"Macam mana semalam?" Ajmal menerjah masuk tanpa salam. Selamba dia sandarkan punggungnya ke meja kerja Harith.
Pejabat itu mereka tubuhkan bersama selepas mereka tamat belajar. Dari perkongsian modal kecil-kecilan sehinggalah syarikat mereka mampu berkembang seperti sekarang. Ramai mencari mereka kerana rumah yang mereka tawarkan berbaloi. Membina rumah di atas tanah sendiri dengan rekabentuk terkini dan harga berpatutan.
Harith masih tekun menghadap kertas kerjanya. Malas dia mahu melayan Ajmal awal-awal pagi.
"Weii.. Dia jujur ke tipu?" Ajmal intai muka Harith yang serius.
Harith tetap membisu seolah-olah Ajmal tiada di depannya.
"Kau ni depan aku mulalah tayang muka ketat. Dah macam tertelan biji rambutan." Ajmal menjeling. Payah betul nak bagi Harith ni buka mulut pasal Syakila.
"Kau tak payah tahulah. Ini pasal rumahtangga aku."
"Aku tahu. Cuma aku tak nak kau pendam lepas tu makan hati sorang-sorang. Apa yang kau rasa terbeban kau boleh luah kat aku. Kau tahu aku ni pendengar terbaik kan." Ajmal angkat-angkat kening.
Harith tarik senyum. Itu kenyataan. Walaupun Ajmal tu suka menyibuk tetapi Ajmal juga seorang yang cukup pandai menyimpan rahsia. Bak kata Ajmal, biar pecah di perut jangan pecah di mulut.
"Cukuplah kau tahu, aku okey."
Terangguk-angguk kepala Ajmal.
"Kalau macam tu, aku assume dia jujur dengan kau. So, tengahari ni kau nak pergi jumpa Dato Hamid atau aku?"
Terus Harith panggung kepala. Pen yang dipegang dari tadi diletak ke atas meja. Fokusnya sekarang hanya Ajmal.
"Aku lah. Boleh aku singgah pejabat Kila sekali."
"Whoaa.. Hebat kau. Tak ada rasa marah? Siapa lelaki semalam tu?"
Harith angkat bahu dan dia kembali menunduk memandang kertas kerja yang bersepah.
Diikutkan hati memang dia terlalu sibuk hari ini tetapi entah mengapa dia rasa nak menjenguk Syakila.
Rasa macam bersalah pula acuh tak acuh melayan Syakila pagi tadi. Hidupnya rasa seperti kekurangan sesuatu bila dia tidak memeluk tubuh Syakila sebelum berangkat ke pejabat.
Kebiasaan yang selalu dia amalkan seolah-olah menjadi perkara wajib pula. Bila tak dibuat, hati rasa tak tenteram.
Ikut suka kau lah. Aku harap kau tak salah. Aku juga harap biarlah tohmahan aku yang salah. Aku nak tengok kau bahagia Harith."
Usai berkata-kata, Ajmal melangkah keluar dari bilik Harith.
Dia sudah lama kenal dengan Harith. Dari riak muka Harith, dia dapat rasa ada sesuatu yang berlaku. Harith nampak tidak gembira dan pastinya sebab Syakila.
*****
Selesai perbincangan dengan Dato Hamid, Harith memandang jam dipergelangan tangannya. Waktu makan tengahari sudah habis. Maknanya Syakila mesti ada di pejabat.
Tidak mahu membuang masa, tempat kerja Syakila dituju. Sudah lama rasanya dia tidak membuat kejutan pada Syakila.
Tak sampai setengah jam, dia sudah tiba di pejabat Syakila. Kebetulan pula perjalan lancar, nak cari parking pun mudah.
"Eh.. Encik Harith." Pucat wajah pembantu Syakila, Suha. Seolah-olah nampak hantu sebaik ternampak Harith yang baru keluar dari perut lift.
"Hai, Suha. Sihat?" Ramah Harith menegur. Senyuman tersungging di bibirnya.
"Sihat alhamdullilah." Suha membalas senyuman Harith.
"Puan Kila ada?" Soal Harith terus pada tujuan dia datang ke situ.
