Bab 8

88 9 3
                                    

SEPERTI yang dijangka, Razi sudah menjadi bisu sebaik sahaja mereka tiba di Melaka. Kereta Ikhlas diparkir di sisi kereta Adha di perkarangan rumah nenek Adha. Mereka sudah biasa berkunjung ke rumah ini ketika zaman belajar dulu.
Ikhlas melangkah keluar dari kereta meninggalkan sahaja Razi seorang diri dalam kereta.
“Dia tu tak ada rasa nak keluar dari kereta ke?” soal Adha kepada Ikhlas.
Ikhlas menjeling kecil ke arah insan di dalam kereta itu. “Entahlah dia ni. Malas aku nak layan. Nanti kalau ada orang nak kebas awek dia, pandailah dia keluar dari kereta tu,” perli Ikhlas selamba.
Saat itu pintu kereta terbuka.
“Aku dengarlah!” balas Razi dengan serius. “Aku gemuruhlah setiap kali nak jumpa dia, aku nak buat macam mana. Bukan aku saja-saja buat macam ni, aku tak boleh nak kawal.” Razi sempat mengelap peluh yang mula memercik di dahi. Padahal baru saja melangkah keluar dari kereta yang berpenghawa dingin.
“Aku rasa kau ni ada penyakit aneh,” ucap Ikhlas dengan wajah serius sengaja hendak mengusik. Matanya sudah dikenyitkan pada Adha.
“Aku pun rasa benda yang sama,” sahut Adha tidak bertangguh.
“Penyakit apa pulak dah… aku belum kahwin lagi. Korang ni, sengaja kan… nak takutkan perasaan aku yang sedia gemuruh ni.” Razi tidak puas hati dengan ungkapan sahabatnya itu.
“Penyakit macam ni selalunya satu aje ubat dia,” sambung Ikhlas.
Wajah Razi makin panik, Adha pula tersengih. Ikhlas pula masih kekalkan riak serius di wajah.
“Ubat apa, Ikhlas?” soal Razi ingin tahu. Risau pula hatinya.
“Ubatnya, kau kena jumpa tok kadi.” Ikhlas menepuk bahu Razi yang sudah berada di sisinya.
“Mahu terkencing aku nanti. Nak berdating pun gemuruh.” Razi sudah menggaru kepala.
“Takkanlah kau nak dating aje sampai ke tua?” soal Ikhlas sambil menggelengkan kepala.
Razi menggaru kepala dengan sengihan kelat di bibir.
“Eh, aku nak gerak kejap… nak pergi coffee hunting,” Ikhlas tanpa bertangguh terus meminta diri. Sepanjang perjalanan dia sudah merancang untuk ke satu kafe yang dijumpai di laman sesawang minggu lalu.
Adha sudah mengangkat tangan melihat Ikhlas kembali meloloskan diri ke dalam kereta. Tahu sangat dengan tabiat Ikhlas yang seorang ini. Mesti ada mana-mana kafe yang akan diterjah lelaki itu untuk menikmati kopi. Ikhlas dan kopi, tidak mungkin dapat dipisahkan sama sekali.
Dari zaman mereka sama-sama belajar lagi, Ikhlas suka buat cafe hunting untuk merasa kopi. Kopi mahal ke, murah ke, tak ada satu pun yang terlepas daripada deria rasa Ikhlas. Tapi Ikhlas selalu cakap, dalam semua kopi yang dia minum, yang terhebat hanyalah kopi dibancuh oleh Ibtisam.
Kereta Ikhlas sudah pun meluncur meninggalkan perkarangan rumah nenek Adha. Tinggallah dua sahabat ini di luar rumah, masih memikir sama ada hendak melangkah masuk, atau terus berdiri sahaja di situ. Pening kepala Adha menghadap si Razi di saat ini.

SELESAI MEMBUAT pesanan, tangannya diangkat dan menurunkan Rayban yang masih tersarung di wajah. Matanya meliar sekitar kafe yang disinggah ini. Dia memilih untuk duduk di bahagian terbuka luar kafe. Di bahagian dalam kafe itu terlalu kuat aroma yang menyesakkan tekaknya.
Ikutkan hati, Aadab rela mencari tempat makan lain daripada bersesak dengan aroma yang langsung dia tak suka. Tapi, perut sudah berkeroncong dan tangan sudah mula menggeletar. Ia menandakan dia perlu makan dengan segera. Jadi, kafe yang paling dekat dengan tempat tinggalnya di sini diterjah tanpa berfikir panjang.
Aadab mengeluarkan telefon bimbit dari poket jaketnya, lalu menaip sebaris pesanan kepada Inaz.
- Aku ada dekat Melaka. Aku stay sini.
