“IKHLAS, kau janji nak cerita. Tapi kau buat-buat amnesia pulak ye.”
Suara Razi kedengaran sebaik sahaja pintu pejabat Ikhlas dikuak dari luar. Sahabatnya itu menyarung t-shirt berwarna putih dan berseluar track. Sesuai untuk mengikuti aktiviti yang akan berlangsung sebentar lagi.
Perlawanan futsal antara pensyarah dan pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kolej Anggerik Biru ini. Razi dan Ikhlas berada dalam satu pasukan. Manakala, Adha sudah dijemput untuk hadir sebagai penyokong mereka berdua.
Ikhlas, Razi dan Adha adalah teman satu kuliah kursus Sarjana Muda Sastera, Bahasa Inggeris untuk Profesional di Universiti Sains Malaysia. Tamat pengajian sarjana muda, ketiga-tiganya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pula. Sebaik sahaja bergraduasi, Ikhlas dan Razi memilih untuk mencuba nasib menjadi tenaga pengajar di kolej swasta ini.
Rezeki mereka berdua, sudah empat tahun kerjaya mereka bertapak dan berkembang di kolej ini sebagai pensyarah Bahasa Inggeris. Manakala, Adha memilih untuk berkerja dalam bidang media sebagai wartawan akhbar Daily!
“Buat-buat busy pulak dia! Kau hutang cerita kemalangan hati kau tu, tau tak. Aku punyalah teruja haritu tunggu kau. Tau-tau aje dah balik.” Rungut Razi tidak berpuas hati. Kerusi kosong di hadapan Ikhlas ditarik dan dilabuhkan punggungnya. Wajah Ikhlas ditenung tajam. Tetapi sahabatnya itu melemparkan senyuman nipis.
“Kau, kalau bab-bab ni, laju aje kan. Bergosip mengalahkan perempuan.” Komen Ikhlas yang masih meneruskan kerja memasukkan data dalam komputer ribanya.
“Mak aku selalu cakap, masa dia mengandung aku, doktor sahkan anak dalam kandungan baby girl, tapi keluarnya hero pulak. Mungkin sebab tu, aku pun suka bergosip kot. Terkenan dengan impian mak aku.” Ucap Razi selamba.
“Macam-macamlah kau ni…” Ikhlas menggeleng kepala seakan tidak percaya dengan kisah Razi yang didengar untuk pertama kali. Matanya mengecil memandang bibir sahabatnya yang bergayut dengan senyuman.
“Semalam, mama aku call ajak makan dekat luar. Dia dengan Ibtisam keluar beli barang untuk persiapan kenduri kakak aku. Aku pun lupa terus janji dengan kau. Sorry la.” Jelas Ikhlas.
“Ibtisam nak kahwin dah?” soal Razi terkejut.
Ikhlas mengangguk.
“Maknanya, lepas ni giliran kau pulak?” soal Razi lagi.
Dahi Ikhlas berkerut. “Giliran apa?”
Razi tersengih nakal.
“Giliran kau dengan bakal isterilah…” Ucapnya mengusik. “Jadi, siapa tu calon kak ipar aku?” soal Razi tidak bertangguh.
Ikhlas menjungkitkan kening.
“Nantilah…” Balas Ikhlas berdalih. Macam mana hendak dicerita dengan sesuatu yang tidak pasti.
“Alah… cakap ajelah.” Razi memaksa.
Ikhlas menarik nafas dan menghela panjang. Wajah Razi yang teruja itu, dipandang sebelum bibirnya bersuara.
“Aadab.” Sebutnya sepatah.
Mata Razi terkebil-kebil. Tidak faham.
“Adab?”
“Itu saja buat masa ni.” Balas Ikhlas lalu menutup komputer ribanya.
“Jom, dah nak mula perlawanan. Adha tengah tunggu kita dekat parking.” Ikhlas sudah bangun berdiri.
Razi menjeling tidak puas hati. Tetapi dia menurut juga langkah Ikhlas saat itu kerana jam di tangan sudah mengejutkan hatinya. Rasanya dia berbual dengan Ikhlas tidak sampai sepuluh minit pun, tapi sebenarnya sudah setengah jam berlalu.“ADAB!” Razi menuturkan pada Adha. Adha terkebil-kebil memandang wajah Razi yang sudah lencun dengan peluh. Keningnya dijungkitkan mengharapkan penjelasan seterusnya daripada Razi.
“Dia langgar hati Ikhlas.” Sebut Razi kuat apabila Ikhlas turut mengambil tempat di kerusi panjang di court itu.
Saat itu, Ikhlas sudah menjeling. Tak habis-habis lagi si Razi ni. Kalau dia nak tahu, sampai ke lubang cacing dikoreknya cerita.
Kali ini, Adha sudah berpaling menghadap Ikhlas.
“Kau accident ke?” soalnya ingin tahu.
“Hati dia yang accident. Kau ni Adha, aku dah sebut hati. Dia tu dah jatuh hati dengan peradaban mana entah. Lepas tu, tak nak kongsi cerita pulak.” Razi terus bersungut. Mulut itu sudah memuncung. Botol mineral di sisi dicapai dan dibuka dengan kasar. Konon tunjuk protes.
