Mata yang bengkak mengeluarkan air mata terasa pedih. Dingin angin malam menyapu kering air mata yang terbiar sepi di hujung mata. Sunyi. Mata merenung kosong siling putih yang dibiasi cahaya merah jambu malap. "Hey Google!" Satu suara memecahkan sepi malam. Skrin telefon pintar menyala dengan sendiri.
"Good night." Kata suara yang sama itu lagi.
"What time should I set the alarm for?"
"Seven A.M."
"7a.m. set. Good night, baby."
Suara perempuan bersilih ganti dengan suara robot wanita. 'Ocean sounds' yang terpapar pada skrin mula dimainkan secara automatik. Bilik yang sunyi dihiasi bunyi hempasan air laut. "Hey Google. Set volume seventy percent." Sekali lagi suasana hening dipecahkan dengan suara yang sama. "Alright." Suara robot wanita itu terdengar sedikit perlahan dari sebelumnya. Mata yang masih memandang langit bangunan itu semakin layu. Perlahan-lahan mata tertutup setelah penat bekerja keras mengikut perasaan si empunya hati. Otak yang masih jaga menyebabkan kotak fikirannya bergerak laju membuka pengalaman lalu.
"Angah, aku nak balik Bangi. Aku tak boleh buat kerja lah dengan environment macam ni." Mata aku yang ralit dengan telefon pintar pantas melihat wajah kakak. "Angah, hang tak mau keluaq ka? Angah boleh belajar ka dengan keadaan macam ni?" Telefon pintar aku tutup. Aku rasa perbualan ini akan jadi lebih serius dari pembunuh yang cuba untuk menyorokkan mayat mangsa. Mata ligat memerhati sekeliling. Jam dinding dikerling. Pukul 3.30 petang. Abah masih berada di luar menunggu adik habis kelas mengaji.
"Kalau hang balik sana, aku pun nak balik Shah Alam gak. Tapi Uitm halau kami balik."
"Hang kan duk luaq. Hang duduk rumah sewa kan? Bukannya stay kolej."
"Masalahnya semua orang cancel nak duduk rumah sewa tu. Hang nak suruh aku bayaq rumah sewa tu sorang-sorang ka?"
"Habih tu macam mana?"
Mendengar sahaja bunyi pintu pagar yang sedang dibuka, soalan itu dibiar tergantung tak terjawab. Wajah abah dan adik menerjah masuk pintu utama rumah. Aku dan kakak hanya melihat abah yang berlalu menaiki tangga. Sedikit keluhan terbit di bibir. Mata aku beralih melihat lauk tengah hari yang beransur sejuk, tidak terusik. "Kakak, adik lapar lah. Jom makan." Suara kecil menembusi lamunan. Aku mengangkat punggung, bergerak mencapai tiga biji pinggan dan menyenduk lauk. Suapan demi suapan. Adik makan dengan penuh berselera. Mungkin kerana perutnya sudah bergendang-gendut rancak. Aku hanya menguis nasi. Adik yang selesai makan, bingkas berdiri ingin bergerak ke arah singki.
"Adik, amiklah pinggan ni sekali." Aku bersuara.
"Ish angah ni kenapa? Kakak pun tak kata apa." Suara kecil itu memberontak.
"Saiful. Amik pinggan ni. Basuh." Kakak pula bersuara. Sedikit tegas.
Tiada lagi bunyi air yang mengalir dari paip di singki. Aku berpaling sedikit pun tidak. Mata aku jatuh pada pinggan. Masa terus bergerak. Aku sendiri pun tidak sedar kakak telah meninggalkan aku keseorangan di meja makan ini. Aku rasa dia berlalu selepas adik siap membasuh pinggannya dari tadi lagi. Aku menghabiskan sisa nasi yang berbaki di pinggan. Jarum jam terus berpusing sehingga azan maghrib berkumandang.
Aku yang baru keluar dari bilik melihat ke arah meja makan. Mangkuk lauk telah kosong dan pinggan kosong ditinggal sepi kering dengan sendiri. Aku terdiam. Liur ditelan terasa pahit. Dengan perlahan, langkah diatur mengambil pinggan dan mangkuk untuk dibasuh. Diam. Sunyi. Kadang terdengar suara adik dari biliknya.
Mata aku terbuka. Berkelip-kelip sedikit. Pedih mata masih tersisa. Alunan bunyi ombak masih disini. Mata sekali lagi aku pejam. Cuba sehabis mungkin mencari rehat. Pandangan yang gelap pekat kopi o itu berganti dengan layar skrin pengalaman yang dipasang oleh fikiran yang masih jaga.
Aku yang berdiri menghadap kakak, menghulurkan tangan untuk bersalaman. "Angah kena kuat. Aku minta maaf." Bisikkan itu terasa dekat menyentuh hati. Aku melihat sayu kelibat kakak yang semakin mengecil ketika kereta mula bergerak meninggalkan rumah sewanya. Aku menyumbat telinga aku dengan earphone. Sepanjang perjalanan pulang tiada suara yang memecahkan hening sunyi. Segala kesunyian ini bermula sejak ketiadaan mama. Perpisahan kerana ajal ini sangat perit. Tiada lagi suara yang dirindui. Tiada lagi wajah yang menyayangi. Potret yang kaku sahaja tidak mampu dipandang. Jika air mata tidak mengalir, pasti hati yang mula meraung. Aku jelas tidak bersedia. Kebanyakkan gambar mama yang tergantung telah hilang diambil abah. Memandang potret senyumannya sahaja sudah cukup merobek hati. Tiada lagi pelukan hangat yang meredakan resah di hati. Putus sudah segala bekalan doa yang tak terhijab buat aku di dunia ini. Abah yang mengambil keputusan untuk berdiam diri, sangat tidak membantu kami adik-beradik untuk mengharungi situasi yang tidak diminta ini.

YOU ARE READING
ANAK DARA
Short StoryKehilangan Mama 6 bulan yang lepas, merupakan salah satu pengalaman pahit sepanjang hidup aku. Fasa pertama selepas ketiadaan Mama yang tak pernah aku rasai seolah-olah menggugat keutuhan iman aku. Alunan bunyi hempasan ombak yang mendamaikan fikira...