ENJIN kereta dimatikan. Rasa sebal yang terjadi sejak bertemu gadis bernama Aadab sebentar tadi, masih belum hilang lagi. Ikhlas membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Beg komputer riba di kerusi penumpang dicapai dan digalas masuk ke dalam rumah.
Saat terpandang wajah Ibtisam yang melangkah dari dapur, Ikhlas terus menuju ke arah sofa dan meletakkan punggung di situ. Keluhan pendek dilepaskan.
“Ikhlas…”
Ikhlas berpaling, berbalas pandang dengan kakaknya.
“Monyok sangat kenapa?” soal Ibtisam ingin tahu.
Ikhlas memandang wajah Ibtisam seketika sebelum melemparkan pandangan kosong ke dinding rumah yang bercat putih bersih.
“Jumpa manusia yang ada Aadab pada nama, tapi tidak pada dirinya.” Ucap Ikhlas tanpa nada. Sebal menguasai segenap ruang hati.
Kening Ibtisam berkerut.
“Siapa yang cuba tak beradab dengan adik akak ni?” soalnya ingin tahu.
Ikhlas menjuihkan bibir dan menjongketkan bahu. Dia tidak berminat untuk berbicara terus mengenai si gadis bernama Aadab yang sudah merosakkan moodnya pada petang ini. Yang paling dia kesal, gadis itu berlalu tanpa mengucapkan sepatah kata maaf pun. Buat salah, tapi masih nak bermegah!
Sebenarnya, Ikhlas tidak mungkin akan rasa marah sebegini jika gadis itu menggunakan nada yang menyenangkan telinganya. Ini tidak, siap dengan kata-kata kesat lagi dilemparkan tepat ke wajahnya. Gadis itu memiliki wajah yang sopan, malah menutup aurat dengan sempurna. Sayangnya, yang indah itu hanya rupa tapi tidak bahasa yang diguna.
“Nah…” Suara Ibtisam menarik pandangan Ikhlas. Secawan kopi panas sudah berada di meja kopi.
“Bagi sejuk hati sikit.” Ibtisam tersenyum. Kenal sangat dengan Ikhlas yang mudah saja ‘disejukkan’ dengan secawan kopi.
Saat itu, bibir Ikhlas mengorak senyum. Terbang sudah seraut wajah milik Aadab yang menjengkelkan hati. Seluruh pandangannya tertumpu pada secawan kopi yang mengeluarkan kepulan asap itu. Ia dipandang dengan penuh minat.
“I love you, kak.” Cawan dicapai dan kopi dihirup perlahan. “As usual, the best coffee maker in the world. Nobody can beat you.” Puji Ikhlas tanpa bertangguh.
“The best coffee maker in the world, lepas ni tolong cari coffee maker sendiri ya. Yang ni, dah nak diserahkan kepada bakal imam dia!” Suara mama, Puan Zulaikha mencelah.
Ikhlas terlopong.
“Akak… really? Akak dengan Umar?” soal Ikhlas sambil memandang tepat ke wajah Ibtisam. Wajah si kakak sudah memerah menahan rasa malu.
“Lepas ni, tinggal kita berdua aje ke mama?” soal Ikhlas dengan berat hati. Kakak kesayangannya bakal menjadi isteri orang.
“Eh, apa pulak kita berdua, kita bertiga, Ikhlas.” Puan Zulaikha tersenyum.
Wajah Ikhlas berubah.
“Mama nak kahwin ke?”
Wajah Puan Zulaikha terus mencuka dengan soalan yang diajukan oleh Ikhlas. Ibtisam sudah lepas ketawa.
“Aku geram betullah bercakap dengan Ikhlas soal jodoh ni. Mesti dia buat-buat tak faham atau konar tang lain!” Puan Zulaikha mengusap dada cuba menyabarkan diri.
Ikhlas buat tidak tahu sahaja dan terus menghirup kopi kegemarannya itu.
Saat Puan Zulaikha sudah berlalu dari ruang itu, Ibtisam mengamit perhatian Ikhlas. Bibirnya tersenyum penuh makna.
YOU ARE READING
Awek Handsome (SUDAH TERBIT)
Romance"Kerja yang kau buat ni, cukup sekadar dibuat dengan tegas. Kau tak perlu show off dekat satu dunia yang kau tu kasar macam orang tak bertamadun. Dengan bahasa kesat lagi. Adab mana adab!" - Ikhlas PERTEMUAN pertama yang tidak begitu manis, namun it...