Bab 1 | Aku Kan Ada

402 6 0
                                    

WAJAH Yah dia tatap puas-puas. "Yah, nanti mesti rindu kau!"

"Aku pun! Nanti dah tak jumpa dah kau, jauh dekat Kelantan sana." Air mata Yah dah bergenang sambil tangan memaut erat jari-jemari sahabat yang menemani hari-harinya di universiti, Dayah.

"Nanti kalau aku rindu aku video call, kau mesti angkat tau!"

"Aku janji aku angkat." Yah hulur jari kelingking.

"Janji."

Jari mereka bertaut kemas, pinky promise.

"Yah, tak habis lagi ke drama air mata kau ni?" Satu suara dari belakang menjerit sedikit kuat buatkan Dayah dan Yah menoleh.

Ada seorang lelaki dengan rambut depannya yang panjang sehingga menutupi dahi sedang menongkatkan mukanya di bingkai tingkap van putih, badan menghadap mereka berdua. Terus muka Yah jadi sedikit masam.

"Sabarlah kejap!"

"Sabar, sabar, kau tengok jam pukul berapa dah ni? Hujan kejap lagi!"

Yah baru buka mulut nak menjawab, Dayah tepuk bahu dia suruh diam. "Dah, dah, jangan gaduh. Pergi balik cepat Yah. Betullah cakap Alid, sekarangkan selalu hujan waktu petang."

"Alah, tapi nanti tak jumpa dah..." Yah kembali sebak, tak mahu dia lepaskan pegangan tangan Dayah. Sayang benar dia kepada sahabat baiknya itu.

"Ada rezeki jumpa lagi. Janganlah sedih-sedih Yah, karang aku banjir dekat sini."

"Yah!" Suara lelaki itu sekali lagi bergema kuat menyeru namanya membuatkan Yah mengalah.

"Yalah, yalah, aku datanglah ni." Yah jerit semula pada si dia yang sudah tidak senang duduk di atas van sana.

"Bye Yah."

"Bye Dayah."

Dengan hati yang berat Yah berjalan mengundur kemudian dia berpusing lalu berjalan terus ke arah van yang menempatkan semua barang-barangnya untuk dibawa pulang ke kampung halaman di Pahang sana.

Tapi baru separuh jalan, Yah dah mengeluh tengok van putih itu. Gatal tengkuk Yah jadinya.

"Oi! masuklah cepat. Tercegat dekat situ lagi buat apa?"

Yah jegilkan matanya pada si lelaki menyebalkan itu. Dia mendekat dan berdiri di sebelah tingkap bahagian pemandu.

"Lid, kau biar betul kita nak balik naik van ni?" tanya Yah kepada Lid. Seorang lelaki yang bergelar bekas rakan sekelas di sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan manusia yang dia jumpa dekat universiti ini juga. Maklumat tambahan, Lid itu kawan sekampung Yah merangkap 'family friend' generasi ketiga. Atok kepada Lid ialah kawan baik kepada aki Yah, mak Lid ialah kawan baik selamanya kepada mak Yah.

Lebih mudah kalau nak cakap, mereka dah berkawan sejak dari dalam perut ibu.

"Betullah, apa masalahnya? Dah angkut dah pun barang kau macam satu kontena dekat belakang tu. Tinggal nak balik je ni."

Yah rasa nak menangis tiba-tiba melihat van yang bakal dipandu Lid.

Satu, van ini tak tahulah zaman bila Lid kutip. Macam nak reput dah Yah tengok.

Yah tak kisah nak naik van ini kalau dekat kampung sana. Setakat nak ke kebun ke, ke sungai ke, Yah okey sahaja. Tapi ini daripada Selangor nak ke Pahang dengan belakang tu penuh dengan barang-barang asrama dia. Buatnya apa-apa jadi tengah jalan nanti macam mana?

"Kau ni, kan. Sajalah cari pasal, Lid." Yah macam nak menangis sambil bercakap.

"Cari pasal apa? Aku bawa elok je dari rumah ke sini, tak jadi apa pun." Lid selamba membela diri.

Aku Kan Ada | Akyelrahim (SOLD OUT)Where stories live. Discover now