1
Pagi yang cemerlang menyerkup udara Kajang dengan gilang-gemilang. Namun, ia seperti pagi yang sudah-sudah. Di rumah semi-d dua tingkat ini, ketenangan pagi dinodai bising mesin pembersih hampagas yang berselang-seli lagu-lagu pop-rock seberang zaman 2000-an. Kadangkala terdengar suara Sulastri separuh menjerit menanyakan Alqamariah entah apa-apa. Mungkin dia bosan. Ditanyakannya kalau diberi pilihan, Alqamariah mahu siapa. Ahmad Dhani atau Ariel Noah?
Wah, selera bad boy sungguh Sulastri ini. Ada masa ditanyanya pula, antara si Ghulam tukang potong rumput dan si Habib pembantu kedai runcit di hujung jalan besar itu, yang mana satu Bangla yang paling ganteng? Sudah tentulah Ghulam kalau ikut taste Alqamariah. Bukan kerana dia kacak. Bukan juga sebab Ghulam pernah try dia - dia pun macam tertarik juga dengan gaya Ghulam. Tetapi kerana Ghulam bijak merencanakan masa depannya menjadi seorang usahawan dan tidak selama-lamanya mengkulikan diri seperti Habib.
Dan disebabkan Alqamariah memang jenis kurang bercakap, selalulah dia menjadi sasaran pertanyaan Sulastri. Alqamariah tak kisah pun kerana baginya itu lebih baik daripada Sulastri pasang YouTube ceramah agama kiai-kiai. Kalau ceramah, Sulastri akan diam buat kerja dan tidak berbual seperti ini. Tak tahulah sama ada dia tumpu perhatian atau baginya mendengar ceramah seperti mendengar azan, perlu diam dan hormat. Makanya, Alqamariah pun terpaksa mendengar ceramah-ceramah yang lebih banyak menjeritnya (atau menangisnya) daripada memberi ilmu yang bermakna itu.
"Kalau nanti kamu berjodoh sama orang Malaysia, apa kamu mau ikutan tinggal di sini?"
"Entahla Tri, aku bingung. Sebenarnya aku cuma mahu kerja saja di sini."
"Wajahmu kan cantik. Badan kamu langsing, kaki kamu panjang. Mustahil kamu nggak ada pacar."
"Ah udah. Cepat dimop lantainya biar kita bisa kerjaan yang lain. Baju-bajunya belum diseterika lagi."
Sulastri menjuihkan bibir mungilnya, membuat Alqamariah tersengih.
Untuk seorang wanita yang ada dua anak bersekolah rendah dan seorang suami yang mungkin sedang bermalas-malasan main dam di pekan Cirebon, Jawa Timur, Sulastri pasti rindukan keluarganya. Tepatnya dua tahun mereka sekeluarga sudah tidak bertemu. Agaknya itulah sebab dia sibuk bertanya soal lelaki dan soal perkahwinan. Mungkin otak reptilian primitifnya sedang merindui kenikmatan sentuhan lelaki.
Memang boleh saja kalau dia mahu mendapatkan perkhidmatan gigolo Bangladesh yang memang tersedia dan terselindung daripada pengetahuan orang tempatan. Buka sahaja aplikasi WeChat, tekan beberapa kod huruf dan anda boleh dapatkan khidmat secepat tempoh satu jam. Tetapi Sulastri bukan begitu. Dia antara ribuan pekerja dari seberang yang jujur, yang hanya mahu rezeki yang halal.
Soal mencari keselesaan melalui jalan pintas tidak pernah dia terfikir. Isu kehausan seks tidak (atau belum lagi) menjadi obsesi. Keinginan bermastautin terus secara haram juga tidak pernah terlintas di dalam mindanya. Tapi tak tahulah kalau dua tahun berpanjangan menjadi tiga tahun. Atau suaminya bertambah-tambah permintaan duitnya nanti. Mungkin dia boleh berubah kalau begitu.
Alqamariah pula tidak boleh mengatakan benda yang sama untuk dirinya sendiri. Dia tidak sejujur Sulastri sejak bekerja di sini. Dia ada agenda lain. Agenda yang tiada siapa pernah terfikir pun. Tidak pernah tercetak dalam mana-mana diari mahupun karya fiksyen. Baik cerita benar, ficcion mahupun dalam Fixi, tidak pernah ada cerita se-keren ini. Lebih mengujakan, inilah yang benar-benar berlaku di Malaysia.
"Esok Khamis, kamu nggak kerja kan?"
"Iya."
"Ayuh, kamu ikut aku ke KLCC, ya?"
"Kamu nggak masuk kerja esok ya, Tri? Bukankah hari liburmu selalunya hari minggu?"
"Datin mahu rumahnya dibersihkan pada hari minggu, jadi aku akan libur esok. Kita pergi menonton, yuk?"
YOU ARE READING
(preview) MAJNUN - sebuah novel Zul Azlin
Mystère / ThrillerSelama lebih kurang enam bulan, Al melakukan penyamaran semata-mata untuk misi mencari Chinta, seorang gadis Jogjakarta tang hilang selepas beberapa bulan berada di Malaysia. Hasil siasatan Al mendapati, kali terakhir Chinta dilihat memasuki banguna...