Bab 4: Pertemuan

2.2K 49 2
                                    

Imbas kembali...

Teja begitu tangkas membantu emaknya membungkus nasi lemak kepada pelanggan. Gerai itu dibuka di tepi jalan sahaja tidak jauh dari rumah flat mereka. Ketika itu Teja Aryana baru lepas menduduki SPM, dan masih menanti keputusan. Semasa percubaan SPM dia hanya mendapat keputusan cukup-cukup makan. Bukannya dia terlalu bodoh tetapi masa untuk mengulangkaji digunakan untuk membantu ibunya. Akibat keletihan dia sukar memberi fokus di dalam kelas. Semangat belajar juga kurang kerana dia tidak berniat mahu menyambung pelajaran. Tidak mahu membebani keluarganya lagi.

Oleh itu, Teja mahu mengikuti kelas di Giat mara sahaja dalam bidang fesyen. Dia berminat menjahit baju dan baju sekolahnya pun dibuat sendiri. Dia memang berkemahiran walaupun tidak bijak dalam pelajaran. Kelebihan yang satu lagi juga agak menyusahkan dirinya. Ramai juga lelaki hidung belang dan tidak sedar diri mahu mengahwininya sebaik sahaja tamat SPM. Kebanyakan pak cik tua, kalau yang muda hanya mahu mengajaknya bercinta dan boleh dibawa ke hulu dan ke hilir. Supaya bangga dapat awek cantik jelita!

“Saya jual ye mak cik!” kata Teja bersama senyuman manis yang menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya.

“Amboi...cantik sungguh anak dara ni. Umur berapa ni?” soal mak cik itu.

Zura tersenyum sahaja apabila anak gadisnya dipuji. Sudah biasa sangat didengarinya.

“17 mak cik.” jawab Teja.

“Ala...suara pun lembut, ni kalau berlakon dalam TV memang sesuai sangat ni...”

Teja hanya tersenyum sahaja. Ketika mak cik itu berlalu pergi, Teja menoleh melihat emaknya.

“Mak, kenapa semua orang asyik cakap Teja patut masuk TV?”

Zura tersenyum. “Sejak Zura bantu mak di kedai ni, makin ramai pulak pelanggan. Sampai ada yang nak meminang pun ada. Teja memang cantik, ikut nenek Teja dulu.”

“Ala...mak pun cantik apa,” kata Teja lalu memeluk emaknya dengan penuh kasih sayang.

“Teja...maafkan mak ye sebab tak mampu nak bagi Teja belajar dengan baik. Sekarang Teja tak dapat cari masa depan macam kawan-kawan Teja.” keluh Zura bersama wajah sayu.

“Mak, tak semestinya tak masuk Universiti tu kita tak boleh berjaya. Ramai orang yang ada SPM je boleh jadi jutawan. Teja akan buktikan kat mak. Teja pun boleh berjaya jugak!”

Zura tersenyum lalu mengusap kepala anak kesayangannya itu. Tidak pernah mengeluh dengan kesusahan, tidak pernah merungut dengan kesempitan hidup. Mereka adalah golongan miskin bandar. Ya, orang hanya nampak kemiskinan di desa, tetapi orang yang berada dalam kelompok miskin bandar juga berperang dengan kesusahan hidup.

Teja tidak malu untuk jual botol-botol, tin, atau barang kitar semula untuk menambah pendapatan keluarga. Ayahnya? Mungkin sesuai digelar biawak hidup.

“Mak...” Teja tiba-tiba memegang kejap kedua belah tangan emaknya.

“Teja janji...Teja akan usaha, Teja akan jadi kaya dan bagi duit kepada mak sampai mak tak perlu nak kerja lagi. Teja akan beli rumah untuk mak, Teja akan bawak mak pergi umrah dan haji. Teja akan bagi mak makan sedap-sedap. Teja akan bagi mak tidur atas tilam yang tebal sampai belakang mak tak sakit lagi. Teja akan balas setiap titik peluh mak besarkan Teja. Teja janji mak...”

Zura menyeka air matanya yang mengalir perlahan kerana terkesan dengan janji-janji Teja.

“Mak doakan Teja...mak sentiasa doakan Teja.”

********

Teja Aryana menangis teresak-esak di dalam selimut tebal sambil baring merekot memeluk batal. Kali ini dia tidak mampu berlakon lagi, dia melepaskan segalanya walaupun seorang diri. Rindu yang hadir dalam sanubari terasa begitu kuat mencengkam.

The Millionaire Next DoorWhere stories live. Discover now