Rombongan kerajaan Baiqi disambut oleh sida-sida dan dayang-dayang dari Kerajaan Laith dengan penghormatan yang baik.
"Selamat tiba di Kerajaan Laith Tuanku Puteri Layla Sophia. Kami berbesar hati untuk memberi layanan kepada Tuanku. Moga perjalanan rombongan Tuanku dalam keadaan yang baik," ujar ketua sida iaitu Sida Ahmad merangkap ketua sida bagi Raja Fateh.
Semua sida dan dayang menundukkan kepala saat melihat Puteri Layla turun dari kereta kudanya. Mereka semua tertanya-tanya kerana Puteri Layla memakai penutup muka.
"Maafkan keadaan Tuan Puteri, Tuanku mengalami sakit tekak dan tidak boleh berbicara buat sementara waktu," jawab Dayang Su sambil menundukkan kepala kepada Sida Ahmad.
"Tidak mengapa, Tuanku Raja dan Permaisuri telah menunggu kedatangan Tuan Puteri di balairung Istana Utama. Mari saya iringi Tuanku ke sana," jemput Ahmad lalu memberi ruang kepada Puteri Layla untuk berjalan.
Puteri Layla memberi arahan melalui lirikan mata ke arah Dayang Su supaya membantu Dayang Ina yang menyamari dirinya. Dayang Su mengangguk perlahan lantas mengiringi Dayang Ina ke balairung Istana Utama bersama dayang-dayang yang lain.
Puteri Layla dan angkatan tenteranya yang lain dibawa ke arah kawasan penyimpanan kereta kuda dan kuda. Dengan kesempatan ini, Puteri Layla dapat memerhati susur jalan di kawasan Istana Kerajaan Laith. Jebat pula setia menjaga keselamatan Puteri Layla di situ.
👑
Setelah memberi penghormatan kepada Raja Fateh dan Permaisuri Cempaka, Dayang Ina dan Dayang Su duduk melutut di hadapan mereka sebagai tanda hormat. Suasana secara tiba-tiba menjadi tegang.
"Bagaimana perjalanan Tuan Puteri? Adakah semuanya baik-baik sahaja?" Soal Raja Fateh dengan nada mesra.
Selepas soalannya tidak disahut, Sida Ahmad lantas membisikkan sesuatu ke arah telinga Raja Fateh berkaitan keadaan Puteri Layla.
"Oh, begitu. Tidak mengapa. Mungkin cuaca yang agak panas menyebabkan Tuan Puteri jatuh sakit," tambahnya lagi.
Dayang Ina hanya menundukkan kepalanya. Dia juga berasa berdebar sekiranya penyamarannya terbongkar. Peluh mula menitik di leher dan wajahnya kerana berdebar dengan situasi tersebut.
"Tetapi kenapa Tuan Puteri memakai penutup muka? Cuaca di Kerajaan Laith agak panas pada hari ini. Tuan Puteri selesa?" Soal Permaisuri Cempaka yang melihat pelitup muka di wajah Puteri Layla. Dia mahu melihat wajah bakal menantunya merangkap bakal Puteri Mahkota anaknya.
"Ampun Tuanku, Raja Fateh dan Permaisuri Cempaka. Ini merupakan peraturan dan adat bagi Kerajaan Baiqi. Selagi Tuan Puteri tidak menjadi isteri yang sah bersama Putera Mahkota, wajahnya tidak boleh dilihat oleh sesiapa," jawab Dayang Su dengan tenang.
"Oh begitu rupanya. Fahamlah beta akan penutup muka itu," balas Raja Fateh dengan anggukan kepala.
Permaisuri Cempaka hanya mencebik geram. Dia mahu melihat kecantikkan Puteri Layla sama ada setanding dengan Dang Anum ataupun tidak.
Bagaimana sekiranya wajah Puteri Layla itu berparut? Sudah pasti ianya akan memberi satu pandangan yang serong daripada rakyatnya.
Permaisuri Cempaka sememangnya tidak bersetuju dengan rancangan suaminya yang ingin mengahwinkan Puteranya dengan Puteri Kerajaan Baiqi. Dia merasakan Kerajaan Baiqi itu terlalu hina di matanya.
Tetapi disebabkan Raja Fateh bersungguh untuk memperisterikan Puteri Layla dan Puteranya, dia terpaksa menerima dengan hati yang tidak rela.
Tiba-tiba kedengaran bunyi loceng dari luar istana. Dayang Jah yang merangkap ketua dayang kepada Permaisuri Cempaka segera membisikkan sesuatu ke telinga Permaisuri Cempaka. Berubah wajah Permaisuri Cempaka daripada masam mencuka kepada gembira.
YOU ARE READING
HIKAYAT PERMAISURI LAITH [ BAKAL TERBIT ]
RomanceKisah di antara dua Kerajaan. Disebabkan oleh kekalahan, sebuah perkahwinan diraja perlu dilaksanakan. Segalanya demi menjaga keamanan dan keselamatan rakyat masing-masing. "Jika Tuanku masih bersikap seperti ini, beta tidak mampu menerima Tuanku l...