Bunyi tombol pintu dipulas tertangkap oleh pendengaran aku. Cahaya dari luar menerobos masuk ke alam malap bilik kecil aku.
"Angah."
Mata aku terbuka perlahan. Berkerut menahan silau cahaya dari luar bilik. Bayangan imej abah yang berdiri di bingkai pintu menjelma dan semakin jelas di pandangan. Abah, menangis? Kenapa? Aku hanya terdiam menanti suara dari abah. "Abah minta maaf." Aku mula menangkap wajah abah yang basah dengan air mata yang mengalir. Perasaan sebak menyerbu hati aku. Apa yang patut aku lakukan? Aku tak tahu bagaimana untuk bertindak bahkan kaki aku sendiri masih kaku di atas katil.
Lampu kalimatan ditekan suiznya. Bilik aku diterangi dengan cahaya putih yang menyilaukan mata, memenuhi ruang bilik. Abah berjalan memasuki ruangan bilik dan mengambil tempat di birai katil. Dia masih tertunduk. Ekspresi wajahnya bagai dalam penyesalan yang berpanjangan. Beberapa minit berlalu dengan suasana sunyi. Tiada yang bersuara. Aku mula merasakan gugup di hulu hati. Tiba-tiba keluhan terbit dari mulut abah. Mukanya diraup perlahan sebelum memandang aku.
"Abah minta maaf. Sedih abah ni masih tak terubat lagi. Bagi abah, mama lah yang pertama dan terakhir. Abah sayang dia sepenuh hati abah. Sampai terkadang abah rasa hati abah mati bila setiap kali teringatkan abah dah kehilangan dia." Air mata yang telah diseka awal tadi kembali membanjiri wajah abah.
"Demi Allah, hanya Dia sajalah yang tahu perasaan abah sekarang ni. Selama mama ada, dari zaman bercinta sampai lah dah berkahwin, ke mana mama pergi semua abah nak ikut. Tapi abah lupa, akan sampai satu hari dia akan pergi yang abah tak dapat ikut." Bahu abah kelihatan terhinjut perlahan. Menarik nafas yang mungkin sesak dek kerana tangisan yang tak tertahan.
"Maafkan abah. Jujur abah nak ikut mama pergi andai bunuh diri tu bukan satu dosa dalam Islam. Tapi amanah yang Allah bagi dekat mama dan abah ni terikat sepanjang hayat. Tak pernah abah terbayang, apatah lagi bersedia, untuk kehilangan sokongan besar dalam hidup abah macam ni. Abah terikat dengan janji abah dengan mama untuk bertahan demi amanah kami ni. Tapi.." ayat nya terputus. Nafas di tarik dan di hembus. Melepaskan hela yang panjang. Tangannya mengusap perlahan belakang kepala aku sambil menatap dalam mata aku yang turut sama membanjiri suasana.
"Ya Allah.. Macam mana abah nak buat semua ni sorang-sorang? Sumpah abah tak kuat angah. Abah minta maaf." Dia kembali menutup wajahnya menghabiskan sisa-sisa tangisan yang masih berlanjutan. Aku bingkas bergerak memeluk abah. Sedih aku terasa di kemuncak malam ini. Kehilangan mama sememangnya langkah terbesar yang perlu kami harungi. Aku yakin luahan ini bukan seratus peratus dari hatinya. Masih banyak yang tertanam jauh di lubuk hati sana yang tak sanggup diluahkan pada sang anak seperti aku ni. Tapi mungkin dia hanya perlukan tempat untuk meluahkan.
Tak mampu aku meneka apa yang bermain dalam hati abah selama pemergian mama. Namun dapat aku rasakan bahawa dia rasa terbeban tanpa mama untuk membesarkan kami tiga beradik. Pelukan aku dibalas erat oleh abah. Terasa hangat dibuai dengan perasaan syahdu. Rakan-rakan hanya berkirim salam takziah. Ada yang mengungkap perasaan sedih, berkira-kira mereka sudah mencapai tahap empati terhadap kami sekeluarga. Tapi apa yang mereka tahu? Kerana mata yang memandang itu hanya mampu menzahirkan sedih dibibir sahaja. Mereka tak akan berada dalam langkah setiap kasut yang dipakai oleh empunya tuan. Mendayu-dayu tangisan kami bergabung sehingga aku merasakan pelukan aku semakin longgar.
Tubuh aku tersentak sedikit terkejut. Mata terbuka pantas. Kondisi pembaringan aku segera berubah. Melihatkan tangan aku yang memeluk angin, sedarlah aku itu hanyalah sekadar mimpi yang jauh dari indah. Bukanlah sempurna, namun jauh disudut hati aku mengharapkan perkara itu berlaku. Kecewa dengan keadaan itu, aku melihat sekeliling. Jam digital di meja, aku tenung. Sudah pukul 6:06 pagi. Sebentar lagi azan subuh berkumandang. Alunan tenang setiap pagi yang kadang kala aku tewas untuk turuti.
Mata terasa berat dalam setiap kelipan. Aku melaraskan cahaya lampu tidur dengan lebih terang untuk membolehkan aku melihat refleksi bayangan aku dalam cermin. Ya, mata aku bengkak. Pipi terasa basah kerana air mata. Aku menangis lagi. Otak mengimbas laju mimpi yang aku alami. Terasa berada di dunia nyata. Abah yang datang untuk meminta maaf. Suaranya yang jelas. Pelukan kami masih terasa hangat. Perasaan sayu itu masih segar terasa dalam hati. Sedikit keluhan terbit. Mana mungkin hati yang keras itu, dengan mudahnya melafazkan kata maaf. Apatah lagi untuk menitiskan air mata di hadapan aku. Aku kembali termenung.
Telefon pintar aku capai. Aplikasi whatsapp ditekan. Nama 'Mama' tertera di atas sekali kerana telah di pin kan secara tetap. Melihatkan perbualan terakhir aku dengan mama, tidak pernah menggagalkan mata aku untuk bekerja dengan lebih keras lagi. Mata yang berkaca mula menitiskan air mata. Satu kata-kata terakhir dari mama dalam aplikasi itu aku tenung. Azan berkumandang sayup dari kejauhan namun cukup untuk pendengaran aku menangkapnya. Ruangan chat aku bersama mama dalam aplikasi ini aku biarkan sepi. Telefon pintar di letakkan semula di atas meja. Aku berlalu pergi dengan niat untuk mengambil wudhuk.
'Sedih dia tu takdir. Sampai masa nanti, dia akan redha. Angah kena sabar dan kuat semangat. Anak mama ni kuat. Mama sayang angah.'
TAMAT

YOU ARE READING
ANAK DARA
Short StoryKehilangan Mama 6 bulan yang lepas, merupakan salah satu pengalaman pahit sepanjang hidup aku. Fasa pertama selepas ketiadaan Mama yang tak pernah aku rasai seolah-olah menggugat keutuhan iman aku. Alunan bunyi hempasan ombak yang mendamaikan fikira...