3

50 1 0
                                    

Kaki aku berlari laju membelah angin. Kelibat abah di luar rumah tertangkap di pandangan aku. Aku berhenti tercungap-cungap di hadapan abah yang merenung dalam wajah aku. Tanpa suara, dia berpaling dan masuk ke dalam rumah. Aku hanya membontoti dalam diam. Melihatkan abah yang memillih untuk duduk di sofa, aku melangkah lebar ke dapur. Sambil itu, mata mengerling ke arah jam. dua petang?! Apa aku nak masak ni? Sedang aku masih dalam kelam kabut menyediakan bahan masakan, aku terkejut ketika berpaling ke belakang. Adik yang berdiri tercegat sedang melihat aku. Aku mengurut dada perlahan.

"Awad? Adik lapaq dah ka? Sat nah, angah masak sup ayam. Ok?"

"Ok. Tak pa adik tak lapaq sangat."

"Haa ok, gi lah tengok TV dulu. Nanti dah siap angah ajak makan."

Melihatkan adik yg masih tercegat, dahi aku berkerut. Kenapa ni? Hati berdetak tidak sedap. Adik bergerak perlahan, mendekati aku. Dia berbisik, "Angah, abah panggil." aku melihat anak mata adik. Riaksi muka aku seolah bertanya 'betulkah?' dan adik mengangguk perlahan. Mengiyakan soalan bisu aku itu. Melihatkan adik berlalu pergi, aku yakin dia sudah sampaikan apa yang perlu disampaikan pada aku. Aku berjalan perlahan menuju ke arah abah. Anak mata mengekor pergerakkan adik yang memanjat tangga. Tempat di sebelah abah aku ambil. Aku takut untuk memulakan bicara. "Angah pergi mana tadi?" Perlahan. Mungkin risau dengan kehilangan aku yang sekejap cuma itu.

"Angah pergi buang sampah dekat rumah sampah sana. Lupa nak buang awal-awal dekat tong sampah depan rumah ni. Tak sempat nak kejaq lori sampah tu tadi." Sunyi. Penjelasan aku tidak dibalas. "Masak apa untuk tengahari?"

"Angah nak masak sup ayam. Kejap ja. Senang. Sebab dah lambat kan. Masak itu saja lah."

"Lambat." Sepatah sahaja perkataan yang terbit di bibir. Mengulangi perkataan yang telah aku sebut. Abah terangguk-angguk perlahan bagai murid yang baru memahami topik yang diajarkan guru dalam kelas. "Bukan lambat, tapi lembab." Aku terdiam. Tergamam. Mata merenung jari-jemari aku yang digenggam kuat. Menahan perit di hati yang tergores. "Bila nak sapu lantai, mop lantai? Buang sampah lambat. Masak pun lambat. Singki tu selalu penuh. Asyik duduk terperap dalam bilik ja. Kelas tu dua puluh empat jam ka?" Abah berdiri dan mengatur langkah naik ke bilik. Aku termenung lama sebelum aku tersedar aku perlu siapkan makan tengah hari atau patut aku tukar kepada makan petang?

Waktu bergerak laju setiap kali aku menyibukkan diri aku. Mata melihat adik yang masih berselera menjamah masakkan aku. Sedikit senyuman terbit di bibir aku. Ini kali ketiga dia menambah. "Adik, simpan lah dekat abah gak." Dia hanya mengangguk mengiyakan sahaja permintaan aku. "Nanti tolong basuh pinggan yang adik guna tu boleh? Angah nak gi buat assignment." Aku berdiri dan menolak kerusi rapat ke meja. "Jangan lupa tutup sup ni tau." Aku memanjat tangga perlahan. Aku terdengar suara abah sedang bercakap dari dalam biliknya. Tidaklah jelas, tapi jika bilik itu selalunya tidak berbunyi, pasti tertangkap juga suara yang jarang-jarang kedengaran itu.

Entah kenapa aku tercuit dengan perasaan ingin tau yang membuak-buak. Aku dekatkan telinga pada pintu biliknya. Mencuri dengar perbualan abah dengan kawannya mungkin? Atau dengan adik beradiknya yang lain? Aku tidak pasti. Yang pasti bukan soal kerja, memandangkan dia sudah pencen. Jadi apa yang sedang dia bualkan?

"Dia tu banyak merapu dari yang betul. Macam tin kosong. Bukan macam kakak dia."

Berkaca mata ku mendengarnya. Detak jantung aku bagai melangkau satu degupan. Entah kenapa aku yakin ayat itu ditujukan buat aku. Mungkin kerana aku pernah mendengar ayat yang sama itu dilontarkan pada mama dahulu. Setiap kali topik mengenai anak-anak muncul di mulut mama dan abah, itu sahajalah komen yang dia ada buat aku.

Langkah aku tidaklah selonglai seperti di hari aku mendapat berita bahawa aku telah kehilangan mama, tetapi aku turut merasakan langkah yang aku atur ini sangat lemah. Pintu bilik dikunci seperti biasa. Aku memanjat katil dan berselimut litup. Mata dipejam rapat. Panas terasa air yang mengalir di pipi. Ya, aku banyak bermain dan tidak bersikap serius seperti kakak. Mungkin kerana itu aku digelar 'happy pills' dalam kalangan keluarga kecil kami. Mereka mengharapkan jenaka bodoh aku untuk meriuhkan suasana. Aku sering bersifat sensitif berbanding kakak yang lebih keras. Perkara ini jelas bermain dengan emosi aku setiap kali aku marah dan bersedih. Aku pula tidaklah sepandai kakak, namun aku tetap berjaya dari sudut yang lain. Walau bukanlah di mata abah, tetapi sekurang-kurangnya itu lah yang aku rasakan.

Hari ini, aku sangat terkesan dengan ayat yang seringkali aku dengar. Mungkin kerana aku sedar mama tiada di sisi untuk menenangkan aku lagi. Memberikan semangat kepada aku semula. Atau mungkin membantu untuk berdiri semula dari hati yang kecewa. Aku tidak mengharapkan lebih dari abah. Cukuplah dia tidak membandingkan aku dengan orang lain. Aku masih mencuba sehabis baik untuk mencapai taraf di hati abah. Namun tiada satu pun yang berhasil. Bayangan memori itu berlanjutan dengan emosi aku sendiri yang terlampau terbawa-bawa dengan perasaan.

Untuk seketika aku merasakan ketenangan dalam kegelapan. Bunyi hempasan ombak telah hilang. Mungkin muzik itu telah habis dimainkan. Segala memori yang berputar ini sangat tidak membantu aku untuk melelapkan mata dan merehatkan minda. Aku mula selesa dengan suasa gelap pekat yang tercipta dek kerana kelopak mata yang tertutup ini. Aku yakin aku bakal terlelap dalam beberapa saat lagi. Sudah penat aku beradu emosi, pasti aku berjaya untuk tidur kali ini. 

ANAK DARAWhere stories live. Discover now