Siapa sangka seorang gadis yang pernah melacurkan diri selama lapan tahun kini berada dalam lindungan seorang ustaz. Jodohnya bukan bersama-sama lelaki yang telah merosakkan dirinya. Namun, lelaki lain hadir dan memberi sinar.
"MasyaAllah, pandainya dia minum susu," kata Mahfuz teruja setiap kali melihat pipi kembung Uwais bergerak di atas riba Fatihah.
"Pandainya dia..." Masih tidak bosan melihat Uwais menghisap susu badan isterinya. Mahfuz senang putera sulungnya tidak banyak karenah. Diusap dagu kecil Uwais dengan ibu jari. Pada jam 10 malam setiap hari, Fatihah akan menyusu bayi mereka. Malah, sudah ditetapkan bila waktu menyusu dan waktu tidur agar Uwais terlatih begitu. Pada waktu sebegini, si kecil itu akan disusukan hingga kenyang agar tidurnya lena dan tidak terjaga di pertengahan malam. Kelak, pasangan suami isteri ini dapat beradu dengan tenang.
Saban hari, Uwais makin gemar mencelikkan mata. Bebola mata hazelnya bersinar menerima pantulan cahaya keperangan lampu tidur. Kepala botaknya dicium Mahfuz sekali lalu dia terkelip-kelip melihat wajah sang ayah.
"Anak soleh kena tidur awal... Nanti esok nak teman abati solat subuh, kan?" ujar Mahfuz pada Uwais. Ubun-ubun lembut bayi itu dielus jari.
Seakan memahami, putera sulung Mahfuz mula melemahkan kelipan mata. Dia kekal melihat ayahnya yang mengalunkan zikrullah di tepi telinga. Lama juga bertarung dengan kantuk, akhirnya tewas hero Mahfuz ini.
Bibir merah Uwais turut terlepas daripada hisapan, telapak tangan putihnya tidak lagi menggenggam. Tanda-tanda itu menguatkan sangkaan yang Uwais telah kekeyangan dalam lena. Mahfuz mengalihkan tubuh puteranya ke dalam dakapan. Dia berdiri sekejap dan menepuk-nepuk belakang Uwais buat seketika sebelum didaratkan anak itu ke suatu katil bayi berdekatan bersebelahan katil utama.
"Tolong pakaikan..." Fatihah menghulurkan baju sejuk milih Mahfuz yang diambil daripada almari. Sengaja dilemahkan badan untuk mendapatkan perhatian maksimum suami.
Bukannya Mahfuz tidak tahu yang isterinya suka bermanja semenjak lahirkan anak sulung. Maka dia turuti sahaja. Wajah Fatihah diusap terlebih dahulu. Anak rambut gadis kesayangannya dibawa ke celahan daun telinga. Baju itu disarungkan ke badan isterinya sambil bibir tak putus menguntumkan senyuman.
"Sayang tahu tak nabi kerja apa?" soal Mahfuz yang hendak berbaring. Lengan dilipatkan ke belakang kepala.
Fatihah hanya menggerakkan kelopak mata dan memasang telinga. Dia sedang berada dalam baju sejuk Mahfuz yang dipinjam untuk menghangatkan badan. Diiring ke kanan menghadap suami. Hanya 14 hari pertama sahaja Uwais ditidurkan di tengah-tengah katil utama pada waktu malam. Kini, bayi itu direhatkan dalam katil khas berkelumbung selimut tebal. Kelambu pula dipasang agar pipi montel Uwais tidak digigit nyamuk.
"Nabi kerja... penggembala kambing dan tolong ayah saudara baginda berniaga. Jadi apa expectation sayang? Agak-agak nabi kaya tak?" soal Mahfuz dengan jongketan kening kanan. Lagaknya mahu menguji sang isteri yang masih dalam berpantang. Dia mengiring menghadap Fatihah sambil menanti jawapan.
"Kena tengok dulu perniagaan besar mana... Kalau banyak syarikat, kayalah," kata Fatihah sedikit berjaga-jaga. Takut tersalah kata di hadapan 'ustaz jemputan' malam itu.
"Hm, jawapan yang agak bijak. Nak abang sambung cerita tak? Tapi... semalam kita berhenti dekat mana ya?" balas Mahfuz. Jam menunjukkan angkat 10. Lampu sudah ditutup sebaik sahaja selesai solat berjemaah di bilik solat bersama-sama ummi dan walid. Fatihah saja yang berhadas bedar dan asyik berbaring menyusukan si debab Uwais.
"Abang cerita zaman remaja nabi semalam. Ceritalah sambungannya..." pinta Fatihah. Matanya bersinar-sinar memandang lelaki berwajah timur tengah itu.
YOU ARE READING
FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C]
ChickLitSekuel Luth Mahfuz & Luth Hentian Akhir . BOOK #6 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Chicklit ft. Tarbiyah [ Bahan bacaan 15+ tahun ke atas] Cover & banner novel atas ihsan @the_nismicha . بسم الله الرحمن الرحيم Layakkah gadis yang jijik untuk memili...