٨

2.4K 178 3
                                    

Mereka berdua berdiri di hadapan satu jalan mati. Masing-masing mendongakkan kepala ke atas. Itu merupakan kawasan tebing di dalam hutan itu.

"Jadi inilah penghujungnya?" duga Puteri Layla sambil mendongok ke atas. Sungai juga berada di belakang mereka berdua.

"Mahu tidak mahu, kita kena panjat juga ke atas." Putera Umar memeriksa kawasan tebing yang mudah untuk dipanjat.

Puteri Layla memandang kawasan sekeliling. Tiba-tiba dia melihat seseorang dari atas tebing. Dengan segera dia menggelengkan kepala apabila melihat Jebat memandang ke arahnya. Dia berasa bersyukur kerana Jebat menjumpainya. Dia harus memikirkan idea supaya berpisah dengan Putera Umar ketika itu.

"Sophia. Kita ke sana. Kawasan di sana tidaklah securam kawasan di sini."

Puteri Layla tersentak mendengar suara Putera Umar. Dia lantas mengikut Putera Umar dari belakang.

"Kamu panjat dulu," arah Putera Umar.

"Tidak boleh. Saya tidak mahu lelaki memandang belakang badan saya. Saya perlu jaga kehormatan diri saya," ujarnya sekadar alasan supaya Putera Umar naik terlebih dahulu.

Putera Umar terkesima mendengar kata-kata Puteri Layla. Dia juga berasa malu kerana menyuruh Puteri Layla memanjat terlebih dahulu.

"Baiklah jika begitu."

Putera Umar dengan segera memaut batu-batu kasar di tebing itu supaya mudah untuk memanjat. Apabila Putera Umar sudah setengah bahagian, barulah Puteri Layla  memanjat.

"Kamu tidak apa-apa, Sophia?" Jerit Putera Umar sambil memandang ke arah Puteri Layla di belakangnya.

Puteri Layla hanya mengangguk dan tersenyum. Selepas melihat keadaan Puteri Layla yang baik-baik sahaja, Putera Umar lantas memanjat ke atas.

Putera Umar yang hanya sedikit sahaja lagi akan sampai ke puncak terkejut mendengar jeritan Puteri Layla di belakangnya.

Dia melihat hanya tangan kanan Puteri Layla sahaja yang memaut batu keras. Dia juga dapat melihat balutan di bahu kiri Puteri Layla sudah tertanggal. Jebat yang berada di tempat persembunyiaannya turut risau melihat keadaan Puteri Layla.

"Luka saya terbuka semula. Saya tak berdaya untuk teruskan," ujar Puteri Layla lemah. Sakit di bahunya juga ditahan sehabis mungkin.

"Tak boleh. Kita berdua mesti naik ke atas. Sikit sahaja lagi!!" desak Putera Umar. Dia tidak akan meninggalkan Puteri Layla seorang diri di situ.

Puteri Layla cuba menggunakan tangan kirinya. Tetapi tetap tidak mampu. Dia sudah penat. Darah juga mula mengalir keluar.

"Maafkan saya Umar. Sekurang-kurangnya salah seorang dari kita selamat," ucap Puteri Layla dan melemparkan satu senyuman.

"Tak boleh. Saya takkan tinggalkan kamu!!!" Jerit Putera Umar dengan air mata yang sudah menitis. Tanpa dia sedar, dia sudah mula menyayangi Puteri Layla walaupun itu kali pertama mereka berjumpa.

"Terima kasih untuk segalanya, Umar. Maafkan saya," ujar Puteri Layla lalu melepaskan tangan kanannya dan jatuh ke dalam sungai di bawah.

"Sophia!!!" Jerit Putera Umar sekuat hati. Air matanya tidak berhenti keluar sejak daripada tadi.

Dia terkejut melihat keputusan Puteri Layla yang memilih untuk terjun ke dalam sungai. Dia juga tidak dapat melihat susuk tubuh Puteri Layla di dalam sungai.

Jeritan Putera Umar yang kuat membuatkan Lut dan Khalid yang sedang mencari di kawasan sekitar segera bergerak ke arah kawasan tebing. Mereka semua terkejut melihat Putera Umar tergantung di situ.

HIKAYAT PERMAISURI LAITH [ BAKAL TERBIT ]Where stories live. Discover now