Bab 2

1 0 0
                                    

            Kota Avandalle. Dahulunya kota itu megah dengan bangunannya yang mencakar langit. Setelah berlakunya peristiwa Matahari Yang Hilang, kota itu hanya meninggalkan nama bersama runtuhan bangunan-bangunan yang usang bahkan pokok berwarna hitam mula menjalar pada setiap runtuhan. Istana yang megah ditengah kota kini berubah menjadi batu-batu yang tersusun tidak berseni. Hanya ruangan singgahsana raja sahaja yang mampu diduduki.

"Bangunan ini... bekas istana raja?" Maria meliarkan matanya melihat istana yang tidak berupa itu.

"Mmm... Hanya ruangan singgahsana raja ini sahaja yang mampu diduduki." Garo membenarkan persoalan Maria.

"Duduklah... aku menyiram terlebih dahulu darah serigala ini ke bunga biru itu." Garo mengarahkan jari telunjuknya ke arah bunga biru yang disemai di atas sebuah kotak yang tersusun memanjang di bahagian penjuru singgahsana.

Sufi duduk menyandar pada dinding singgahsana raja itu. Maria dan Jane bergerak mengikuti tingkahnya duduk bersebelahan dengan pemuda itu. Di tengah singgahsana itu terdapat ungun api yang besar menghangatkan dan menerangi ruangan itu.

"Sufi, apa maksud kau isteri?" Maria meluahkan persoalannya atas ucapan Sufi menipu Ravya.

"Manusia... mereka akan meminggirkan insan-insan yang mereka tidak perlu. Aku menjadikan kau dan Jane sebagai keperluan."

Maria mengerutkan dahinya atas penjelasan yang berbaur persoalan itu.

"Maria, bukan semua kumpulan manusia ingin menyelamatkan orang lain pada zaman kegelapan ini. Ada kumpulan yang hanya memerlukan manusia yang berguna. Sebab itu Sufi menipu yang kita berdua adalah keluarganya. Jika mereka memerlukan Sufi, mereka juga memerlukan kita."

"Jika mereka memerlukan Sufi, mereka juga perlu membawa kita?" Maria memandang wajah Sufi bersama riak wajah yang menginginkan kepastian.

Sufi mengangguk kecil bersama suatu senyuman.

"Sufi..." Garo menunjukkan bunga biru yang berada ditangannya. Kelima kelopak bunga itu besar seakan besarnya sebuah pinggan. Di bahagian tengah kelima kelopak bunga itu, terdapat satu saluran panjang muncung kebawah berwarna biru gelap. Saluran itu mengeluarkan air bersih yang deras mengalir keluar pada hujung muncungnya.

"Aracay." Sufi bergerak mendekati Garo. Dia menadahkan tangannya lalu meminum air bersih yang keluar daripada bunga tersebut.

Maria dan Jane bergerak mengikuti tingkahnya. Setelah hilang dahaga yang menghiasi tubuh Sufi, Maria menggantikan tempatnya menadahkan tangan untuk meminum air bersih tersebut.

"Tolong." Garo menyerahkan Bunga Aracay kepada Jane. Dia bergerak semula menyiram empat lagi bunga yang tersisa menggunakan darah hitam yang mengalir daripada kepala serigala itu. Ternyata, keempat bunga itu juga mula mengalirkan air bersih seperti yang ada pada Maria.

"Air..." Ravya muncul daripada salah satu bilik di singgahsana itu bergerak mendekati kedudukan mereka. Pergerakannya itu diikuti oleh seorang pemuda dan seorang gadis.

Pemuda itu berwajah sayu, berkulit putih, berambut keriting berwarna hitam dan bertubuh kurus. Gadis itu pula berwajah cantik berkulit putih, berhidung mancung, berambut ikal berwarna hitam paras bahu dan bertubuh kecil. Mereka bergerak mengikuti tingkah Ravya yang mula meminum air bersih yang dihasilkan oleh keempat Bunga Aracay tersebut.

"Garo, letakkan darah hitam yang tersisa itu di dalam sebuah botol, balang ataupun bekas yang kedap udara. Jika darah hitam itu kering, ia tidak akan mampu digunakan lagi." Sufi bergerak duduk menyandar semula pada salah satu dinding di singgahsana itu. Membiarkan insan-insan itu menikmati air bersih yang sangat diperlukan untuk menghilangkan dahaga itu.

Matahari Yang HilangWhere stories live. Discover now