DENGAN penuh ceria, Isya mengayun langkah ke meja makan. Siap menyanyi pada awal pagi begini. Riang bukan main kepalang lagi anak dara yang seorang ini.
Kerusi ditarik sebelum duduk di atasnya. Ucapan selamat pagi diberikan kepada ayah dan bondanya. Pinggan yang bertangkup di hadapannya, diterbalikkan.
Dia mengendus aroma nasi goreng air tangan bonda. Isya laju mencendok nasi goreng yang menjadi menu sarapan hari ini. Hancur jadual diet Isya untuk hari pertama.
Tengku Aariz dan Che Puan Medina mengelih puteri mereka sambil mengerutkan dahi.
"Bonda ... masakan bonda always marvelous," puji Isya melambung.
"Tengku Puteri Qalisya, telan makanan tu dulu," gusar Che Puan Medina.
Isya akur. Suapan kedua masuk ke dalam mulut. Jangan sangkakan dia tidak duduk di dalam istana, itu bererti dia bebas?
Peraturan di dalam rumah ini tetap ada. Kalau tiada peraturan, bagaimana mereka nak memupuk sifat disiplin?
Kendatipun darah diraja mengalir di dalam tubuh Tengku Aariz, Che Puan Medina lebih mementingkan protokol berbanding Tengku Aariz.
"Pagi ni, siapa yang hantar Isya pergi kampus? Zaf?" soal Tengku Aariz bersahaja. Dikerling sekilas wajah puterinya.
Aik, muram? Tadi bukan main berseri lagi tampang mukanya. Bila terpacul nama Zafran, sekelip mata segalanya berubah.
Suapan Isya berubah lemah serta-merta.
"Zaf tak izinkan kamu sambung belajar kat oversea tu ya?" duga Tengku Aariz.
Isya mengganggukkan kepalanya.
Kena benar telahan lelaki separuh abad itu pagi ini. Isya mula bermasam muka. Beginilah rupanya malam semalam sewaktu pulang bersama Zafran.
"Isya, jangan buat muka monyok depan rezeki," omel Che Puan Medina seraya menuangkan air teh ke dalam cawan suaminya.
Isya maniskan muka sedikit. Suapan demi suapan nasi goreng daging disuakan ke dalam mulut. Tanpa disedari pinggannya hampir licin.
Pin! Pin!
"Ha, tu mesti Zafran." Tengku Aariz menyakat namun itu adalah kebenarannya.
Terbit keluhan pendek dari bibir Isya. Beg galas segera digalas ke bahu. Dia bangkit, mengucup tangan ayah dan bonda sebelum bertolak punggung.
Isya dan Tengku Aariz berjalan seiring. Masing-masing hendak menuju ke destinasi yang berbeza. Yang si anak hendak pergi ke universiti, sementara si ayah hendak pergi ke pejabat.
"Isya yakin nak biarkan Zaf yang hantar Isya? Kalau tak, Isya naik jelah dengan ayah. Ayah tak kisah kalau terlambat sampai office, asalkan Isya selamat."
Isya melakarkan senyuman pahit.
"Takpe, ayah. Isya naik dengan Zaf je. Insya-Allah, Isya selamat dengan dia," ujar Isya tidak mahu orang tua itu berasa risau.
"Assalamualaikum," ucap Aisyah sebelum mengorak langkah menuju ke kereta Zafran yang terletak di luar pagar rumah.
Tengku Aariz perhati dari jauh. Pria itu berasa penasaran tentang apa yang berlaku antara Isya dan Zafran.
Dari tingkah laku Zafran, dia sudah dapat meramal perangai sebenar jejaka itu. Meskipun Isya tidak pernah membuka mulut fasal Zafran.
"Tengku," panggil supir yang berkemeja putih itu.
"Saya takut kalau Isya tersilap langkah."
"Maksud tengku?" tanya Pak Ali.
Badan Tengku Aariz setia membelakangi pemandu peribadinya.
YOU ARE READING
Janji Setia
RomanceJanji atau setia? Janji hanya sebuah ikrar yang terlafaz, sementara setia adalah keteguhan dengan permainan hati. Yang mana lebih mudah untuk dilaksanakan? Tengku Puteri Qalisya atau lebih selesa dipanggil Isya, merupakan seorang yang sangat menit...