B A B 6

14.9K 1.6K 368
                                    

ANGIN sepoi-sepoi bahasa petang itu bertiup perlahan, menampar-nampar manja kulit wajah. Keringat dingin yang mengalir di wajah dibiarkan. Rasa dingin sejuk apabila peluh bercampur angin petang itu. Kaki menghentak-hentak permukaan simen dengan kelajuan konsisten, larian sederhana. Tidak laju, tidak perlahan. Emiir berjoging sejak dua puluh minit yang lepas di atas trek pejalan kaki di sekeliling kawasan perumahannya. 

Memang sudah ada gim mini di dalam rumah tetapi Emiir buat keputusan untuk ambil angin petang. Pulang dari pejabat tadi, dia menyalin pakaian dan terus berlari di sekeliling kawasan ini. Nafas menderu ganas, tubuh sudah mengeluarkan banyak air peluh. Tenaga digunakan secara maksimum, tidak mengendahkan waktu yang terus berjalan pantas. Saat ini, Emiir hanya ingin berlari sejauh mungkin. Kalau boleh dia ingin berlari dari realiti ini. 

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, Emiir sering dikejar kenangan lalu. Emiir benci untuk putar kenangan itu sebagai memori. Kenangan yang dianggap mimpi ngerinya, tidak seharusnya Emiir ingati lagi. Namun, orang kata makin kita benci, makin sayang. Semakin Emiir benci, semakin kuat ingatannya menyelak tirai kenangan untuk insan itu. 

Pada zahirnya Emiir sudah cuba. Berlarian sejauh yang mungkin tetapi dia tetap akan jumpa trek permulaan lariannya tadi. Begitu Emiir cuba untuk melupakan, kenangan itu tetap akan kembali. Setidaknya secebis dua, Emiir tidak dapat lupakan. Eshaq merupakan bukti percintaannya dulu. Yang gagal dan terkandas di tanah gersang. 

Sepenggal senyuman nipis terukir di hujung bibir. Mentertawakan diri sendiri. 

"Kalaulah kau tak bodoh percayakan perempuan tu..." 

Lariannya yang menderu laju semakin perlahan dan lama-kelamaan kaki berhenti daripada terus menghentak dan menolak permukaan simen trek pejalan kaki. Emiir memejamkan mata. Semakin hatinya keras untuk menafikan perasaan ini, semakin kenangan lalu membuai hati dan perasaannya. Melayan perasaan jiwang karat selama lima saat. Emiir tarik dan hembus nafas panjang. Kalau boleh biar sampai hati tenang. 

Emiir buat keputusan untuk meneruskan larian. Berlari sejauh dan sepantas yang boleh. Mungkin Emiir boleh meninggalkan kenangan itu sejauh-jauhnya. Emiir berlari seiring dengan waktu. Laju dan pantas tanpa henti. Sudah menyimpan tekad di dalam hati. Dia pasti akan menunaikan suatu pengharapan, suatu janji kepada diri sendiri yang bertolak dari titik-titik derita. 

Matahari semakin tenggelam, senja mula menyinsing. Emiir meneruskan larian hingga ke pagar besar rumah agamnya. Pengawal yang tadinya enak minum kopi, hampir tersembur kopinya tatkala figura tuan besarnya semakin menghampiri. Cawan kopi diletakkan ke atas meja lalu bangkit mendadak. Dia terpacak di depan pondok pengawal, berdiri tegak seperti patung cendana. 

"Tuan..."

Seperti masih berada di dunia sendiri, Emiir terus melangkah melepasi pengawal tersebut tanpa sepatah kata. Hanya bunyi cengkerik. 

Krik...krik...krik...

"Aku ada buat salah ke?" soal Man kepada diri sendiri. Selalu jika dia tegur, paling kurang pun Emiir akan angguk sahaja. Tapi tadi dengan wajah ketat Emiir langsung tidak menegur atau menyahut sapaannya. 

Selesai membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib, Emiir berlalu keluar dari kamar tidur. Pejabat mini yang terletak di tingkat dua rumah agam itu menjadi tujuannya. Di pucuk kesunyian, telinga tajam Emiir menangkap sayup-sayup suara seseorang dari kamar tidur anaknya. Emiir tidak jadi melangkah dan berdiri terpacak di depan pintu bilik Eshaq. 

"Warna ni cantik, sesuai untuk mummy!" 

Berlapis-lapis dahi Emiir tatkala dengar perkataan terakhir yang keluar dari bibir Eshaq. Dengan maintain wajah stoic, dia pulas tombol pintu. Menolak perlahan daun pintu tersebut tanpa sebarang ketukan. Saat itu, suara Eshaq juga hampir tersekat. Pamer wajah terkejut untuk beberapa saat sebelum menunduk. Sehelai kertas lukisan disorokkan ke belakang tubuhnya. 

Mr. Cold Dictator [ BAKAL TERBIT ]Where stories live. Discover now