EINZELGANGER-CLAW 3

100 10 7
                                    

“Assalamualaikum.” Lelaki itu memberi salam. Kasut sekolah ditanggalkan, disusun rapi di rak. Dia melangkah masuk berhati-hati. Memandang sekeliling.

Kosong. Rumah kayu itu, ruang tamunya tersusun beberapa kerusi rotan berkusyen – coraknya pudar. Televisyen kecil lama tergeletak di sudut rumah. Di tengah ruangan kerusi rotan, ada satu meja kecil, di alas dengan hasil ‘crochet’ berwarna putih kekuningan.

Ruang itu kosong.

Lelaki itu menarik nafas lega. Pantas, dia berjalan menuju ke biliknya.

“Wafiey.”

Wafiey termengkelan. Pantas, dia berpusing.

“Ibu.”

Ibunya diam. Berdiri di balik langsir tingkap yang membuai, bersembunyi dalam bayang-bayang tingkap.

“Kenapa Fifi balik lambat sangat?”

“Ada pemilihan kelab, ibu.”

“Oh? Kokurikulum ya?” Wanita itu masih berdiri di balik tingkap.

“Ya, Ibu.”

“Kelab apa?”

“Kelab Sukan.”

“Iya? Fifi masuk kelab mana?”

Wafiey menelan air liur.

“Kelab… Kelab memanah.”

Ibunya mengeraskan diri. Diam. Langsir itu terbuai-buai, berkibar, menampakkan susuk wajah dengan mata yang merah menyala.

“Kelab memanah? Fifi. Itu kelelakian sangat, nak.” Tiba-tiba suara ibunya bertukar, lemah lembut.

“Wafiey tahu Ibu. Tapi kelab lain dah tak ada –“

“JANGAN – SEBUT – NAMA – WAFIEYYYY!” Perempuan itu meraung garau. Wafiey termengkelan. Dia menapak ke belakang.

“FIFI! TU NAMA KAU! NAMA KAU FIFI!” Ibunya menempik, menepis langsir yang berkibas. Sekali imbas, wajah perempuan itu seakan panjang, ditumbuhi muncung anjing yang menyeringai tajam. Dia melangkah, menuju ke arah Wafiey dengan mata membulat.

“APA KAU BUAT DI SEKOLAH TADI?”

“Wa- Fifi sertai Kelab Memanah. Itu sahaja.” Ujar Wafiey, menunduk ke bawah.

Perempuan itu, dalam amarah menggilanya, mendekatkan wajahnya ke wajah anak lelakinya. Sangat dekat, hingga dahi mereka bertemu. Matanya terbeliak memandang Wafiey. Wafiey masih lagi menunduk. Menarik nafas dalam.

PANG!

Wafiey tersungkur. Kepalanya terhantuk bucu kerusi rotan.

Bagai mengangkat anak patung, dengan sebelah tangan sahaja – Ibunya mengangkat Wafiey, mencekup kolar baju sekolahnya. Di wajah lelaki muda itu kini ada lima cakaran dalam. Darahnya berjejeran membasahi uniform putihnya.

“Jangan sebut nama tu.”

Wafiey mengangguk, memalingkan wajahnya dari Ibu. Luka di wajahnya itu, dengan perlahan bertakup kembali, lansung tidak meninggalkan apa-apa kesan. Wafiey diletakkan kembali.

“Macam itulah anak perempuan Ibu. Tengok ni, tengok Ibu jahitkan baju baru Fifi. Cantik tak?” Ibu tiba-tiba berubah. Hilang wajah menyeringai garangnya, bertukar pada wanita polos, berkulit cerah, bermata sepet seperti Wafiey. Dia menarik anak lelakinya ke mesin jahit di dalam biliknya.

“Tengok? Cantikkan?” Ibu mengibarkan ‘dress’ biru gelap. Wafiey mengangguk. Tiada reaksi.

“Mari, ibu pakaikan.”

“Baik ibu.”

