Wajahnya yang telah diriasi dengan solekan itu diperhati lama. Dulu paras rupa ini tidak pernah tercalit sedikit pun solekan tebal. Kalau rasa nak bersolek sekali pun, dia cuma mengalas dengan sedikit bedak dan pelembap bibir.
Tapi pada hari ini, dia kelihatan nun jauh beza daripada hari-hari sebelumnya. Tiara bertatahkan butiran berlian kini terletak kemas di pundak kepala. Membuatkan dia berasa sedikit rimas dengan segala yang menghiasi tubuh tatkala ini.
Jemarinya yang merah dengan lukisan inai turut menjadi tatapan mata. Tersenyum sendiri bila mengenangkan itu lah buat pertama kali dia memakai inai. Sebelum ini tidak pernah dia mencuba untuk melukis apa-apa di tangan. Kalau setakat lukisan pen tu ada lah juga dulu. Sewaktu masih di bangku sekolah.
6 bulan putaran waktu ibarat angin yang menyinggah. Cukup pantas membawanya kepada hari ini. Hari di mana sebuah lafaz akad bakal termeterai. Merubah kehidupan dan juga status dirinya.
Ya Allah... bersediakah aku untuk menjadi seorang isteri? Mampukah aku untuk bahagia dengan perkahwinan ini nanti?
Bermacam fikiran yang datang. Semuanya tidak mampu untuk menenangkan hati dan jiwanya pada saat itu.
Dalam pantulan cermin, kelihatan loket yang tergantung melepasi selendang yang dipakai. Perlahan-lahan hujung jari dibawa menyentuh kalung yang masih cantik berkilat itu. Pemberian Puan Ilya, arwah mama Husna.
"Ad, mari sini kejap."
Husna menghampiri Puan Ilya. Dia berhenti sekejap dari mengurut Encik Harith. Bila seorang ibu memanggil, haruslah kita mengutamakan panggilan ibu dahulu. Dalam hadis pun ada disebut tentang keutamaan dan darjat seorang ibu sehingga 3 kali. Kemudian kali yang seterusnnya barulah seorang ayah.
"Ada apa mama?" Puan Ilya mengeluarkan sebuah kotak dari beg kertas. Tekun Husna meneliti setiap gerak geri mamanya. Hampir terbelalak bola matanya melihat kalung nan berkilau menyuluh kornea.
"Ni untuk Ad. Mama belikan khas sempena ulang tahun yang ke 17. Anak mama ni dah besar, mama teringin nak tengok Ad pakai barang kemas macam kak Mel."
Husna diam seketika. Sejujurnya dia tidak berapa minat dengan barangan kemas.
"Tapi ma... mama pun tahu Ad tak suka benda-benda macam ni kan?" Nak menolak tak sampai hati. Sebab ini bukan kali pertama cubaan Puan Ilya untuk menghadiahkannya barang kemas.
"Kali ni mama nak Ad terima jugak kalau Ad sayang mama. Sebelum ni pun banyak kali dah Ad tolak. Lagipun rantai ni ada nama Ad tau. Ikhlas dari mama."
Kalau dah libatkan ugutan macam ni memang tak lah menolak. Akhirnya Husna terima juga pemberian Puan Ilya. Menilik seketika kalung yang telah berada dalam genggaman.
"Meh sini mama pakaikan." Husna menurut. Dia merapatkan kedudukan di sisi Puan Ilya. Selang beberapa saat rantai tersebut tersemat kemas di lehernya. Jemarinya mengangkat loket tersebut separas mata. Benarlah, ada ukiran namanya di situ.
"Cantik pun anak papa ni." Puji Encik Harith yang sejak tadi jadi pemerhati. Puan Ilya juga memberi reaksi yang sama.
"Jangan pernah tanggalkan tau rantai ni. Selagi rantai ni masih ada dengan Ad, selagi tu lah mama sentiasa bersama Ad." Husna memalingkan tubuh. Terus didakap Puan Ilya seeratnya.
"Terima kasih mama..." Puan Ilya mengangguk senang.
Dan tidak pernah dia sangka... itu lah hadiah terakhir dari mama sebelum pergi buat selama-lamanya.
Bunyi notifikasi mesej menghalang Husna daripada melayani perasaan. Pesanan wasap daripada Farriz rupanya. Dah sampai ke mamat ni? Seram pulak nak turun bawah.
YOU ARE READING
Indahnya Rasa Bahagia
RomanceBahagia itu indah saat kau bertemu dengan insan yang tepat untuk didampingi. Ini kisah Husna Adilla. Seorang gadis yang sering gagal dalam percintaan. Mencari cinta untuk membebaskan diri dari sangkar kehidupan. Namun pertemuan dengan Farrriz Amsyar...