Di pagi hari atau lebih jelas lagi di gelap hari, kumpulan manusia di kota itu melenakan diri bertemankan kedinginan. Langit sudahpun kehilangan bulan. Tiada sinar melainkan unggun api yang terus menyala di tengah singgahsana. Pada waktu itu, Sufi berseorangan berteman kegelapan di luar istana mengasah pedang peraknya menggunakan seketul batu berwarna merah gelap.
"Saudara." kejut Enra.
"Mmm... Kau tidak tidur?"
"Belum lagi. Aku selalu berjaga jika gelap menguasai alam ini sepenuhnya." Enra bergerak duduk di samping Sufi.
Sufi menghulur pedang itu ke hadapan cuba memperhatikan sejauh mana ketajaman pedang itu berubah.
"Bagaimana saudara mampu melihat di dalam kegelapan ini?"
Sufi meletakkan semula pedangnya.
"Bagaimana saudara mampu melihat di dalam kegelapan ini?" Sufi menyoal semula bersama suatu senyuman.
"Maksud?" Enra mengerutkan dahinya.
"Saudara pernah mendengar tentang Dwisia?" Sufi terus menyoal.
Enra menggelengg kecil menafikan soalan itu.
"Asal usul saudara?"
"Aku lahir setelah Peristiwa Matahari Yang Hilang. Ayah aku Geiji seorang ketua kumpulan manusia yang menghuni Kapal Jie, Kapal gergasi yang berlabuh di tengah Laut Kuning. Sewaktu aku berumur 25 tahun, kapal itu musnah kerana seekor raksasa yang berbentuk seakan seekor naga berwarna hitam. Aku berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kapal kecil bersama dengan Yonira, adik aku. Kami berdua tiba di Tanah Tepian Alam ini dua tahun yang lalu. Setelah lama mengembara, akhirnya kami bertemu dengan Nenek Kia. Wanita itu yang membawa kami ke kota ini." terang Enra.
"Ayah kau?"
"Ayah..."
"Raksasa itu kan? Geiji yang berubah menjadi raksasa naga itu, kan?" Sufi mengeluarkan botol kecil yang berada pada poket bahagian dalam bajunya.
"Bagaimana..."
"Ayah kau adalah Dwisia iaitu manusia separuh raksasa. Akal dan jiwanya masih bergelar manusia namun pergerakannya, deria, penglihatan, dan kemungkinan sebahagian tubuhnya berubah menjadi seekor raksasa." jawab Sufi.
"Maksud saudara?"
"Dwisia bermula setelah peristiwa Matahari Yang Hilang dikala manusia di alam ini berperang menentang raksasa yang bermutasi. Namun usaha mereka itu berubah sia-sia kerana raksasa-raksasa yang bermutasi ini sukar untuk dibunuh dengan kebolehan manusia biasa. Suatu hari, seorang pengkaji daripada Tanah Di Tengah Alam berjaya merungkai cara untuk membunuh makhluk-makhluk durjana ini. Pengkaji itu mengatakan, jika seorang manusia menelan jantung seekor raksasa yang mempunyai kuasa luar biasa, manusia itu akan mewarisi kebolehannya. Berita itu tersebar luas ke seluruh alam lalu mereka pun mencari raksasa-raksasa yang berkebolehan luar biasa dan menelan jantungnya. Disitulah bermulanya Dwisia, manusia yang memiliki kebolehan raksasa seperti ayah kau." terang Sufi.
"Setelah itu?"
"Seperti cerita fantasi... perang kembali dijulang." Sufi membentangkan kedua tangannya.
"Jika manusia menang, kita tidak akan sengsara seperti sekarang." Enra mengerutkan dahinya.
"Kerana manusia juga terlalu tamak. Tidak cukup dengan satu jantung, mereka ingin lebih daripada itu. Manusia mana yang tidak menginginkan suatu kuasa. Pengkaji itu sudah pesan, hanya seekor raksasa, tidak lebih daripada itu. Manusia-manusia yang tamak ini memakan lebih daripada satu. Akhirnya, tubuh manusia mereka tidak mampu menampung racun yang ada dalam jantung raksasa itu lalu mereka pun berubah menjadi raksasa. Manusia jugalah yang menghancurkan bangsa mereka sendiri." Sufi melepaskan suatu keluhan.
YOU ARE READING
Matahari Yang Hilang
FantasySehari dalam kegelapan, seminggu dalam kegelapan, bertahun dalam kegelapan dan akhirnya kegelapan itu tidak berpenghujung. Itulah yang berlaku kepada alam usai suatu sinar putih memancar dengan terangnya ke seluruh tempat. Alam kehilangan matahari...