FATHONAH semakin berdebar-debar apabila kereta memasuki ke perkarangan rumah opah. Rumah itu sudah banyak berubah kerana saiznya semakin luas. Apa agaknya reaksi opah apabila melihat dirinya nanti? Sejujurnya, Fathonah belum bersedia. Tetapi, masa tidak boleh berputar semula.
"Kita dah sampai." Puan Farida terus sahaja mematikan enjin keretanya. Tangan Fathonah semakin berpeluh-peluh. Kelihatan opah sudah menunggu di luar untuk menyambut anak dan cucunya. Pak Long Wazir dan Mak Long Inah pun ada sekali. Kalau Pak Long dan Mak Long ada, Fathonah amat pasti Aidil juga akan ada bersama mereka.
"Jom keluar," ajak Puan Farida. Tali pinggang keselamatan dibuka. Belum sempat Puan Farida mahu membuka pintu kereta, tiba-tiba Fathonah menahannya. Puan Farida berpaling sambil mengerutkan dahinya.
"Mama, kalau Fathonah tidur kat hotel je, boleh tak?" Puan Farida mengetap bibir mendengar soalan merepek dari anaknya. Satu cubitan dihadiahkan kepada Fathonah. Sudahlah dia penat berpuasa. Anaknya pula buat hal.
"Jangan nak mengada! Jom cepat!" marah Puan Farida. Fathonah hanya mengeluh sahaja. Dia membuka tali pinggang keselamatan. Pintu kereta dibuka. Masing-masing tergamam melihat Fathonah. Mak Long Inah pula memandang Fathonah dari atas sehingga ke bawah. Masing-masing tidak percaya.
"Fathonah ke ni?" tanya opah teruja. Dia pun tergamam melihat perubahan cucunya itu. Gadis yang bertubuh gempal 10 tahun yang lalu sudah kurus dan cantik seperti model. Warna kulitnya yang sawo matang menambahkan lagi kecantikan dan keayuan gadis tersebut.
Fathonah hanya tersenyum sahaja. Dia terus menghampiri opah lalu memeluknya. Rindu yang menggunung di dalam hati sudah terlerai jua. Opah juga mengusap bahu Fathonah. Seakan-akan tidak percaya dia dapat berjumpa dengan cucu kesayangannya sebelum ajal menjemput.
"Dah besar cucu opah ni. Dah makin cantik," puji opah sambil mengusap pipi Fathonah. Fathonah pula hanya tersenyum sahaja sempat lagi dia mengucapkan terima kasih. Pelukkan dileraikan. Selepas itu, Fathonah segera menghampiri Pak Long Wazir dan Mak Long Inah untuk bersalam.
"Ini bukan anak buah Pak Long ni. Kamu bawa siapa ni, Ida? Fathonah mana?" tanya Pak Long Wazir berpura-pura mencari seseorang. Opah, Puan Farida dan Mak Long Inah hanya mengekek ketawa.
Fathonah pula sudah mencemberutkan bibirnya seraya berkata, "Pak Long, ni Fathonah la. Sampai hati tahu pak long tak kenal dengan anak buah sendiri."
Pak Long Wazir tergelak kecil. Sengaja dia mahu mengusik Fathonah kerana untuk menceriakan suasana. Mak Long Inah pula hanya mengusap sahaja kepala Fathonah. Dia pun amat rindukan gadis itu kerana Fathonah banyak menolong dirinya ketika gadis itu menetap di kampung dahulu. Fathonah selalu menolong Mak Long Inah untuk membuat kuih raya dan juga lemang apabila menjelangnya puasa dan raya. Fathonah memang seorang anak yang baik.
Fathonah pula tidak menyangka bahawa sambutan dari keluarganya tidaklah seteruk apa yang dibayangkan sebelum ini. Ingatkan Pak Long Wazir dan Mak Long Inah akan membenci dirinya tetapi sangkaannya benar-benar meleset jauh sekali.
"Mana Aidil? Tak nampak pun dia. Alia pun sama," tanya Puan Farida sambil matanya melilau mencari Aidil. Fathonah mula berdebar-debat apabila mendengar sebaris nama itu. Apa yang perlu dia lakukan jika Aidil benar-benar ada di sini?
"Aidil ada kat bengkel kereta dia la tu. Bulan puasa sekarang ni banyak kereta nak kena servis. Alia tu pula… entah la dia. Dah lama tak balik kampung. Tak tahu khabar berita." jawab Mak Long Inah. Puan Farida hanya mengangguk saja.
"Dahlah. Tak payah nak cerita banyak. Kesian Ida dengan Fathonah. Mesti dia orang ni penat. Pergilah masuk rehat dulu. Hari ni satu keluarga berbuka kat rumah opah nanti."
Mak Long Inah dan Pak Long Wazir hanya mengangguk sahaja. Mereka pun meminta diri untuk pulang ke rumah. Fathonah pula semakin gelisah. Mungkin malam nanti mesti dia akan berjumpa dengan Aidil.
"Fathonah, nanti tolong bawakan beg baju mama sekali," arah Puan Farida. Fathonah hanya akur sahaja. Tanpa sedar, dia mengeluh kecil.