Wafiey, cuma membiarkan Ibu memakaikannya baju. Dia dibogelkan, dipakaikan baju, ibarat anak patung. Dipakaikan riben. Ditatarias wajah. Ibunya menyanyi-nyanyi lagu La Vie en Rose perlahan, seronok.

Dia cuma mendiamkan diri. Seperti apa yang dia selalu lakukan.

===================

“Abang Izzat!” Kau dengar suara gemersik memanggil kau. Kau baru bersiap mahu balik.

“Kuna! Kenapa tak balik lagi?”

Gadis bermata coklat cair itu memandang kau dengan muka cemberut. “Kuna? Diyana la abang. Macam kunang-kunang je nama tu.”

Kau tergelak.

“Yalah. Kenapa Diyana?”

“Abang nampakkan Wafiey tadi?”

Kau terdiam. Kau sudah agak, Kuna/Diyana mahu bertanya hal itu. Kau merenung susuk tubuh kecil gadis di hadapan kau yang sedang menggalas beg, memandang kau dengan wajah gusar.

“Nampak.”

“Puas saya tanya dia, tapi dia tak mahu jawab. Dia diam.” Ujar Kuna.

Kau menarik nafas. Ya, kau nampak betapa Diyana berusaha bercakap dengan Wafiey. Anehnya, Wafiey cuma diam.

“Saya mahu sertai Kelab Memanah.” Kau dengar Wafiey berkata selepas sekian lama disoal Diyana. Gadis itu akhirnya mengeluh, dan menghulurkan borang keahlian.

Sungguh, kau pun bingung.

“Abang Izzat sahaja nampak. Orang lain tak. Trust me, if this happened to my friend, I wouldn’t trust them either. Kecualilah, saya lihat dengan mata saya sendiri.”

Kau garu kepala.

“Habis itu, apa Ku… err. Diyana mahu sekarang ini?”

Gadis itu memiringkan kepala. Memandang kau dengan penuh minat.

“Jawapan.” Ujarnya yakin.

Manakala kau, kau terus tersenyum mendengar jawapan Diyana. Gadis itu memandang kau dengan penuh bersemangat, dengan kedua tangannya menggenggam tali beg sekolah yang disandang – lagaknya seperti mahu mengajak kau membuat kerja sekolah bersama-sama.

Namun, ini bukan sesenang menulis nota Sejarah Tingkatan Lima.

“Diyana, SPM dah nak dekat.”

“Saya yakin saya boleh kendalikan hal itu di kemudian hari. Lagi pun, saya sudah bersedia untuk peperiksaan SPM sebaik sahaja PMR tamat.” Ujar Diyana dengan yakin dan bersahaja.

Kau menggeleng kepala sambil tersenyum. Gigih!

“Apa cita-cita awak sebenarnya, Diyana?”

“Saya tak pasti apa relevan soalan Abang Izzat dengan topik yang kita bincangkan, tetapi cita-cita saya adalah veterinar. Saya ada satu rancangan untuk mendekati Wafiey.” Ujar Diyana. Kau mengangkat kening, menahan letusan mahu ketawa. Skema betul budak ini.

“Rancangan?”

“Ya. Minggu depan akan diadakan rombakan ahli jawatankuasa kelab. Semua ahli diwajibkan datang untuk undian ahli jawatankuasa kelab sesi tahun depan. Cadangnya, saya mahu mendekati Wafiey waktu itu.” ujarnya panjang lebar.

Kau mengangguk.

“Diyana!” kau dengar laungan dari belakang. Kau berpaling, dan kau lihat sekumpulan pelajar perempuan lain sedang melambai ke arah Diyana. Masing-masing menuntun basikal.

“Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ujar Diyana pada kau sopan. Kau menjawab.

Kau merenung Diyana yang menunggang basikal bersama rakan-rakannya yang lain. Perlahan, mereka menghilang di selekoh jalan.

Kau mengenggam tangan kau.

EinzelgangerWhere stories live. Discover now