Untuk pembaca JDLM, anda semua boleh dapatkan eNovel ini dengan harga RM 15 di aplikasi e-sentral atau secara langsung kepada penulis. Boleh WhatsApp 0176909765 untuk pembelian dan jangan lupa ikuti penulis di seluruh media sosial untuk tidak ketinggalan.
***
AISYAH menarik tangan Raudhah tanpa mempedulikan rungutan yang tercetus dari mulut rakan ikrabnya itu. Kakinya berhenti seketika di kantin sebelum meneruskan misi mencari gerangan seseorang.
Gerangan seseorang?
Siapakah dia?
Sepasang matanya dikecilkan sedikit seraya melilau ke seluruh ruangan kantin.
Kini kepalanya pula digaru kasar. ‘Ke mana pula lelaki itu menghilang?’
Raudhah di sebelah ikut menggaru kepala. Kerutan seribu terlahir pada dahinya yang licin.
Bebola mata Aisyah berkisar laju. Dia sudah bercekak pinggang. Keluhan panjang dia lepaskan. Lelaki itu acap kali menghilang setiap kali Aisyah ingin menunjukkan susuk dirinya kepada Raudhah.
Dia kembali melelar sebelah tangan Raudhah. Langkahnya dan Raudhah dibawa pergi dari kantin yang kosong dan sepi.
‘Kenapa tiba-tiba kat kantin macam tak berpenghuni hari ini? Pelik, mak cik kantin pun tak berniaga hari ini,’ bisik hati Aisyah tatkala diterjah sesuatu perasaan yang tidak kena.
“Aisyah ... cepatlah. Kalau Cikgu Nani tahu kita ponteng kelas, nahas kita.”
Raudhah menggoncang lengannya. Aisyah berhenti daripada meneruskan monolog. Lebih baik dia kembali ke kelas sekarang. Sia-sia saja dia memonteng mata pelajaran bahasa Melayu, semata-mata ingin mencari kelibat budak lelaki tampan yang tidak kunjung tiba itu.
Kakinya mengayun langkah menuju ke kelas. Raudhah ketinggalan di belakang. Gegendang telinga Aisyah dapat menangkap jelas deruan nafas Raudhah yang tercungap-cungap.
Aisyah berundur kembali mendapatkan Raudhah.
“Raudhah? Awak okey tak ni?” soal Aisyah cemas, dalam pada masa yang sama serba salah. Sepatutnya dia tra usah memaksa Raudhah untuk berlari ke kantin demi mencari lelaki idamannya itu.
Walhal, dia sendiri pun tahu bahawa Raudhah menghidapi masalah asma tahap kronik.
Raudhah mengeluarkan alat sedut berwarna biru dari poket baju kurungnya. Lega, akhirnya Aisyah dapat kembali bernafas dengan tenang. Mujur Raudhah membawa ubat asma, kalau dia tidak bawa bagaimana?
Silap-silap Aisyah boleh dituduh sebagai pembunuh.
“Maafkan saya, Raudhah. Saya janji takkan buat lagi,” pinta Aisyah setelah mengesali khilafnya.
Raudhah anggukkan jemala lemah sambil bibirnya mengukir senyuman. Aisyah memimpin Raudhah menuju ke kelas.
“Alhamdulillahirabbi'alamin ....”
Sebentar, dia memberhentikan langkah ketika suara merdu itu menyapa halwa telinga. Aisyah terdengar keluhan yang terbit dari mulut Raudhah, sememangnya semangat Aisyah untuk mencari lelaki itu masih belum putus.
Suara merdu yang masih belum hilang memaksanya untuk mencari menggunakan deria pendengaran. Mujur telinga Aisyah termasuk dalam kategori ‘telinga lintah’. Dia kembali memaut tangan Raudhah dan mendesak gadis itu berlari dengannya menuju ke langgar.
“Cepatlah sikit Raudhah!” Aisyah melenting sedikit, geram karena Raudhah tidak ikut dia berlari.
“Sekejaplah awak,” pinta gadis bermata bundar itu gontai. Walau bagaimanapun, dia tidak berjaya membuatkan Aisyah berputus asa untuk mencari lelaki itu.
YOU ARE READING
Jodoh Di Luh Mahfuz
RomancePerigi mencari timba? Ya, itulah gelaran yang paling layak untuk insan bernama Nur Aisyah atau nama timangannya 'Aisyah'. 26 tahun dia berpijak di bumi yang nyata, selama ini jugalah dia mencari timba. Tetapi masih belum ada timba yang sesuai. Ejen...