BAB 2

30 6 0
                                    

AURA apa yang keluar daripada tubuh gadis itu? Sejak tadi wajahnya muram seperti baru tercekik gumpalan roti Gardenia. Kepalanya dipaling kiri dan kanan. Badan yang berlabuh di atas kerusi, bergerak depan dan belakang. Seperti berenjut di atas buaian.

"Tengok apa tu, nak?" tegur si ibu yang baru pulang membawa makanan. Mulut dihala kepada gadis yang sudah bangun lantas menghentakkan kaki.

Melihat gerangan yang dimaksudkan, si ibu terus menutup mata anaknya.

"Pandang tempat lain! Yang ni, jangan sesekali kamu pandang," tingkah si ibu kerisauan.

Si anak kurang mengerti. Ibunya cuak semacam. "Kenapa tak boleh pandang?"

"Ibu garang tak?" tanya si ibu. Si anak angguk tanpa ragu-ragu. Memang si ibu ini garang sehinggakan dia tidak berani keluar dari rumah. Hendak mencari kawan pun, ibunya tidak memberi izin kerana usia yang dianggap mentah.

"Budak perempuan tu, lagi garang!"

━━━━━━━━━━━━━━━

MINA mendongak apabila mendengar cicipan burung yang bersarang di atas pokok. Dia cuba untuk menghadam setiap maksud bibit cicipan itu, namun dia tidak mengerti. Dia manusia, bukannya burung!

Akan tetapi ada seorang manusia ini, Mina menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Alih-alih janji entah ke mana, Mina pula tercongok di laman fakulti. Bayang Jae tidak muncul-muncul, membuatkan Mina melihat detik jam di tangan.

"Mana Jae?" soal Dahyun yang turut menunggu sama.

"Kalau lagi seminit dia tak datang..." Ayat Mina tergantung saat melihat gerak-geri susuk tubuh yang menghampiri mereka. Jalannya agak terkepit macam ketam. Cuma ketam 'seekor' ini jalannya lurus.

Mulut dua orang gadis itu sedikit ternganga.

Melihat cermin mata yang masih belum disangkutkan di telinga Jae, membuatkan mereka berdua tidak mengelipkan mata.

"Handsome pula kalau kau tak pakai glasses," ujar Dahyun sedikit terpegun. Jae mengangguk sambil mengetap bibir. Kemudian, mulutnya meniup kanta. Barangkali ada habuk di situ.

"Baru sedar ke, nyah?" balas Jae lalu menyangkutkan cermin mata di atas tulang telinga. Matanya yang sepet, dibuka luas untuk melihat Mina dan Dahyun di hadapan.

Dua orang gadis itu sudah mengecilkan mata apabila perkataan 'nyah' keluar daripada mulut Jae.

Elok sahaja tadi berbekalkan wajah yang kacak, kini Jae sudah kembali menjadi lemah gemalai mengalahkan pelajar kelab tarian.

Tanpa membuang masa, Mina menghulurkan kertas tugasan yang sudah disiapkan untuk Jae. Dia tidak pasti sama ada jawapan yang ditulis semuanya betul atau tidak. Janji dia dapat siapkan untuk lelaki yang mengakui diri sebagai lembab itu.

"Dah, jom. Kita pergi pejabat prof. Selagi prof tak nampak muka kau, selagi tu dia rasa satu kelas tak hantar tugasan, kau tahu?" Mina tidak risau dengan tulisan yang tertera di situ. Tulisannya dengan Jae tidak jauh beza. Tahulah Mina hendak ubah mengaburi mata pensyarah macam mana. "Untunglah ada orang buatkan assignment Calculus untuk kau, Jae..." Dahyun mencebik sambil mengatur langkah di sebelah Mina. Sepatutnya Mina bantu dia yang tidak seberapa pandai ini, bukannya Jae yang sederhana cerdik itu!

"Eh, kau ni Dahyun. Aku bukannya tak nak buatkan." Mina toleh ke belakang lantaran sedar, kurangnya satu bayang di sebelah.

Jae masih tercegat tidak berganjak. Mulutnya menggigit penutup pen. Tangannya pula menulis sesuatu pada kertas tugasan.

Cold Summer : Unconditional Love | Karya Ruby.N Where stories live. Discover now