Jambangan bunga ros merah di tangannya dipandang. Harapnya Syakila akan teruja menerima bunga ini.
"Ada. Tapi Puan Kila ada tetamu kat dalam." Serba salah raut wajah Suha.
"Tak apa saya tunggu." Harith senyum lagi.
"Tapi Encik Harith.."
"It's okay. You boleh buat kerja you." Harith labuhkan duduk di kerusi di depan Suha.
Lambat-lambat Suha juga duduk. Sekejap-sekejap pintu bilik Syakila yang tertutup rapat menjadi santapan matanya. Gelisah.
"You nampak pucat Suha. Anything happen inside?" Curiga Harith mula muncul bila melihat reaksi Suha yang pelik.
Teguran Harith buatkan Suha teguk liur.
"Err.. Tak ada apa Encik Harith."
"Siapa tetamu dalam tu?"
Suha terdiam.
Terus Harith bangkit tanpa menunggu jawapan dari Suha. Pintu bilik kerja Syakila dihampiri.
"Encik Harith.."
Harith berpaling. Telunjuknya naik menekan bibir, mengisyaratkan supaya Suha diam. Perlahan-lahan telinganya ditekap ke pintu yang tertutup itu.
"Test tu positif?" Suara seorang lelaki kedengaran.
"Betullah. I mengandung sayang. I takut. I tak tahu ini anak you ke anak Harith."
Suara Syakila yang menjawab itu bagaikan halilintar membelah bumi. Kaki Harith terundur beberapa tapak ke belakang. Jambangan bunga di tangan juga sudah terhempas ke lantai.
"Allah!" Harith pegang dadanya pula.
Macam-macam yang dia rasa sekarang. Tak sangka sudah sebegini jauh isterinya melangkah. Sudah melangkui batas seorang isteri dan sebagai seorang yang beragama islam.
"Encik Harith okey ke?" Suha sudah cemas. Melihat pucat wajah Harith seperti tak berdarah, Suha diserang rasa bersalah.
Dalam pada masa yang sama, simpatinya melimpah-limpah kepada Harith. Sepanjang dia menjadi pembantu Syakila, dia tahu Harith seorang suami yang baik. Pantang Syakila balik lambat, Harith akan telefon dia dan memesan macam-macam untuk Syakila. Tapi tergamak Syakila...
Harith menarik nafas panjang. Sedaya upaya dia cuba berfikir secara waras. Walaupun dia rasa dia tidak mampu. Sekilas wajah Suha yang nampak risau itu dilirik.
"I balik dulu. Jangan beritahu Kila yang I datang."
"Encik Harith pasti Encik Harith okey ke?"
"Habis tu you nak I tunggu sini? How long have you kept this secret, Suha?"
Buat sekian kalinya soalan Harith, Suha tak terjawab.
"You memang pembantu setia, Suha. Beruntung Kila dapat you." Harith terus pergi dari situ.
Hatinya remuk. Langkahnya pincang. Sungguh, dia langsung tak jangka ini yang berlaku di belakangnya selama ini.
Mungkin sebab Tuhan mahu menunjukkan kebenaran kepadanya sebab itu hari ini dia tergerak hati mahu datang menjenguk.
Dia sangkakan Syakila akan terkejut dengan kedatangannya namun ternyata yang berlaku adalah sebaliknya.
"Sampai hati you, Kila." Harith menarik nafas dalam-dalam. Hatinya sudah hancur. Kecewanya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kepercayaan yang dia beri selama ini sudah disalah guna oleh Syakila.
"Allah.. Berilah aku kekuatan untuk berdepan dengan semua orang."
Kali ini dia nekad. Dia takkan fikirkan lagi tentang kebahagiaan yang hanya angan-angannya dari dulu. Kebenaran yang dia patut telan dari dulu adalah yang dia langsung tidak bahagia.
YOU ARE READING
Aku Ingin Bahagia (Ebook)
RomanceKERANA mengejar kesempurnaan, rasa cinta yang pernah terdetik di hati ditanam ke sudut hati yang paling dalam. Tak pernah diluah malah mahu dikuburkan tanpa sebarang tanda. Sangka Harith, kesempurnaan yang dipilih dalam diri Syakila akan membawa keb...