+ Okey Aadab, jaga diri. Bawa motor tu jangan nak race dengan angin sangat. Ingatlah adikmu yang tersayang.
- Apa guna beli motor mahal-mahal kalau tak boleh race dengan halaju angin.
+ Aku jual motor kau senyap2 nanti!
Ugutan itu hanya membungakan senyuman nipis di wajah Aadab. Dia terus menyimpan kembali telefon bimbit ke dalam poket. Saat itu, bunyi kerusi ditarik menyentakkan jiwa Aadab. Matanya menghala ke hadapan. Pandangan Aadab terpaku pada insan yang tidak diduga untuk muncul di hadapannya saat ini.
Wajahnya berubah pelik. Dia pandang saja tubuh lelaki yang selamba mengambil tempat di kerusi kosong di hadapannya. Manakala, cawan dalam pegangan lelaki itu sudah mengambil tempat atas meja. Aroma yang dikeluarkan dari cawan itu membuatkan dahinya berkerut. Aroma itu terlalu kuat sehingga membuatkan tekaknya terasa mual.
Aadab terbatuk kecil untuk menahan rasa tidak selesa yang semakin kuat mengambil tempat di tekaknya.
“Kau tak sihat ke?” Soalan itu meniti bibir Ikhlas apabila wajah Aadab berubah-ubah riak di hadapannya.
“Kau boleh tak duduk dekat tempat lain, aku tak boleh bau minuman dalam cawan kau ni!”
Kali ini, dahi Ikhlas berkerut. Mindanya sudah mendapat satu jawapan mengenai Aadab saat ini. Lantas ia disuarakan untuk mendapatkan pengesahan.
“Kau tak minum kopi?” soal Ikhlas tidak bertangguh.
“Aku benci!” balas Aadab dengan wajah yang tidak beriak.
Saat ini, dia masih tidak faham kenapa lelaki itu datang ke mejanya. Banyak lagi meja lain yang kosong dekat sini. Dan kenapa mereka harus bersua muka kembali di sini? Bukanlah dia membenci tetapi dia perlukan privasi.
Ikhlas diam berfikir sejenak. Tidak sampai sesaat, cawan kopinya sudah ditutup menggunakan piring lapik.
Aadab menjeling apabila Ikhlas masih terus duduk di hadapannya dan melemparkan senyuman ke arahnya. Aadab langsung tidak dapat mencerna situasi yang sedang dia lalui sekarang ini.
“Kau nak apa duduk sini dengan aku?” soal Aadab lebih kepada hendak menghalau. Tetapi lelaki itu mempamerkan wajah yang selamba sahaja, siap mengangkat tangan untuk menambah pesanan lagi.
Saat itu, Aadab sudah tidak mahu memanjangkan bicara. Dia sudah bangun berdiri dan hendak beredar dari situ. Tetapi Ikhlas menyeru namanya.
“Kau ni, duduk ajelah dulu. Aku bukan datang nak buat kacau pun. Nak duduk makan dan minum aje,” ucap Ikhlas sedikit tidak puas hati apabila Aadab bangun dengan tergesa-gesa hendak beredar dari situ. Dia punya teruja sebaik sahaja terpandangkan muka gadis itu dalam kafe ini. Yang si Aadab pula, senang saja hendak melarikan diri.
“Kau duduklah sini, aku boleh pindah ke meja lain,” balas Aadab tidak mempedulikan ayat yang dituturkan oleh Ikhlas. Tidak menanti sesaat pun, kakinya sudah melangkah meninggalkan Ikhlas sendiri di meja yang menjadi pilihannya awal tadi.
Saat tangan Aadab menarik sebuah bangku di meja kosong, pekerja kafe itu datang segera ke arahnya.
“Maaf cik…”
Dahi Aadab berkerut.
“Ya?”
“Meja ni kami tengah prepare sebab dah ada customer reserve.”
“Semua ni?” soal Aadab sambil melarikan bebola mata ke arah lebih 10 buah meja di situ.
Pekerja itu mengangguk tanpa bertangguh.
Aadab mendengus kecil.
“Maaf.” Bibirnya mengucap sepatah dan kakinya sudah melangkah ke kerusi yang ditinggalkan tadi. Makanan yang dipesannya belum tiba lagi. Dia hendak menunggu tempahan itu siap dan beredar terus dari sini.
Senyuman Ikhlas sekali lagi singgah di ruang matanya. Aadab menjeling. Masalah apa tak tahu, yang tersenyum-senyum dari tadi. Tak faham aku! Rungut Aadab dalam hati.
“Kau ada kerja dekat sini ke?” soal Ikhlas memulakan bicara.
Mata Aadab bersabung pandang dengannya.
“Bukan urusan kau!” balas Aadab dingin.
