10 tahun yang lalu…
SEORANG gadis berbadan gempal yang berusia 15 tahun hanya menundukkan pandangannya. Jantungnya berdegup kencang. Semua orang memandangnya seperti seorang banduan yang bakal dijatuhi hukumannya tidak lama lagi.
Air matanya sudah bergenang di tubir mata. Itu semua bukan salahnya. Dia tidak terlibat dengan ini semua. Tiada kata yang dapat diucap. Fathonah hanya memandang opahnya dengan penuh harapan. Harapan supaya opah dapat membela dirinya.
"Fathonah, aku tanya ni! Kenapa kau sanggup buat macam ni?" tanya seorang lelaki dengan suara yang melengking tinggi. Semua orang terkejut. Seorang lelaki tua menghampiri ke arahnya. Bahu lelaki itu diusap perlahan untuk meredakan kemarahan.
Fathonah hanya diam sahaja. Lelaki itu merupakan sepupunya merangkap 'crush'nya. Sudah lama dia meminati sepupunya itu tetapi Fathonah hanya memendam rasa sahaja. Dia tahu wanita impian seperti Aidil itu bukanlah wanita bertubuh gempal dan hitam sepertinya. Lagipun, sejak dahulu lagi Aidil hanya melayan Fathonah acuh tidak acuh sahaja.
"Aku tanya kau ni, pekak! Jawab soalan aku! Kenapa kau buat macam ni?" tengking Aidil lagi. Terus sahaja Fathonah tersedar. Tidak tahu berapa lama dia boleh termenung mengingatkan Aidil.
"Sabar Aidil. Kita boleh bincang elok-elok. Tak payah nak tengking-tengking Fathonah macam tu. Kita tak tahu cerita sebenarnya macam mana. Jangan tuduh dia melulu," ujar Pak Long Wazir iaitu bapa kepada Aidil. Mak Long Inah hanya mengangguk setuju sahaja. Kelihatan Aidil meraup mukanya. Matanya masih lagi memandang tajam ke arah budak yang bertubuh gempal itu.
"Nak tuduh apanya. Alia yang nampak budak gemuk ni curi duit Aidil. Lagipun, Aidil nampak jam tangan Aidil yang mahal tu ada dalam almari dia. Takkanlah jam tu boleh berjalan sendiri," balas Aidil dengan penuh sarkastik.
Fathonah mengepalkan penumbuknya. Kemarahannya meluap-luap. Memang ada orang mahu menganiaya dirinya. Tak lain dan tak bukan, anak angkat kepada Pak Lang Salim iaitu Alia Mastura. Fathonah terus memandang Alia yang sedang menangis tersedu-sedan. Dia menjulingkan matanya ke atas. Itu semua air mata palsu.
Memang dari dahulu lagi, Alia Mastura sangat benci kepada Fathonah. Baginya, Fathonah merupakan parasit gemuk yang patut dibuang. Badan gempal dan kulit hitam seperti Fathonah tidak layak untuk duduk di dalam keluarga ini. Lagi-lagi, Fathonah itu merupakan cucu kesayangan opah. Lagilah bertambah api cemburu di dalam hatinya.
"Abang Aidil, Fathonah memang tak tahu macam mana jam dengan duit abang ada dalam almari Fathonah. Fathonah sumpah dengan nama Allah, Fathonah tak pernah terdetik pun nak mencuri barang-barang abang. Fathonah tak salah, bang," jawab Fathonah dengan bersungguh-sungguh. Apa lagi yang mahu dijelaskan. Dia memang tidak mencuri barang-barang sepupunya itu.
"Kau tak payah nak bersumpah bagai. Aku tak makanlah dengan sumpah kau. Bukti dah ada depan mata. Aku percaya je apa yang Alia cakap. Lagipun, aku selalu nampak kau masuk bilik aku sebab nak hantar surat cinta merepek-repek kau tu."
Semua orang yang berada di ruang tamu itu tergamam. Tangan Fathonah sudah menggeletar. Rupa-rupanya, Aidil tahu pemilik surat cinta itu. Fathonah berasa malu. Rasa seperti maruahnya dipijak-pijak sahaja.
Alia pula tersenyum sinis dalam diam. Memang seronok melihat drama secara langsung ini. Lagi-lagi watak utamanya adalah si gemuk dan berkulit hitam, Nurul Fathonah. Melihat penderitaan Fathonah merupakan satu kegembiraan buat Alia Mastura.
"Apa kamu cakap ni, Mohd Aidil Fitri? Kalau kamu tak suka dengan Fathonah ni, jangan sampai kamu nak mereka cerita-cerita merepek macam tu? Kamu tu umur dah 18 tahun. Matanglah sikit!" selar Pak Long Wazir. Fathonah hanya diam membisu sahaja.
