"BISMILLAHIRAMANIRAHIM. Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong, setelah
diperkenankan oleh duli-duli yang Maha Mulia raja-raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Jumaat…"Fathonah mengeluh kecil. Lusa semua umat Islam akan mula menunaikan ibadah puasa. Puan Farida iaitu ibu kepada Fathonah telah membuat keputusan untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal di kampung bersama opah. Fathonah agak teruja kerana dapat berjumpa dengan opah kesayangan setelah 10 tahun tidak pulang ke kampung. Tetapi, apabila mengenangkan peristiwa yang memeritkan 10 tahun yang lalu membuatkan Fathonah berbelah bahagi.
Selama beberapa tahun ini, Fathonah hanya membuat panggilan video bersama opah untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu. Opah tidak pernah menyebut nama Aidil atau nama Alia semasa mereka membuat panggilan. Mungkin opah mahu menjaga hatinya.
Fathonah terus sahaja mengambil alat kawalan jauh lalu butang merah ditekan. Televisyen dimatikan. Tiada rancangan yang menarik untuk ditonton. Lagipun, dia tiada mood. Fathonah terus sahaja masuk ke dalam bilik tidurnya. Telefon pintar diletakkan di atas meja solek. Pantulan dirinya di cermin besar itu dipandang.
Banyak perubahan yang berlaku selama lebih 10 tahun ini. Lagi-lagi perubahan berat badannya yang sudah turun mendadak disebabkan mengamalkan diet yang sihat dan melakukan senaman yang konsisten selama lima tahun ini.
"Khusyuk betul telek badan tu. Anak mama dah cantik," usik Puan Farida sambil menghampiri anak tunggalnya. Fathonah hanya tergelak kecil. Puan Farida terus masuk ke dalam bilik. Mereka sama-sama duduk di atas katil.
"Mama, Fathonah nak tanya sesuatu. Boleh tak?" tanya Fathonah. Puan Farida hanya mengangguk sahaja. Kepala anaknya diusap dengan penuh kasih sayang.
"Kalau Fathonah tak nak balik kampung, boleh tak? Fathonah… tak sedia lagi la balik ke kampung. Mama tahu kan apa jadi 10 tahun yang lepas? Fathonah tak bersedia nak jumpa ahli keluarga kat kampung. Mesti keluarga kat sana tuduh Fathonah yang bukan-bukan." Fathonah berkata perlahan. Puan Farida hanya mengeluh kecil. Nampaknya, Fathonah masih lagi tidak boleh lupakan peristiwa itu.
"Mama minta maaf. Mama sepatutnya ada dengan Fathonah masa tu. Tapi mama tak ada sebab mama sibuk dengan kerja." Seusai berkata begitu, Puan Farida mengeluh kecil. Sejak kematian suaminya, Puan Farida terpaksa mengambil keputusan untuk menghantar anaknya ke kampung. Hanya dua kali seminggu sahaja dia dapat berjumpa dengan Fathonah ketika berada di kampung.
Setelah Fathonah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Fathonah mengambil keputusan untuk belajar di Kolej Tunku Kurshiah yang terletak di Seremban.
"Mama tak salah apa-apa la. Mama kan masa tu kerja," jawab Fathonah sambil melabuhkan kepalanya di peha Puan Farida.
"Mama tahu Fathonah tak sedia lagi nak balik ke kampung. Tapi mama harap sangat Fathonah ikut cakap mama kali ni saja. Opah sangat rindukan Fathonah. Tak kesian ke tengok opah? Opah nak sangat jumpa Fathonah depan mata dia," pujuk Puan Farida. Ini bukan satu penipuan. Memang benar opah sangat rindukan cucunya. Setiap kali Puan Farida membuat panggilan untuk bertanya khabar, mesti nama Fathonah akan disebut dahulu.
Fathonah hanya mengangguk sahaja. Suka atau tidak, Fathonah terpaksa menghadapi situasi paling buruk iaitu bertemu kembali dengan orang yang pernah menghinanya dahulu, iaitu Aidil Fitri. Fathonah yakin dia akan menyambut bulan Ramadan dan Syawal dengan penuh rasa janggal pada tahun ini.
OPAH terus sahaja meletakkan telefon bimbitnya. Hari ini dia berasa gembira kerana cucu kesayangan akan pulang ke kampung tidak lama lagi. Opah berasa begitu teruja. Tiba-tiba ada seseorang yang memberikan salam. Terus sahaja opah mengambil tongkat lalu berjalan perlahan sehingga ke pintu.