Ikhlas mencebirkan bibir. Dia punya dingin tu, kalah ais batu. Ikhlas mengambil masa berfikir dahulu sebelum menyambung bicara. Dia tahu, Aadab tidak mungkin akan memberi respon untuk perbualan yang tidak serasi dengan jiwanya. Tengok sajalah muka gadis itu, jangankan senyum manis, senyum sinis pun seakan tidak akan terukir buat diri Ikhlas di saat ini.
Namun, minda Ikhlas seakan diketuk sebuah topik. Dia tahu, gadis itu pasti akan memberi respon untuk ayatnya ini.
“Mak Aqilah ada telefon aku,” ucapnya hendak melihat respon Aadab.
Seperti yang dijangka, sepasang mata itu berubah riak. Tanpa suara, Aadab bertanya.
“Dia ucap terima kasih sebab berjaya nasihatkan anak dia. Terima kasih untuk kau,” ucap Ikhlas sambil menghadiahkan segaris senyuman lagi untuk tatapan Aadab.
“Aku tak buat apa pun!” balas Aadab sambil menghela nafas panjang. Tangannya mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Kenapa lambat sangat pesanan nak siap? Dia sudah tidak selesa untuk terus mendengar bicara Ikhlas ini.
“Aku tahulah kau tak selesa nak duduk semeja dengan aku, janganlah jujur sangat nak tunjuk perasaan tu,” komen Ikhlas apabila Aadab terus resah melihat jam, lepas itu mengalihkan pandangan ke arah pintu dapur kafe.
Aadab mendengus kecil mendengar komen lelaki itu. Pandangannya dipanah ke wajah Ikhlas. Tajam.
“Ikhlas…” Aadab memanggil sebaris nama itu tegas.
Ikhlas tersenyum. Hatinya kembang mendengar panggilan itu.
“Aku langsung tak kenal kau. Aku tak selesa berbual dengan orang yang aku tak kenal. Boleh tak kau berhenti cari topik untuk berbual dengan aku,” arah Aadab sedikit kasar.
Hatinya sudah meluat untuk meneruskan bicara dengan lelaki yang dia tersilap serang atas urusan kerja sebelum ini. Lelaki itu juga hadir sebagai tetamu Datin Salwa ke dalam rumah mereka. Lelaki yang sama juga ditemui ketika insiden bersama gadis bernama Aqilah tempoh hari. Walaupun sudah tiga kali pertemuan mereka, tetapi hati Aadab tetap memilih untuk kekal sebagai orang asing kepada Ikhlas.
“Aqilah pun kau tak kenal jugak, tapi kau boleh membebel panjang-panjang dengan dia. Kenapa bila aku nak sembang, kau kena tak selesa pulak?” soal Ikhlas tidak berpuas hati dengan bicara daripada bibir Aadab pada ketika ini.
Jelas di matanya Aadab mengetap bibir. Mestilah gadis itu tidak punya jawapan. Tetapi bibir Aadab tetap bergerak seolah peluru berpandu melakukan serangan ke atas Ikhlas.
“Itu situasi aku berhadapan dengan satu manusia yang nak bunuh diri. Kau boleh tak bezakan situasi? Aku bukan tengah bekerja macam aku serang kau sebelum ni mahupun tengah menolong insan yang terdesak. Jadi, aku ada pilihan untuk berbual ataupun tidak,” terang Aadab dengan rasa sebal yang memuncak. Dalam pada dia tidak mahu melayan perbualan lelaki itu, tetapi sudah banyak pula bicaranya.
Saat itu, seorang pelayan sudah datang ke meja mereka. Aadab menghela nafas, perasaannya menjadi lega. Dia sudah boleh mengangkat kaki daripada situasi yang menegangkan segala urat lehernya.
Tetapi, saat memandang makanan yang dihidangkan atas meja, dahi Aadab berkerut lagi. Makanan yang dipesan oleh Ikhlas sudah sampai. Mana makanannya?
Ikhlas perasan wajah Aadab sudah berubah warna pada ketika itu. Belum sempat dia bersuara, ‘naga’di hadapannya ini sudah menghembuskan api di situ.
“Aku buat pesanan lagi awal, tapi orang lain yang dapat makanan dulu. Macam mana cara korang buat kerja ni? Kalau rasa tak boleh ambil pesanan banyak-banyak bagitahu ajelah terus. Tak adalah aku membuang masa tunggu dekat sini. Customer service macam haprak!” Aadab sudah bangun berdiri. Dia tidak akan menanti walau sesaat lagi.
“Cik…” Pelayan itu memanggil kalut. “Saya minta maaf. Cik tolong tunggu sekejap. Tak sampai lima minit, saya pergi check dekat dapur.” Pelayan itu dengan wajah serba salahnya melangkah laju menuju ke pintu dapur kafe itu.