Aidil mengepalkan penumbuknya. Dia menjeling sekilas ke arah Fathonah dengan penuh kebencian. Sejujurnya, dia pun tidak percaya Fathonah akan melakukan perbuatan mencuri itu tetapi segala bukti-bukti sudah jelas terpapar di depan mata.
Aidil terus sahaja menyeluk tangannya di poket seluarnya. Kertas kecil yang berwarna biru itu dikeluarkan. Lipatan kertas tersebut dibuka. Tangan Fathonah semakin berpeluh dek debaran dadanya semakin kuat. Rahsia terbesarnya bakal terbongkar. Dia tidak boleh untuk mengelak lagi.
Surat tersebut sudah bertukar tangan. Pak Long Wazir dan Mak Long Inah membaca tulisan yang telah dicoretkan di dalam kertas tersebut. Mak Inah sudah memicitkan kepalanya. Manakala Pak Long Wazir pula hanya mengusap janggutnya sambil menggeleng perlahan.
"Hah! Sekarang mak dengan ayah percaya, kan? Dia berani masuk bilik Aidil untuk letak surat cinta dia tu. Tak mustahil dia boleh curi barang-barang Aidil."
Pak Long Wazir hanya mengeluh perlahan. Apa yang dikatakan oleh anak bujangnya itu ada juga logiknya tetapi dia agak skeptikal apabila menuduh Fathonah adalah seorang pencuri. Fathonah bukan gadis yang berperangai buruk seperti itu.
"Ya! Memang Fathonah masuk bilik Abang Aidil sebab nak hantar surat-surat tu! Tapi, Fathonah tak tergamak la nak mencuri! Kalau Fathonah ni nak mencuri sangat, Fathonah tak adalah bodoh sangat curi barang Abang Aidil. Baik Fathonah curi emas opah ke… rantai emas ke… dari curi jam tangan tu!" Seusai Fathonah berkata itu, dia cuba membetulkan nafasnya. Sempat lagi dia beristighfar dalam hati.
"Kau dengar sini, kau nak bagi alasan banyak mana pun, aku tetap tak percaya. Sebab kau tak ada bukti yang kau tu bukan pencuri. Boleh tak lepas ni kau tengok cermin. Tengok diri kau tu. Badan kau tu dah macam badak air. Kau dahlah buruk, Fathonah! Jangan perangai pun buruk juga! Alia yang ayu ni pun tak pernah gatal masuk bilik aku," selar Aidil sambil tersenyum sinis.
Fathonah terus menekup mulutnya. Dia tidak menyangka kata-kata hinaan itu keluar dari mulut Aidil sendiri. Kesabarannya semakin memuncak. Lagi-lagi melihat Alia yang sudah tersengih-sengih kemenangan. Setitis air mata jatuh berlinang ke pipi.
"Aidil! Jaga sikit mulut kamu tu. Jangan nak kurang ajar sangat!" marah Mak Long Inah pula.
Fathonah terus sahaja berdiri. Semua mata-mata tertumpu ke arahnya. Matanya tajam menatap Aidil dan Alia silih berganti. Dia rasa sudah cukup untuk berdiam diri. Fathonah tidak akan sesekali membiarkan Aidil menghina dirinya lagi. Cukuplah!
"Kau dengar sini, Aidil. Aku menyesal suka orang macam kau! Kiffarah Allah tu wujud. Hari ni hari kau, Aidil. Suatu hari nanti, bila perangai perempuan yang kau puji-puji ni terbongkar, kau tak payah merangkak nak minta maaf kat 'badak air' ni. Aku takkan sesekali mengaku benda yang memang aku tak buat. Kau ingat kata-kata aku ni sampai mati!"
Seusai berkata begitu, Fathonah terus sahaja masuk ke dalam bilik. Tak ada apa lagi yang perlu diperkatakan. Semua orang tidak percaya bahawa dirinya bukan pencuri. Maruah dirinya pula dihina oleh Aidil. Kejadian yang berlaku tadi memang dia tidak akan lupakan. Mulai pada hari ini, tiada lagi nama Mohd Aidil Fitri yang terpahat di dalam hatinya.
YOU ARE READING
Darlingku Mr Aidil Fitri (E-BOOK | KOMPILASI CERPEN VOL 3)
Short Story#4 - DARL SERIES BY SHADHIA [KOMPILASI CERPEN RAMADAN / SYAWAL PENERBITAN AHA 2021] [VOLUME 3] NURUL FATHONAH, seorang gadis berbadan gampal yang sangat disayangi oleh opahnya. Dalam diam, dia mencintai sepupunya sendiri iaitu MOHD AIDIL FITRI. Dek...