Ikhlas sudah menggelengkan kepala dengan perangai Razi yang terlalu kebudak-budakan di saat ini.
“Kau tak payahlah nak geleng kepala sangat. Selagi aku tak dapat tahu siapa calon kak ipar aku ni, kau jangan nak mimpi nak bebas daripada gangguan aku!” Ugut Razi.
“Kau ni tak ada kerja lain ke?” Soal Ikhlas geram. Tapi dalam pada rasa geram itu, bibirnya memberi jawapan sambil memandang wajah Razi.
“Aadab tu girl yang bawa superbike kita jumpa dekat restoran last week. Dia tu ejen tarik kereta.” Ucap Ikhlas senafas.
Razi dan Adha tergamam. Terbuka mulut keduanya.
“Wow… kau bakal dilindungi sepanjang hayatmu Ikhlas. Tahniah, pilihan terbaik!” Ucap Razi tanpa menunggu sesaat pun. Adha pula sudah tergelak dengan reaksi Razi.
“Kau kenal dia ke?” soal Adha.
Ikhlas menghela nafas. “Mama aku kenal mak tiri dia. Honestly, aku pun belum kenal dia lagi. Tapi… aku tak tahulah. Kalau ada jodoh, adalah kan…” ucap Ikhlas perlahan.
Saat itu, belakangnya ditepuk kuat oleh Razi.
“Kau jangan risaulah… kalau tak ada pun, kami akan tolong untuk adakan jugak!” Ucap Razi dengan semangatnya.
Ikhlas menjeling saja melihat semangat Razi itu.
“Eh, korang ni jadi tak ikut aku?” soal Adha tiba-tiba mengalihkan topik.
“Pergi mana ni? Aku macam tak dapat info pun.” Balas Ikhlas. Tangannya sudah mencapai botol mineral baru di sisi Razi. Penutup dibuka dan air diteguk perlahan.
“Nak balik rumah nenek aku dekat Melaka.” Ucap Adha kemudian dijeling ke arah Razi yang tiba-tiba menyepi. “Ada orang tu, nak jumpa buah hati dia. Tapi malu nak jumpa sorang-sorang, katanya kena ajak kawan dunia akhirat baru semangat.”
Hanya bunyi cengkerik kedengaran. Sunyi sepi tanpa sebarang suara.
“Kalau bab cinta hati dia tu, sepi terus!” Sergah Ikhlas.
Razi itu kalau bab orang lain, riuh suaranya. Kalau bab kekasih hati sendiri, bunyi semut pun lagi kuat daripada suara dia. Bercinta pula dengan sepupu Adha, memang setiap kali nak jumpa tu diajak mereka untuk teman sekali. Mulut macam mak cik, tetapi dalam bab ni betul-betul old school!
“Korang berdua ni macam mana sembang dalam telefon?” soal Ikhlas ingin tahu. Air mineral diteguk lagi bagi menghilangkan rasa dahaga di tekak.
“Sembang dalam telefon apa bendanya, kau ni Ikhlas! Berbalas emel sahaja.”
Tersembur terus air mineral dari mulut Ikhlas. Sipi sikit daripada wajah Razi. Merah padam wajah sahabatnya itu. Ikhlas tersengih dengan serba salah.
“Maaf, bro!” Pintanya.BEG yang diisi barang keperluan digalas di belakang. Topi keledar full face yang dilengkapi headset itu disarungkan pada kepala. Zip jaket hitamnya ditarik sehingga ke atas. Inaz sudah berdiri di muka pintu, hendak menghantar dirinya.
Langkah Inaz diatur ke sisi motorsikal Aadab. Mata Aadab yang masih kelihatan di sebalik helmet full face itu dipandang. Senyuman diukir.
“Hati-hati dalam perjalanan. Selalu ingat, aku tunggu kau balik rumah. Dan janganlah pergi lama sangat. Sehari dua cukuplah. Nanti aku boring pulak.” Ucap Inaz dengan wajah yang sudah muncung. Hari ini, hari minggu… Aadab pula sudah memilih untuk bercuti sendiri. Mama dan ayah Aadab pula keluar berdating, dia pula sendiri di rumah.
“Kau pun jaga diri. Aku gerak dulu.” Ucap Aadab sedikit kuat. Bimbang Inaz tidak dengar suaranya. Cermin di muka diturunkan. Superbike kesayangannya dipanjat. Enjin dihidupkan, buat beberapa saat Aadab memulas minyak dan bunyi enjin mengaum mengambil tempat di perkarangan banglo Dato Saifullah itu.
Aadaab berpaling ke arah Inaz, tangannya dilambai. Lalu dia memulas minyak dan memulakan perjalanannya. Superbike itu mulanya bergerak dengan kelajuan sederhana. Saat ia memasuki jalan besar, Aadab mengoyak minyak lagi. Dengan kelajuan 100km/j, dia sudah mula terasa tubuhnya bagai dilambung angin.