Pada saat itu, bibir Aadab terus membebel lagi. Kata-kata makian terus meniti bibir walaupun bebelan itu untuk pendengaran sendiri.
“Mungkin kau lupa, aku ada depan kau lagi.” Ikhlas bersuara untuk menyedarkan Aadab akan kehadirannya.
“Aadab, please… at least control your tongue from saying bad words. Bernanah telinga aku.  Masuk ni, kali ketiga aku jadi mangsa kena dengar kata-kata makian kau,” tegur Ikhlas supaya Aadab berhenti menggunakan kata-kata kesat. Kalau nak marah sekalipun, tak perlulah guna perkataan yang kurang menyenangkan telinga orang lain.
Untuk teguran itu, Aadab menjeling tajam ke arah Ikhlas.
“Kau tu patut bersyukur sebab aku tak maki kau!” Tidak mahu beralah, Aadab bersuara juga dengan kasar tepat di wajah Ikhlas.
Ikhlas sudah mengetap bibir. Hatinya pula sudah mula panas. Dia tak boleh betul dengan perangai kasar si Aadab ini.
“Kau tu patut belajar betulkan bahasa kau!” tegur Ikhlas tidak mahu beralah.
“Yang kau nak sibuk kenapa?” soal Aadab sedikit menjerit. Giginya diketap dengan rasa geram. Hatinya sudah panas.
“Sebab bercakap perkataan yang baik jugak satu sunnah. Kau maki-maki sebut perkataan yang tak elok untuk pendengaran orang lain, kau kecikkan hati diorang. Walaupun salah tu bukan di pihak kau, tapi silap-silap kau pulak yang berdosa sebab guna perkataan yang tak menyenangkan orang lain,” nasihat Ikhlas seikhlas hatinya.
Aadab diam mengemam bibir.
Melihatkan reaksi Aadab itu, Ikhlas terus menyambung lagi, “Kalau kau rasa tak boleh nak kawal sangat lidah kau daripada sebut perkataan kesat tu, baik kau zipkan mulut kau ketat-ketat. Sebab Rasulullah ada bersabda, ‘Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata-kata baik atau hendaklah ia diam.”
“Aku bukan memandai-mandai nak bagi nasihat, aku cuma sampaikan apa yang nabi dah pesan untuk umatnya. Kita ni memang jauh sekali nak hidup dengan cara nabi, tapi sekurang-kurangnya benda yang mudah macam ni, janganlah pandang remeh. Perkataan yang kau sebut tu, adalah cerminan peribadi kau.” Ikhlas menghela nafas. Renungan matanya tepat membalas pandangan tajam Aadab. “Aku tau, peribadi kau bukan macam ni… kau lain Aadab.” Suara Ikhlas dilembutkan.
Aadab mengetap bibir mendengar nasihat yang masih tidak bernoktah itu. Matanya merenung tajam membalas pandangan Ikhlas.
“Kau nampak aje kasar di luaran, tapi hati kau halus sangat. Kenapa kau nak sembunyikan diri kau yang sebenar di sebalik kekasaran ni?” soal Ikhlas ingin tahu. Pandangannya redup cuba menyelami renungan gadis di hadapannya ini.
Saat itu, hati Aadab sudah tersentap. Bicara Ikhlas itu sudah jauh menyimpang ke hatinya pula. Bergetar hatinya buat seketika. Tepat pada waktu itu juga, makanannya sudah sampai dibawa oleh pelayan yang sama.
Aadab memandang wajah pelayan itu dengan tajam.
“Tolong bungkus makanan ni!” arah Aadab. Wajah Ikhlas dijeling sebelum rayban dari poket ditarik dan disarung ke wajah. Tanpa sebarang kata, kakinya sudah melangkah meninggalkan lelaki itu sendiri.
Ikhlas pula terus memandang langkah itu pergi dengan keluhan di hati. Cawan kopi yang bertutup tadi, dibuka kembali. Aroma kopi disedut untuk menenangkan hati dengan situasi yang terjadi. Dia kembali menghela nafas lega. Ternyata aroma kopi mampu mempositifkan moodnya yang hampir sahaja dirosakkan oleh Aadab sebentar tadi.
Tapi… Aadab tak suka kopilah pulak. Dalam mimpi ajelah nak jadikan dia coffee maker untuk aku. Ikhlas berbicara dalam hati. Cawan itu dicapai dan dihirup dengan rasa berat hati.
Aadab dan Ikhlas? Jauh betul impian hatinya ini.

*SUDAH TERBIT DALAM VERSI CETAK.
*UNTUK PEMBELIAN, KLIK LINK DI PROFILE

Awek Handsome (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now