INGAT senang mahu melupakan satu-satu peristiwa yang berlaku dalam hidup? Jika senang tentu tiada orang yang sakit jiwa dan raga mengenangkan sakitkan kehidupan dulu.’
Feesa tersandar dan hanya mata yang memerhati bait-bait kata yang dia tulis di dalam laptop. Blog peribadi yang telah lama dia kendalikan, sebenarnya lebih kepada luahan rasa hati. Tiada siapa yang kenal siapa, Pelangi Indah iaitu nama blog dan sekaligus nama penanya di blog. Hanya Zati dan Anieysa saja yang tahu bekenaan nama itu.
Di sana juga, Feesa berkenalan dengan A Gamer, seorang blogger yang lebih kasar dalam berbahasa di blog. Namun Feesa suka dengan cara A Gamer. Tiada kepura-puraan dalam luahan hatinya. Dan semestinya misteri seorang A Gamer itu tidak dapat ditebak oleh sesiapa.
Mata mulai layu seiring dengan waktu yang menginjak ke alam yang semua manusia tidak akan lepaskan. Tidur! Namun Feesa cuba gagahi juga. Lalu fail manuskrip yang sedang dibina patah demi patah, dibuka. Iris mata dibesarkan, moga dapat juga dia menaip sedikit untuk malam itu.
“SIAPA tu, bang? Soal Imah penuh curiga. Sesekali matanya memandang kedua-dua orang ‘kawan’ suaminya yang tidak kekok menghisap rokok di ruang tamu.
“Kawan akulah!” Agak keras suara Abu membalas soalan.
“Dah siap belum buat air tu? Jangan lama sangat. Kawan aku dah haus. Lepas siap tu kau bawa ke depan…” Tanpa menunggu soal balas daripada Imah, nada yang sedikit lembut Abu mengarahkan. Dia berlalu dari dapur dan menyertai kawan-kawannya di luar.
Dengan helaan nafas yang agak panjang, Imah menyiapkan cepat-cepat air kopi untuk tetamu. Juga dengan berhati-hati dia menatang dulang dan perlahan melangkah ke ruang tamu.
“Cantik bini kau, Abu…”
Tanpa segan, salah seorang kawan Abu memuji Imah. Dan hanya bunyi ketawa daripada Abu yang Imah dengar. Cepat dia meletakkan cawan di hadapan setiap seorang yang ada. Dulang pula diletakkan di bawah meja. Dia mahu segera berlalu dari situ.
“Eh, nak ke mana tu? Duduklah minum dengan kami. Nak juga kenal-kenal dengan lebih mesra lagi dengan bini Abu yang cantik gebu ni.” Seorang lagi kawan Abu bersuara.
Imah memandang suaminya. Bertanya dalam isyarat, kenapa dengan kedua kawan suaminya itu.
“Duduk Imah… Nazir dan Wariz nak kenal-kenal kau dulu sebelum kau buat kerja.” Tanpa mempedulikan renungan Imah, Abu menarik tangan Imah supaya duduk di sebelahnya.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi… duduk aku kata!” Suara Abu mula meninggi.
Imah tidak mahu Abu bertindak seperti biasa di hadapan Nazir dan Wariz, dia akur dengan arahan Abu.
“Macam tulah bini abang. Sebab itulah abang sayang sangat-sangat Imah tau…” Tanpa segan silu, abu mengucup pipi Imah di hadapan Nazir dan Wariz.
“Bila kau nak bagi kami rasa ni, Abu? Aku dah tak sabar ni.” Nazir yang teruja melihat adengan di depan mata mula bertanya.
“Abang?” Imah keliru dengan tingkah baik Abu. Dia juga keliru dengan soalan kawan suaminya. Dan kerja? Tiba-tiba Imah teringatkan ‘kerja’ yang Abu sebut tadi.
Abu memegang lembut tangan Imah. Muka didekatkan. “Imah, abang nak Imah tolong abang kali ini. Ini juga kiranya ‘kerja’ untuk Imah. Sudah selesai nanti, hutang abang akan settle dan Imah pun akan dapat upah besar. Ala, kerja senang saja.” Dia berbisik ke telinga Imah
“Apa yang abang merepek ni?” Cepat Imah menarik tangannya yang dipegang Abu.
Muka Abu berubah riak. Gigi dikacip kuat.
YOU ARE READING
Selama Mana Mampu Bertahan
RomantizmPenulis : Ruby Nur Airis Harga : RM30(SM)/RM33(SS) ISBN : 978-967-17560-0-3 'Kembalikan cahaya dalam hatiku. Kamukah itu yang menjadi penyuluh?' ~ Narfeesa Hidup Isma Narfeesa tampak bahagia. Dia si jelita yang membina perniagaan sendiri sejak zaman...