Saat membelok masuk ke lebuhraya, minyak dipulas lagi. Kelajuan superbike itu sudah bertambah sehingga 160km/j. Aadab kini berada di awangan. Kelajuan itu bukan sahaja membuatkan tubuhnya terasa ringan, tetapi mindanya juga. Sudah terbang resah yang menghurung kepalanya sejak semalam.
Kali pertama dia jatuh cinta dengan superbike, saat dia menuntut di kolej. Seorang temannya, bernama Jen selalu menunggang motorsikal jenama Ninja ke kolej. Bermula dari situ, dia seringkali mendapatkan info berkenaan motorsikal itu daripada Jen. Apabila Jen memberi peluang dia menunggang ‘cinta’ hatinya itu, sungguh… hatinya dicuri. Sehingga dia sanggup memohon lesen kelas B secara curi-curi daripada pengetahuan ayah.
Sejak itu, dia membuat kerja part time di pasaraya. Sambil-sambil itu, dia belajar bursa saham supaya dapat mengumpul modal lebih besar untuk membeli motorsikal yang diidamkan hati. Dia berusaha sendiri untuk membeli aset itu, kerana ayah tidak mungkin akan membenarkan dia menunggang motorsikal berkuasa tinggi ini.
Saat dia membawa pulang superbike Yamaha YZF-R6 yang ditunggangnya ini ke rumah, semua mata membulat memandang dirinya.
“Apa yang Aadab fikir masa beli benda ni?” soal ayah dengan nada serius. Sehingga ke hari ini Aadab tidak dapat melupakan reaksi muka ayah itu. Seolah memperlekehkan kebolehan dirinya untuk menunggang kenderaan itu.
“Kita ni kalau nak pilih apa-apa barang, kena ikut kemampuan dan kekuatan diri sendiri. Aadab tu perempuan, mampu ke bawa superbike yang berat macam ni? Kalau jadi apa-apa tengah jalan, Aadab mampu ke nak angkat sendiri motor ni?” soal ayah masih meragui kemampuan dirinya.
Aadab menelan liur mendengar soalan yang sudah menjengkelkan hatinya.
“Aadab saja yang tahu dengan kemampuan diri Aadab. Ayah tak perlu risau. Dari segi kewangan mahupun kekuatan, Aadab mampu tanggung motorsikal ni sendiri!” balasnya tanpa nada. Namun, hatinya sudah berkecai. Perkataan ayah yang meragui dirinya itu, hanya meremukkan hati yang sedia terluka selama ini.
Mengenangkan kejadian yang sudah berlalu beberapa tahun itu, membuatkan dadanya berkocak kembali. Untuk membuang memori itu daripada mengganggu mindanya lagi, tangan Aadab yang dibaluti sarung tangan kulit berwarna hitam itu terus mengoyak minyak lebih laju. Tubuhnya dirapatkan ke badan motorsikal seolah memeluk kenderaan itu. Dia mengambil lorong paling kanan. Ditunggang motorsikal seolah jalan itu miliknya seorang diri di saat ini.
Sementara itu, di lorong tengah lebuhraya, sebuah kereta Mazda 3 berwarna maroon meluncur dengan kelajuan 120km/j. Seperti angin ribut, mata pemandu ini menangkap sebuah motorsikal yang tidak asing dari mindanya bergerak dengan kelajuan kilat.
“Aku macam kenal dengan superbike tu.” Komen Razi.
Ikhlas menjeling mendengar komen Razi. Walaupun hatinya juga berbunyi dengan ayat yang sama.
“Macam yang kita jumpa dekat restoran tu.” Sambung Razi lagi.
“Kau ni… tak payahlah semua benda pun nak kena kaitkan dengan Aadab pulak. Macam dia seorang aje ada superbike dekat Malaysia ni.” Pangkah Ikhlas tidak mahu Aadab menjadi topik perbincangan mereka di saat ini.
Tetapi, hati kecilnya juga sudah menuturkan nama gadis itu. Dia juga sudah merasakan motorsikal yang meluncur laju itu adalah milik Aadab. Laju betul kau terbang Aadab. Nak ke manalah laju-laju macam ribut ni. Hati Ikhlas sudah diserang rasa risau pulak. Tetapi wajahnya cuba dikekalkan dengan riak tenang.
“Kau reti bawak superbike ke Ikhlas?” soal Razi mengubah topik pada diri Ikhlas pula.
Ikhlas menggeleng. “Aku tak ada lesen kelas B. Motorsikal yang Aadab bawak tu 600cc.” Ucapnya spontan.
Saat itu, ekor matanya sudah menangkap senyuman nakal di wajah Razi. Ikhlas tidak berkata apa sebab dia tahu, sekejap lagi selepas sampai di Melaka, tahulah dia untuk kenakan Razi semula.
YOU ARE READING
Awek Handsome (SUDAH TERBIT)
Romance"Kerja yang kau buat ni, cukup sekadar dibuat dengan tegas. Kau tak perlu show off dekat satu dunia yang kau tu kasar macam orang tak bertamadun. Dengan bahasa kesat lagi. Adab mana adab!" - Ikhlas PERTEMUAN pertama yang tidak begitu manis, namun it...