IMAH menggeletar memandang tangannya sendiri. Ia penuh dengan darah pekat yang berbau hanyir. Perlahan dia menoleh ke belakang. Kelihatan Feesa sedang menangis ketakutan dan anak jirannya yang berusia 13 tahun kejap memegang lengan Feesa. Tangan Imah kesatkan ke selimut yang bergumpal atas katil. Dia mahu membersihkan kotoran merah itu supaya kedua kanak-kanak yang berada di situ, tidak ketakutan lagi.
"Feesa..." seru Imah. Mendepakan tangannya dan memandang si adik.
"Kak Imahhhhh..." Meraung Feesa memanggil. Serta-merta juga dia meluru ke dakapan si kakak.
"Syyyy.... Jangan nangis. Jangan nangis... Feesa, pandang Kak Imah..." Dakapan dileraikan dan wajah Feesa ditarik supaya memandang ke arahnya.
Mata Feesa masih mengalirkan air. Wajah kakak kesayangannya itu melemparkan senyuman paling manis.
"Feesa dan Raffi bawak Anieysa ke kedai ya... Belilah apa-apa yang Feesa nak. Kalau orang tanya pasal kakak. Cakap kakak tak ada dekat rumah. Jangan cerita apa-apa pun dekat siapa-siapa pasal 'perkara' ni. Kalau ada orang tanya, kata Feesa tak tahu apa-apa. Feesa tak pernah nampak. Raffi...." Imah menggamit Sharaffi yang nampak tenang.
Teragak-agak remaja lelaki yang dipanggil Raffi menghampiri.
"Raffi sayang Feesa?" tanya Imah.
Terangguk-angguk Raffi menjawab.
"Raffi bawak Feesa dan Anieysa ke kedai ya... Raffi jaga mereka. Kak Imah harapkan Raffi sekarang. Ingat apa yang Kak Imah pesan dekat Feesa tadi. Raffi pun kena buat macam yang Kak Imah pesan. Dah... Pergi..."
Tubuh Feesa ditolak perlahan Imah.
"Kak Imah..." Mengogoi Feesa memanggil lagi Kak Imahnya. Dia yang masih menggigil, tidak mahu berganjak meninggalkan kakak kesayangannya itu. Dia mahu terus berada di sisi Kak Imah.
"Raffi!" Imah menjerit sedikit dengan isyarat supaya Raffi membawa Feesa keluar dari bilik yang semakin berbau hanyir.
"Feesa, mari!" Dengan kekuatan seorang anak lelaki, Raffi menarik Feesa.
Imah menarik nafas lega bila kelibat keduanya jauh dari situ. Perlahan dia berkalih pandang ke arah takungan darah yang nampaknya sudah mulai membeku. Mata kemudian beralih ke tubuh yang dari tadi tidak bergerak.
Tapi....
"Arrgghhh!"
Suara itu perlahan berbunyi. Imah sudah sedikit gelabah. Dia masih hidup?
SESEKALI Feesa tertoleh-toleh ke belakang. Dia terasa diekori. Sebenarnya bukan kali ini saja malahan banyak kali. Dan Feesa sengaja tidak menghiraukannya.
Namun kali ini agak berlainan. Feesa bagaikan terasa-rasa disentuh dari belakang oleh orang yang mengekorinya. Bila ditoleh, tiada sesiapa. Atau sebenarnya setiap kali itu adalah khayalannya semata? Khayalan kerana sikap berhati-hatinya sejak dari dulu. Mungkin!
‘Meow…’
Seekor anak kucing berwarna putih tiba-tiba saja muncul. Berlari-lari anak mengejar Feesa dan kini anak kucing itu sudah betul-betul di sebelah kakinya. Seakan mahu menumpang kaki Feesa untuk berjalan. Dan langkah yang laju tadi terpaksa diperlahankan. Tidak mahu dengan sikap tergesanya, anak kucing yang tidak bersalah menjadi mangsa pijakan.
“Syuhh…” Feesa sedikit menghalau. Terpaksa kerana dia mahu cepat. Hari ini dia agak lewat keluar dari pejabat Feesa Art & Studio.
Namun anak kucing yang agak kurus itu tidak berganjak. Malahan makin galak mengekori Feesa.
“Lapar ya?” Sambil melangkah, Feesa bercakap dengan makhluk berbulu yang masih berbunyi.
“Tunggu sampai ke kereta ya. Dalam tu ada makanan sikit.” Seperti berbicara dengan rakan. Feesa mulai selesa dengan si bulus.
“Jom kita balik. Nanti boleh jumpa Zoyzie si kakak kawasan.”
Sebaik saja sampai di kereta, tanpa teragak-agak Feesa mengambil si bulus dan meletakkannya di atas kerusi penumpang. Kusyen telah dialaskan dengan sapu tangan dan Feesa mengeluarkan balang kecil berisi makanan kucing dari laci kereta. Makanan kucing diletakkan sedikit di atas sapu tangan.
“Makan pelan-pelan ya…” Feesa mengusap mesra si bulus yang kurus dan makannya agak gelojoh.
Enjin dihidupkan setelah memastikan anak kucing agak selesa. Sebaik saja pintu kereta mahu ditutup, ada satu bauan yang mendebarkan hatinya. Bauan itu sudah lama tidak dihidunya. Jika dulu, itulah bauan yang membuatkan Feesa sentiasa ketakutan dan kini ia kembali!
“Dia?”
Dalam keadaan tangan yang menggigil, cepat-cepat Feesa menarik dan menutup pintu kereta dan dikuncinya. Kedua tangannya kejap memegang stereng. Mata pula memandang cermin pandang belakang. Memerhati jika ‘dia’ ada di belakang. Namun tiada sedikit pun kelibat ‘dia’ yang Feesa nampak. Sesaat kemudian, laju Feesa menekan pedal minyak dan memecutkan kereta.
“Dia ke?”
Walau sudah terasa selamat, Feesa tidak dapat lari dari terus memikirkan tentang ‘dia’.
CERUT yang sudah pendek dicampakkan ke bawah dan dilenyekkan dengan kaki. Dan ada suara mendengus kasar dari dalam tekak yang keluar. Orang yang diintai sudah berlalu pergi. Mungkin itulah penyebab dengusan itu terjadi.
Lambat-lambat dia keluar dari tempatnya menyorok dan memandang sepi lorong yang telah meninggalkan asap kereta. Sekali lagi dia mendengus dan menyimpan sesuatu yang dipegangnya ke dalam beg silang sebelum melangkah pergi.
![](https://img.wattpad.com/cover/290046889-288-k641103.jpg)
YOU ARE READING
Selama Mana Mampu Bertahan
RomancePenulis : Ruby Nur Airis Harga : RM30(SM)/RM33(SS) ISBN : 978-967-17560-0-3 'Kembalikan cahaya dalam hatiku. Kamukah itu yang menjadi penyuluh?' ~ Narfeesa Hidup Isma Narfeesa tampak bahagia. Dia si jelita yang membina perniagaan sendiri sejak zaman...