TINGGAL 10 minit sahaja untuk masuk waktu berbuka puasa. Segala juadah dan makanan telah pun tersedia dan disusun di atas tikar. Hari ini keluarga Fathonah akan makan di lantai. Melihat juadah-juadah kampung seperti masak lemak daging salai, sayur campur, ayam percik dam sedikit ulam-ulaman membuatkan perut Fathonah semakin berkeroncong. Tidak sabar dia mahu menjamu selera.
"Mana Aidil ni, Wazir? Kamu dah cakap kat dia ke kita nak berbuka puasa sama-sama hari ni?" tanya opah. Kalau ada seorang ahli keluarganya tidak cukup, opah rasa tidak seronok pula. Pak Long Wazir terus menjongketkan bahunya seraya berkata, "Tadi along dah bagitahu. Dia kata kejap lagi sampai la."
Tidak lama kemudian, ada seseorang memberi salam. Tanpa berfikir panjang, Fathonah terus sahaja menghampiri pintu. Kebetulan Fathonah duduk berhampiran dengan pintu masuk. Dia hanya menolong opah sahaja. Debaran di hati semakin memuncak.
Tombol pintu dipulas. Fathonah sungguh terkedu melihat gerangan tersebut. Ternyata Aidil yang memberi salam tadi. Kakinya seakan-akan terpaku. Aidil pula sudah tergamam. Pandangan mata mereka kini bersatu. Mulut masing-masing terkunci. Aidil melihat Fathonah dari atas sehingga ke bawah dengan riak tidak percaya.
"Lah… tercegat apa lagi tu. Nak dekat azan Maghrib dah," tegur Puan Farida
Tersentak Fathonah dan Aidil. Fathonah semakin gelisah. Seolah-olah peristiwa 10 tahun yang lalu terngiang-ngiang di benaknya. Kata-kata hinaan dari Aidil pada 10 tahun yang lepas berlegar-legar di fikirannya.
"Fathonah…" panggil Aidil perlahan. Tidak sangka Fathonah boleh berubah seperti ini. Melihat penampilan Fathonah yang semakin cantik membuatkan dia hampir tidak dapat mengecam. Fathonah hanya membiarkan sahaja. Dia tidak mahu dekat dengan lelaki itu. Nanti boleh makan hati. Akhirnya, Fathonah terus sahaja pergi ke dapur tanpa mengajak Aidil masuk ke dalam rumah.
Aidil pula mengeluh perlahan. Nampaknya, Fathonah masih lagi tidak memaafkan kesalahan dirinya. Melihat reaksi Fathonah tadi, Aidil yakin Fathonah masih lagi marah dek peristiwa kecurian itu. Tiada siapa yang akan dipersalahkan selain diri sendiri yang begitu bodoh untuk membezakan kaca dan permata.
FATHONAH terus sahaja memakai telekung dan bersiap-siap untuk pergi Solat Terawih di masjid. Air wuduk sudah siap diambil. Jadi, tidaklah susah untuk mengambil air wuduk lagi di masjid nanti. Dia segera menutup pintu rumah lalu menguncinya. Matanya melilau mencari kelibat opah dan mamanya. Tetapi mereka berdua sudah tidak ada di perkarangan rumah.
"Takkan mama dengan opah dah pergi kut?" rungut Fathonah perlahan. Fathonah segera memakai seliparnya. Nampaknya, dia berjalan kaki seorang diri pada malam ini. Nasib baiklah dia masih ingat jalan untuk menuju ke masjid. Semasa Fathonah mengatur langkahnya, tiba-tiba ada seseorang menegur.
"Lajunya jalan. Penat tahu abang nak kejar."
Langkah Fathonah terhenti. Dia amat kenal dengan suara itu. Terus sahaja hatinya berdegup kencang. Perlahan-lahan Fathonah berpaling ke belakang. Kelihatan Aidil sedang tersenyum manis ke arahnya. Lelaki itu yang lengkap memakai baju melayu dan pelikat membuatkan penampilan Aidil semakin tampan. Fathonah terleka seketika melihat pemandangan yang indah ini tetapi dia segera menyedarkan dirinya. Pada masa yang sama, Fathonah pelik juga kenapa Aidil masih ada di sini.
"Opah suruh abang teman Fathonah sebab opah cakap Fathonah lambat siap tadi," kata Aidil dengan lembut. Fathonah semakin berdebar. Dia tidak tahu mahu memberikan reaksi apa. Tanpa sebarang kata, dia terus mengatur langkah meninggalkan Aidil jauh ke belakang. Aidil pula hanya membiarkan sahaja. Tersengih-sengih sahaja melihat Fathonah seperti malu apabila berhadapan dirinya. Nampak comel pula gadis itu.
YOU ARE READING
Darlingku Mr Aidil Fitri (E-BOOK | KOMPILASI CERPEN VOL 3)
Short Story#4 - DARL SERIES BY SHADHIA [KOMPILASI CERPEN RAMADAN / SYAWAL PENERBITAN AHA 2021] [VOLUME 3] NURUL FATHONAH, seorang gadis berbadan gampal yang sangat disayangi oleh opahnya. Dalam diam, dia mencintai sepupunya sendiri iaitu MOHD AIDIL FITRI. Dek...