguk tanda setuju.
...
Adrian yang sedang terbaring di atas lantai keras membeku kala ini hanya memandang ke bumbung sel itu. Banyak perkara yang masih bermain difikirannya, termasuklah kehilangan ibunya. Dia ingin keluar dari situ dan mencari ibunya, tetapi dirinya hanyalah tidak ubah seperti boneka ketika ini. Jika benar seperti yang dimimpikan tadi, Laksamana pasti berada bersamanya kala ini namun hanya tidak terlihat olehnya.
"Lak.. Laksamana? Pakcik..?" monolog Adrian mencuba nasib. Namun, hanya sunyi yang membalas. Keluhnya kasar kecewa dengan mimpinya sendiri.
Tiba-tiba, pintunya ditolak kuat dari luar dan ia terbuka serta-merta. Pengawal tadi muncul bersama beberapa lagi pengawal lain.
"Kirim salam dengan ayah kau," kata pengawal itu sambil menarik tali-tali yang mengikatnya. Lidah Adrian terkelu kerana dia sedar akan keadaannya kala ini. Terkejut dengan kata-kata pengawal itu, dia telah membayangkan kematian di hadapannya. Serta-merta kakinya lemah longlai tidak bertenaga.
Pengawal-pengawal itu hanya perlu mengheret Adrian yang sudah tidak mampu berjalan sendiri. Perjalanan mereka tamat sehingga di hadapan Istana yang sudah dikerumuni ramai orang. Mereka hanya berbisik sesama sendiri. Turut kelihatan Hasna dan Jahid yang ditemani beberapa orang hulubalang.
"Letak leher dia di kayu itu! Lihatlah rakyat jelata! Inilah akibatnya yang kamu akan dapat sekiranya menyekutukan Tuhan kamu!" titah Jahid kepada rakyatnya yang sudah berkumpul.
"Apa!? Kau fitnah aku! Lepaskan aku!" jerit Adrian apabila dia mendengar tohmahan tersebut.
"Mana ibu kau? Dia ghaib bukan? Kau ikuti dia ke dunia ini tapi di mana dia? Kau dan ibu kau sama! Hamba syaitan! Cepat ikat dia di pancung itu!" balas Hasna cuba meyakinkan rakyatnya.
Adrian sedang cuba meronta untuk dilepaskan namun kudratnya tidak terlawan dengan kekuatan pengawal-pengawal penjara itu. Dirinya kini sudah diletakkan di tempat pancung, lehernya kelihatan bersedia diputuskan oleh Hasna.
"Nanti! Beta yang mahu lepaskan pedang itu!" titah Hasna yang melarang penghukum itu yang sedang mengasah pedangnya. Dia turun dari tangga dan terus menuju mengambil pedang itu. Setelah itu, dia berbisik di telinga Adrian, "Jika jumpa Daniel, sampaikan salamku padanya."
"Kau tak akan selamat," balas Adrian sambil hanya menunduk di kedudukan lehernya seperti itu.
Hasna berdiri tegak. Dia sudah bersedia mengambil alih tugas Izrail. Takhtanya tidak boleh diganggu. Pedangnya dihunus ke udara, dan laju turun menuju ke tengkuk Adrian. Tiada apa yang boleh menghalangnya kala ini.
YOU ARE READING
Putera Rahsia
FantasyAdrian lahir tanpa mengenali bapanya di dunia ini. Ibunya, Camelia, bersusah payah membesarkan anaknya berseorangan. Dengan kepayahan hidup itu, Adrian yang hampir mencecah umur 18 tahun ingin keluar dari kampungnya untuk bekerja di bandar, demi men...