Amar Ma'ruf Nahi Munkar

650 46 1
                                    

Aku keluar dari rumahku dengan lafaz doa di bibir,

"Bismillahi tawakkaltu 'alallah, la haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim."

Lantas, langkah kuorak perlahan menuju ke rumah Allah yang terletak kira-kira 100 meter di hadapan. Laungan azan dari Masjid An-Nur itu, membuatkan derapan kaki ini bertambah laju. Aku menanggalkan kasutku setelah tiba di rumah Allah itu, lantas songkok kuletak di atas para yang tersedia. Kepala paip aku pulas perlahan supaya air yang keluar dalam kuantiti yang seminima mungkin bagi mengelakkan pembaziran, dan itulah sunnah ketika berwudhu'. Saat air jernih itu kusapu ke seluruh muka, aku mentajdid (meletakkan/membetulkan) niat di hati, dan aku rasa lebih segar. Hati ini aku sandarkan pada Allah, moga-moga wudhu' ini sempurna agar ibadah solat yang bakal ditunaikan juga sempurna. Aku berharap dosa-dosaku terhapus seiring titisan air yang jatuh dari setiap celahan anggota-anggota wudhu' ini.

"Asyhadu alla ilaha illallah wahdahu la syarikalah, wa asyhadu anna muhammadan 'abduhu warasuluh. Allahummaj'alni minnattawwabin, waj'alni minal mutathohhirin, waj'alni min 'ibadikassolihin."

Usai membaca doa selepas mengambil wudhu', aku meraup wajahku lalu memberi salam dan melangkah masuk ke dalam masjid yang indah dan penuh barakah itu. Kelihatan lelaki yang lebih kurang sebaya dengan arwah ayah, tersenyum memandangku. Aku membalas senyuman dan berjabat tangan dengan mereka. Kemudian, kami bersama-sama dalam saf jemaah di barisan paling hapadan di belakang imam. Aku mula mengabdikan dan mengkhusyukkan diri dalam solat Asar saat Pak Cik Fahmi, rakan arwah ayah yang paling rapat, mengangkat takbir.

"Allahu akbar!"

Aku mengaminkan bacaan doa yang dibaca. Orang yang tidaklah seramai mana pada petang itu mula bersurai setelah meraup wajah masing-masing. Aku turut mengangkat punggung, lantas menarik beberapa not RM 5 dari kocek seluar lalu memasukkannya ke dalam tabung masjid di tepi rak yang menempatkan puluhan naskhah al-Quranul Kareem. Sedekah. Kerana Allah suka orang yang memberi daripada menerima. Dan Allah memanjangkan usia orang yang suka bersedekah. Kata-kata arwah ayah masih segar dalam ingatan,

"Bersedekahlah, sebab banyak mana kita sedekah, banyak itulah yang kita akan dapat kat akhirat nanti. Selain menghakis sifat bakhil, Allah akan panjangkan umur kita, In shaa Allah. Baik kita penuhkan hak-hak ukhrawi dulu, daripada isi hak duniawi yang tak kekal lama. Jadi, daripada kita beli benda-benda yang tak penting, baik kita bersedekah."

Lamunanku terhapus apabila ada tangan yang menepuk bahuku. Lantas aku menarik senyuman memandang raut wajah tua dan mencium tangannya.

"Assalamualaikum, ya 'ammu (pak cik). Kaifa haluka (apa khabar) ?", soalku.

"Waalaikummussalam, ya syabab (anak muda/pemuda). Alhamdulillah, ana bilkhair (saya dalam keadaan baik). Wa anta(dan kamu pula) ?" soalan berbalas soalan.

"Alhamdulillah, ana aidhon (saya juga)." Senyuman masih tersungging.

"Bagus kamu ni, Firdaus. Susah nak cari syabab datang masjid ni. Tunggu Solat Jumaat baru penuh. Kamu ajaklah kawan-kawan kamu, penuhkan masjid ni. Ingat, amar ma'ruf nahi munkar," ujarnya. Dahiku berkerut.

"Amar ma'ruf nahi munkar?". Aku mengerti namun kurang pasti dengan apa yang cuba disampaikannya.

"Amar ma'ruf nahi munkar, maksudnya menyeru kebaikan mencegah kemungkaran. Berpegang pada 4 kalimah ini, sememangnya tugas seorang khalifah dalam memakmurkan dunia Allah. Saling mengingatkan serta mengajak orang lain melalukan kebaikan dan amal soleh serta cegah atau halang setiap perbuatan maksiat. Kehidupan seorang muslim sejati sentiasa mendekatkan serta mengabdikan diri pada Allah, mematuhi dan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya," ujar Pak Cik Fahmi panjang lebar. Kening yang bercantum tidak mengerti tadi, berpisah semula dan aku mengangguk faham.

Amar Ma'ruf Nahi MunkarWhere stories live. Discover now