2

59 1 0
                                    

Mata yang terpejam mengalirkan air yang hangat. Nafas terasa sesak. Hidung seolah tidak berfungsi. Telinga masih menangkap suara alunan ombak. Enam bulan tanpa sokongan mama terasa musnah, runtuh kebahagian gah yang tercipta dahulu. Nyata impak peninggalan mama memberi kesan kepada semua. Aku bangkit terduduk. Tangan memegang kepala dan tertunduk rapat mengenai lutut yang dibengkokkan. Tolong lah aku.

"Abah. Angah masak gulai ayam ni. Jom makan?" sepi. Pandangan kami sedikut pun tidak bertaut. Aku menyuap perlahan nasi yang telah dikaut sudu. Mata yang ralit melihat status whatsapp menjadi kaku. Senyuman kakak kembali terukir di sana bersama beberapa orang kawan-kawannya yang lain. Nasi ditelan payah. Pahit terasa dihujung anak tekak. Tahniah kakak. Kau pergi tinggalkan aku dengan segala tanggungjawab ini. Tidakkah dia tahu, bukan aku seorang sahaja anak dara di rumah ini?

Kotak memori mengalih ke episod seterusnya. Tapak kaki aku menguis-nguis lantai yang lincin. Ini bukan kesan sabun. Tapi lantai bilik air ini sudah lama tidak disental. Kebanyakkan masa aku mandi dalam keadaan terkejar-kejar di waktu pagi sebelum kelas online bermula. Terkadang mandi di waktu tengah hari sebelum masak tengah hari seusai kelas tamat. Masih juga aku mandi sepantas yang mungkin, mengejar waktu makan tengah hari. Aku keluarkan kaki dari bilik air. Esoknya, terletak elok berus lantai baru di atas meja belajar aku. Tidak aku endahkan. Aku teruskan kehidupan aku menghadap komputer riba. Tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat di luar bilik. Tangisan adik pula bersambung kuat bergema seluruh penjuru rumah. Aku yang terkejut, keluar melihat adik yang terlentang di lantai sedang dibantu abah untuk bangkit berdiri.

Melihatkan sahaja aku yang tercegat berdiri, abah laju meluru masuk bilik tidur aku dan keluar semula. Berus lantai baru itu sudah berada di tangannya. Lantai disental kuat. Agresif seperti menyental dosa yang tertanam. Tiga hingga empat kali menyental, berus dilempar laju. Tepat mengenai kaki aku yang tercegat kaku melihat adegan ini berlaku sepantas aksi ragut di berita. Aku menahan sakit di kaki. Abah bangkit berdiri, berjalan masuk ke biliknya semula. Bunyi hempasan pintu kuat membingitkan telinga. "Lantai tu dah berkulat! Tak kan semua nak tunggu abah cakap! Bodoh!"

Mata yang tertutup, dibuka sedikit. Melihatkan suasana bilik yang diterangai cahaya malap. Badan dibaringkan mengiring menghadap dinding. Jari menari-nari di dinding cuba melukis secara rawak. Otak aku kembali bergerak memutarkan babak yang lain pula.

Aku mula gelisah. Jam dinding dikerling. 3.45 petang. Bahagian bawah bibir aku gigit. Aku lupa untuk masak nasi. Pensyarah tiba-tiba sahaja membuat kelas ganti secara mengejut. Tiada masa senggang yang lain dan tidak mahu menggangu cuti hujung minggu pelajar, seisi kelas sebulat suara bersetuju kelas ganti akan dilakukan pada pukul dua petang. Sudahlah kelas pagi aku habis pukul 1.30 tengah hari. Sardin menjadi menu utama yang ringkas hari ini. Telur dadar juga pakej lengkap sudah terhidang di atas meja. Namun tepat pukul tiga petang, aku teringat akan nasi yang belum aku tanak. Lima minit berlalu, kelas ditamatkan. Aku segera berlari anak keluar bilik. Langkah aku terhenti melihat abah yang berada di meja makan merenung pinggan yang kosong. Perlahan aku mendekati abah.

"Angah lupa nak masak nasi. Tunggu kejap eh. Angah masak. Kejap ja."

Beras dibasuh dan segera aku masukkan dalam periuk nasi elektrik. Suiz ditekan. Kemudian aku terdiam menunduk melihat periuk nasi elektrik tersebut. Liur di telan pahit. 30 minit sekurang-kurangnya barulah nasi ini masak. Tiba-tiba bunyi hempasan kaca dekat di pendengaran aku. Aku tidak berganjak dan tidak berpaling. Bunyi tolakkan kerusi kuat juga tidak membuatkan aku berpaling untuk melihat. Aku tahu dari mana datangnya semua bunyi itu. Setitik air mata jatuh ditarik graviti bumi. Kemudiannya aku terdengar suara adik dari belakang. "Angah ok?"

Babak lain terus bergerak menghiasi malam sunyi aku. Bunyi lori sampah dari luar rumah dapat aku tangkap. Aku bergegas meluru ke dapur mengikat plastik sampah yang telah penuh. Ulat-ulat putih gemuk berpusu-pusu dengan perasaan ingin tahu mengenai tangan siapa yang telah muncul di dunia mereka ini. Geli yang meruap naik menyebabkan pegangan aku terlepas. Tangan dibasuh bersih bersama sabun. Ridsect aku capai dan aku sembur ke setiap badan montel ulat yang aku lihat. Air kuning di lantai mengheret perhatian aku. Bunyi lori sampah seolah-olah telah tiba hadapan rumah menyebabkan aku semakin kelam-kabut. Helaian plastik sampah yang lain aku carik dari gulungannya. Pergerakan dilajukan sehabis baik. Aku bergegas membawa keluar plastik sampah. Aku hanya mengeluh melihatkan lori sampah yang sudah berada jauh di persimpangan jalan.

Aku melihat bungkusan hijau di tangan. Rasanya lebih baik aku berjalan jauh sedikit dan pergi membuang sampah ini di rumah sampah sana. Sudahlah sampah ini sudah berulat. Kaki berjalan perlahan. Tidak lagi mengejar lori tadi. Sampah dibuang, kaki menghayun langkah pulang. Sedang kaki ini menyepak perlahan batu-batu tar yang kecil, aku teringat akan makan tengahari. Sekarang sudah pukul berapa? Aahh! Mati aku nanti! 

ANAK DARAWhere stories live. Discover now