Kelihatan Aidil sedang memegang sebuah bungkusan plastik berwarna merah. Opah hanya tersenyum sahaja. Setiap hari Aidil akan menghantar masakan untuk tengahari. Melihat pemakaian Aidil yang sedikit kotor, opah dapat mengagak Aidil baru pulang dari kedai bengkel keretanya.
"Nah, opah. Aidil ada bawakan kari kepala ikan, sayur campur dan nasi putih untuk tengahari ni. Opah tak payah susah-susah masak. Kita makan sama-sama nanti." Bungkusan plastik merah itu sudah bertukar tangan.
"Rajinnya cucu opah ni," puji opah lalu mengajak Aidil untuk pergi ke dapur. Semasa di dapur pula, opah menyanyi kecil. Aidil sudah berkerut dahi. Hari ini kelakuan opah sangatlah pelik. Seperti ada sesuatu perkara yang gembira sahaja.
"Opah pelik la hari ni. Macam ada sesuatu je. Tak nak cerita kat Aidil ke?" tanya Aidil sambil menyusun beberapa pinggan di atas meja makan.
Opah hanya tersenyum sahaja. Bungkusan lauk kari tersebut dibuka lalu dituang ke dalam mangkuk dengan penuh berhati-hati. Aidil pula hanya menunggu jawapan dengan penuh debar.
"Pasal Fathonah," jawab opah ringkas. Aidil pula sudah terkedu. Tiba-tiba, jantungnya berdegup laju. Sudah lama dia tidak mendengar khabar gadis itu sejak peristiwa itu yang membuatkan Aidil menyesal seumur hidup. Opah pula tersenyum sendiri melihat reaksi cucunya itu.
"Ke… kenapa dengan dia?" tanya Aidil sedikit gagap. Opah hanya tersenyum sahaja. Pinggan diambil lalu dua senduk nasi diletakkan di atas pinggan. Pinggan tersebut dihulurkan kepada Aidil.
"Fathonah nak balik kampung lusa ni. Maksu Farida pun ada sekali. Dia orang sambut puasa kat sini. Raya pun sama," ujar opah teruja.
"Oh..." Hanya itu sahaja perkataan yang terkeluar dari bibir Aidil. Dia tidak tahu mahu memberikan reaksi yang bagaimana. Berita yang opah bawakan tadi sangat memeranjatkan. Dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan Fathonah. Aidil pasti Fathonah masih lagi marah disebabkan peristiwa tersebut.
"Mesti Fathonah tak tahu kan yang Aidil dah tahu dalang sebenar kes curi tu." Aidil berkata perlahan. Keluhan berat dilepaskan. Dia sungguh menyesal. Menyesal kerana menuduh Fathonah sebagai pencuri. Menyesal kerana melemparkan kata-kata hinaan terhadap gadis itu di hadapan ahli keluarga. Dia sungguh bodoh. Menyesal pun sudah tidak ada guna. Hal itu pun sudah lama berlalu.
Opah hanya tersenyum sahaja. Dia tahu Aidil benar-benar insaf dan kesal dengan perbuatannya. Opah memberhentikan suapannya seraya berkata, "Tak payah nak fikirkan sangat la, Aidil. Benda pun dah lepas. Nanti minta maaf kat dia. Opah kenal Fathonah tu. Dia jenis pemaaf. Cepat atau lambat mesti Fathonah akan maafkan kamu."
Aidil hanya tersenyum kelat. Dia akui dirinya terlalu bodoh kerana mempercayai Alia Mastura. Kalau kawan baik Alia Mastura tidak memberitahu perkara itu, mungkin dia akan membenci Fathonah sehinggalah sekarang. Sepatutnya dia perlu menyiasat terlebih dahulu.
"Tapi satu saja opah minta. Kalau boleh kamu dengan Fathonah berdamailah. Lagi-lagi bulan puasa, tak baik bergaduh-gaduh begini. Kurang pahala puasa." Aidil hanya mengangguk sahaja. Dia pun tidak dapat mengagak apa akan jadi selepas ini. Mungkin bulan Ramadan pada tahun ini akan rasa sedikit janggal.
YOU ARE READING
Darlingku Mr Aidil Fitri (E-BOOK | KOMPILASI CERPEN VOL 3)
Short Story#4 - DARL SERIES BY SHADHIA [KOMPILASI CERPEN RAMADAN / SYAWAL PENERBITAN AHA 2021] [VOLUME 3] NURUL FATHONAH, seorang gadis berbadan gampal yang sangat disayangi oleh opahnya. Dalam diam, dia mencintai sepupunya sendiri iaitu MOHD AIDIL FITRI. Dek...